Wednesday, 19 September 2018

Bersakit-sakit Dahulu Bersenang-senang Kemudian



Hamid seorang remaja kampung yang miskin. Hamid mempunyai enam orang adik-beradik dan dia adalah anak sulung. Pada tahun ini, dia akan menduduki peperiksaan UPSR.
      
       Ayah Hamid menghidap penyakit kronik. Beliau tidak dapat bekerja dan hanya terlantar di atas katil. Dengan keadaan yang sedemikian, Hamid tiada pilihan melainkan harus bekerja sambil belajar untuk menampung kehidupan keluarganya. Hamid sanggup bekerja sebagai pembantu kedai runcit yang letaknya berhampiran dengan rumahnya. 

Hamid tidak pernah menyusahkan ibu bapanya, malahan dia begitu menyayangi keluarganya. Walaupun dia dan keluarganya harus menempuh hidup yang susah dan sukar setiap hari. 

Mendapat 6 A dalam UPSR adalah cita-citanya. Dia tidak jemu berusaha untuk belajar bersungguh-sungguh.Hamid tidak suka membazirkan masa. Pada masa lapang, dia akan mencari ruang dan peluang untuk mengulangkaji pelajarannya. Di dalam kelas, dia memberi penumpuan sepenuhnya sewaktu cikgu mengajar. Dia juga tidak sekali-kali membuangkan masanya dengan aktiviti yang tidak berfaedah, seperti sesetengah remaja seusia dengannya yang gemar lepak dan bermain basikal lajak.  

       Setelah tiba hari yang dinanti-nantikannya, keputusan UPSR telah diumumkan. Hamid mendapat 6 A. Dia telah dinobatkan sebagai pelajar terbaik sekolah dengan keputusan cemerlang. Dia tidak henti-henti menerima ucapan tahniah daripada guru-guru dan rakan-rakan sekolahnya. Hatinya melonjak-lonjak kegembiraan. 

         Segala usaha dan kerja kerasnya serta berkat sabar selama ini akhirnya membawa kejayaan. Bak kata pepatah, berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian.