SEBUAH CATATAN PENGALAMAN
Raga batang adalah sejenis alat seperti bubu atau lukah tetapi tidak berinjap,berbentuk bulat dan lonjong, diperbuat daripada buluh, dijalin dengan rotan dan kegunaanya untuk mengurung ikan yang dipancing, ditaut atau ditanggkap dengan apa cara sekalipun oleh orang-orang kampung yang terlibat dengan aktiviti perikanan satu ketika dahulu. Tujuannya supaya ikan dapat hidup lama sebelum disiang atau dijual. Sebelum diisi ikan, raga batang ini dilapik dengan upih pinang untuk mengelakkan ikan terluka atau tercedera.Kemudiannya direndam ke dalam air.
Pada tahun 2006, awal November kalau tidak salah, sewaktu memancing udang di sungai Ulu Basir, aku terpandang serumpun rotan yang saiznya sebesar kelingking. Kata “Man Lamak” kawanku, itu rotan sega. Sebatang yang agak tua dan cantik lalu ku ambil.Teringat aku, rotan sebesar itulah singgah di belakangku semasa belajar membaca al-Quran daripada abah dulu. Bukan kerana “benak” membaca, tetapi salah sebutan atau lahjah, tidak seperti sebutan Abah. Setelah dewasa, emak membuka rahsia, rotan yang digunakan oleh abah itu “dihilangkannya” sebab kasihan dan tidak tahan melihat anak-anak dilibas. Emak “kebumikan rotan” itu!.
Beberapa bulan kemudian, aku pulang ke kampung membawa bersama rotan yang kuambil semasa memancing dulu, kuberikan kepada Abah.Seminggu kemudian siaplah sebuah “raga batang” hasil kerja tangan Abah. Bukan untuk diisi ikan tetapi sekadar suka-suka untuk tatapan anak sulungnya. Kubawa pulang, ku “varnishkan” dan kugantungkan di siling bumbung berhadapan pintu utama. Di sebelahnya pula tergantung sangkar arnab “Ronie” adikku, yang katanya sudah tidak mahu lagi memelihara arnab kesayangannya sewaktu bertamu di rumah beberapa tahun sebelum ini. Malangnya pada petang itu juga,arnab pemberian adikku mati tersepit di sangkarnya. Sebagai kenangan, kugantungkan sangkar itu di hadapan rumah.
Apabila terpandang sahaja “raga batang” itu, terkenang aku nostalgia silam, sewaktu zaman kanak-kanak hingga awal remaja. Ketika itu ikan amat banyak di kampung. Lebih-lebih lagi pada masa tali air dan sawah dikeringkan.Ketika padi hampir bunting. Meriah sungguh dengan aktiviti menimba dan "menggagau".Ikan yang dipungut hanyalah yang besar-besar dan “berjenama” seperti keli dan haruan. Sepat ronggeng dan selat, pandang sebelah mata pun tidak.
Itulah kekuasaan Maha Pencipta, diberinya pengetahuan pada manusia ketika itu dengan teknologi dan teknik penanaman yang tidak seberapa. Sawah bendang dikerjakan dengan tulang empat kerat. Parit dan telaga digali menggunakan cangkul. Rumput sawah ditajak, tidak digunakan racun. Jentera moden tiada, kalau adapun tidak terbeli oleh petani. Pendek kata, semua kerja menggunakan tenaga empat kerat dan sumber alam yang terdapat di persekitaran.
Dalam kepayahan, rezeki senang.Dari lauknya seperti ikan sepat,puyu,haruan,keli boleh diperolehi sekitar rumah.Sediakan sahaja joran buluh. Begitu juga sayurnya seperti keladi, kangkung, paku rawan,paku midin, asin-asin, keman air, gegeli, umbut rumbia dan bermacam sayur yang enak dan segar yang sekarang ini kalau dijual, berebut orang membelinya. Orang kampung pun beli!
Duit sahaja yang agak susah pada masa itu. Mana tidaknya, harga padi beberapa puluh ringgit sahaja sbagi etiap satu pikul.Selain itu terpaksa pula dianginkan atau “diuroi”. Kalau tidak, tak laku.
Harga ikan? Jangan harap seperti sekarang, kalau ada harga pun menjelang awal tahun 80-an. Dapatlah RM 1 sekilogram bagi harga ikan keli dan 80 sen bagi ikan haruan. Itupun mesti bersaiz besar. Saiz kecil buat kering untuk santapan kami, pagi, tengah hari dan malam. Paling suka, sewaktu aktiviti menimba telaga. Banyaknya ikan! Haruan sahaja berpikul (sepikul lebih kurang 60 kg). Tidak termasuk keli dan sepat.Puyu, ikan terakhir dipungut, itupun hendak tidak hendak sahaja. Masih teringat-ingat akan menu istimewa emak jika ada ikan haruan besar melebihi 2 kilogram. “Bapak Badau” kata orang kampung. Pastinya haruan tersebut dimasak “bantut” oleh emak.
Terakhir aku makan “bantut” pada bulan Ogos 2008. Adikku Ronie "gewang" ikan haruan besar,seberat 2.5 kilogram. Meriah pada hari itu.Semua keluarga berkumpul makan tengah hari. Kubawakan juga ikan jelawat dan kelah yang dipancing sekitar daerah Batang Padang,tempat tinggalku. Abah kata “ rasa-rasa aku boleh makan ikan ni”. Walhal amat payah bagi Abah untuk menjamah ikan air tawar walaupun dia seorang penjoran tegar ikan air tawar dan menjadikannya sebagai sumber pendapatan kedua untuk membesarkan kami adik-beradik.Emak juga handal membuat pekasam. Nanti akan kucatatkan resepi-resepi masakan emak yang masih kuingat seperti “bantut haruan” dan “pindang puyu”.
Dalam keadaan yang amat sukar dan susah itu aku amat berbangga dan kagum dengan Abah, tidak pernah merungut pasal susah. Hari-hari kerja kampung.Semua kerja bersangkutan sawah, menoreh,menebas, memerun (membakar kayu dan pokok mati untuk ditanam sawit) di ladang sawit, menyangkul parit ladang, semua dibuatnya.Asalkan halal. Kadang kala Abah“bagsat” hingga sebulan lamanya untuk mencari rezeki.
Tidak pernah seekor kura-kura (batu perenggan,ungkapan budak-budak nakal yang malu tetapi berniat untuk menjualnya pada masa itu, apabila ditanya oleh oran-orang tua, mereka menjawab batu perenggan) dijualnya, walaupun haiwan itu banyak ketika itu dan harganya agak tinggi. Haram katanya. Pernah sepetang, dia membebel pada adikku,Nuar. Ketika itu umur Nuar baru 9 tahun. Dijualnya kura-kura bagi tujuan membeli peluru pistol mainan bersama sepupuku, Asri. Masih terngiang-ngiang di telingaku hingga kini sebahagian ayat-ayatnya. “ Dah tak cukup mentekedarah? Kalau dah tak ada benda halal lain boleh dicari, ambil sahaja tahi ayam di kandang, jual, dan niatkan sebagai menjual baja, halal!. Buat kerja yang aku tak ajar!”.
Seperkara lagi yang aku kagumi hingga sekarang, Abah tidak pernah meninggalkan puasa Ramadhan, walau seteruk manapun bekerja. Sehinggakan taukeh Cina yang mengupahnya memerun batang sawit, membelikan air dan menyuruhnya berbuka."Lepas berbuka sambunglah balik",cadang taukeh Cina itu. Abah sekadar menjawab, "Saya orang Islam kena puasa hingga malam, puasa sekerat-sekerat atau tidak puasa langsung jika bekerja,itu orang Melayu".
"Leteran sayang" (amat meluat didengar) hanya kerap didengari dari mulut emak, mana tidaknya, terpaksa bertungkus lumus di bendang, memasak, dan mengurus kami 12 beradik yang kebanyakkannya lelaki. Pastinya penat teramat. Orang sekarang yang punyai paling banyak lima orang anak, malah kurang daripada itu pun selalu membebel penat, apatah lagi emak pada masa itu.
Anak-anak Abah yang jumlahnya 12 orang semuanya tamat belajar sekurang-kurangnya SPM, walaupun tiada yang bergelar doktor, majestret, peguam dan lain-lain pekerjaan kolar putih, tetapi anak-anak Abah dapat hidup berdikari dengan tugas masing-masing. Abah juga mengajar kami mengaji al-Quran sendiri sehinggalah kami semua tamat dan khatam. Emak hanya membantu ketika Abah keluar kawasan untuk bekerja.
Setelah selesai mengajar kami mengaji Quran, sembahyang dan makan malam, bermulalah rutin Abah. Bertemankan lampu suluh, joran buluh yang disebut “Boq Lau” Abah mengorak langkah menyusuri batas sawah, sungai dan paya untuk memburu haruan atau “mengelau”.Masa-masa yang dinantikan oleh Abah untuk memperolehi haruan yang banyak biasanya sewaktu bulan mahu terbit dan awal pagi sekitar pukul 5.00 ke atas.Kalau di sungai pula, sewaktu air mula pasang. Setakat memperolehi tangkapan 4 kilogram pada satu- satu malam tu, biasa sangatlah bagi Abah. Ada kalanya sampai berbelas kilogram untuk satu malam, tapi harga ikan haruan cuma lapan puluh sen sekilogram. Kasihan Abah!….sampai bengkak-bengkak kakinya digigit pacat dan nyamuk bagi membesar dan menyekolahkan kami.
Masih jelas juga di ingatan, betapa kami dan anak-anak kampung yang lain menjadikan pekerjaan mengelau,menaut (menajur) dan menggagau sebagai punca pendapatan dan belanja harian di sekolah. Sebelum Maghrib, sibuklah anak-anak remaja bersedia untuk memasang taut haruan atau keli di permatang sawah, sungai, alur dan tali air yang banyak dengan ikan-ikan tersebut.
Selesai sembahyang Isyak berjamaah di masjid, kami akan kembali ke tempat taut dipasang untuk memungut ikan yang termakan umpan. Umpan baharu pula dipasang untuk kutipan subuh esoknya . Selepas pulang dari sekolah kami akan menjual ikan-ikan yang diperolehi kepada peraih ikan kampung ketika itu “ Pak Tih Hassan Gani”.(Pak Tih Hassan telah kembali ke rahmatullah pertengahan tahun ini -2011)
Setelah ikan dijual,keesokannya mewahlah kami berbelanja. RM 4 pada masa itu seperti RM 20 sekarang. Belanja sekolah yang Abah tidak pernah tidak berikan kepada kami hanyalah 10 sen semasa di sekolah rendah. Ketika bersekolah menengah naiklah sedikit,30 sen. Belanja itu lebih dari cukup buat kami. Bayangkanlah sebungkus nasi lemak berharga 5 sen. Kuih-muihpun sama, murah sangat.
Dengan duit belanja yang diperoleh dari hasil jualan ikan, dapatlah kami “makan sakan” setiap hari. Kedai “Pak Din Hongkong” yang popular dengan “Bihun Sup Semanggol”, hari-hari kami kunjungi. Bihun sup kecil kosong sekitar 40 sen, manakala yang berisi ayam hanya 70 sen. Ditambah pula dengan menu istimewa ais kacang betik dan ais kacang tembikai. Baru seringgit lima puluh sen.
Pakaian sekolah dan baju raya tak kisah, kami beli dengan duit ikan. Pada masa musim menuai kami mengambil upah menuai. Musim menanam padi kami ambil upah menanam padi. Sepagi bekerkerja ddi sawah dapatlah Rm 4.50 – Rm 5.00. Kenangan yang masih terpahat di ingatan ketika usiaku 13 tahun. Abah membawa kami adik beradik dan sepupu kami, Asri “enjoy” ke bandar Taiping. Itulah satu-satunya kenangan yang masih kuingat hingga kini. Kami adik beradik dibawa oleh Abah melawat Muzium, Zoo dan Taman Tasik Taiping. Sebagai upah kerana selesai kontrak menanam padi di sawah “Pak Saat”, pupu poyang kami juga, yang agak senang dan berada.
Sekitar tahun 1982 sewaktu bangun dan mandi di tali air dihadapan rumah (ketika itu bekalan air paip belum masuk), aku disapa oleh Tok Wan Man (datuk sebelah Abah) yang bangun untuk mandi dan sembahyang subuh. “Buat apa?” tanyanya. Aku memberitahu baru selesai mengangkat taut. “ Berapa ekor bulih?” tanyanya lagi. Aku menyatakan 5 ekor ikan keli. “Berapa pasang semua?” tanya Tok Wan lagi. Kunyatakan 7 bilah sahaja. Tok Wan mengatakan “ berbaloilah, tahan 7 dapat 5”. Sejurus setelah selesai mandi Tok Wan meminta diri untuk naik dan bersembahyang Subuh. Ketika aku sedang mandi kedengaran suara Tok Wan membacakan surah al-fatihah dengan lantang. Tiba-tiba suara itu senyap dan diganti dengan suara nenek menjerit, “lekas panggil Abah, Tok wan rebah!”. Sebentar, Abah sampai dan membisikkan "Shahadah" ke telinga Tok Wan. Tok Wan meninggal di pangkuan Abah setelah mengucapkan "Syahadah". Mudah dan senang sungguh! Perbualan terakhirku dengan Tok Wan Man mengenai ikan….
Sesekali, Abah mengajakku mengelau pada waktu malam. Waktu siang tak payah diajak kerana aku menyertai rakan-rakan sebaya mengelau di batas-batas bendang. Adakalanya dimarahi jiran-jiran petani kerana tercabut anak padi yang baru ditanam mereka, tersangkut kail “boq lau” kami. Biasanya Abah jarang menyuruh aku mengelau bersama-samanya, sebaliknya dia akan menyuruh aku menjadi “penunggu” lubuk keli. Berbekalkan joran buluh kecil yang dipanggil “boq mengai”, beberapa bentuk kail saiz kecil dan berumpankan “cacing gila”, jadilah aku penunggu lubuk yang pada perkiraan Abah banyak terdapat ikan keli.
Menyuluh dengan lampu suluh langsung tidak dibenarkan , mengganggu aktiviti mengelaunya. Ikan tidak mahu makan kalau terkena kilauan cahaya.Bersaoranganlah aku dalam kegelapan, mencangkuk umpan, membuat perambut dan memancing dengan hanya ditemani nyamuk dan bunyi serangga malam. Abah entah ke mana menyusuri lubuk memburu haruan. Latihan untuk menjadikan anak-anak berani agaknya.
Tidak terfikirpun bahaya ular,lipan, kala dan buaya. Hantu? cerita biasa. Aku masih ingat kawan baik Abah, arwah “Pak Din Tok Abu” bercerita suatu ketika, hujung jorannya pernah disentap dan dipegang oleh sesuatu, seolah-olah ikan besar menariknya, apabila disuluh tidak ada apa-apa, malah senang sahaja joran ditarik, umpanpun tidak luak. Apabila lampu dimatikan ditariknya hujung joran itu lagi.Cerita-cerita hantu suluh juga selalu kudengar. Alah bisa tegal biasa.
“Jantung pisang kelopak jantung, hantu datang aku sepak melambung…” itulah petua yang diajar oleh datukku sebelah emak, Allahyarham Min bin Hj Ibrahim yang kupanggil Tok Wan Min atau Tok Wan Jauh (
gelaran Tok Wan Jauh kerana rumahnya agak jauh dari rumah kami). Tok Wan Min juga seorang penjoran tegar tetapi berbeza lokasi. Tok Wan Min lebih menggemari mengelau di kolam Bukit Merah(sekarang dipanggil Tasik Bukit Merah) . Katanya ikan kolam Bukit Merah lebih mahal kerana dagingnya lebih pejal dan sedap.
Berbanding abah yang menjadikan aktiviti mengelau sebagai punca pendapatan kedua tetapi Tok Wan Min menjadikan aktiviti itu sebagai mata pencarian utama. Pada masa itu, sekitar hujung 70-an membawa ke tahun 1988, sebut sahaja “Pak Ngah Meng Parit Buang” dan kawannya “Tok Mat Puntung Matang Pasir” boleh dikatakan semua orang di mukim Semanggol mengenali mereka sebagai "Juara Mengelau".Rakan - rakan joran Tok Wan Min pada masa itu antaranya Toksu Man Misai, Tok Karman , Tok Cik Mat Merang dan ramai lagi. Ikan-ikan yang diperolehi jarang-jarang dibawa balik, selalunya dibeli oleh peraih dan pelanggan di pekan Bukit Merah.Tok Wan Min juga pernah mendaratkan kelisa, “Si Raja Bukit Merah”.Pada masa itu ikan kelisa langsung tidak berharga.
Berbicara tentang Tasik Bukit Merah,teringat aku pada musim-musim banjir melanda. Di pekan Bukit Merah akan adalah orang menjual telur ikan terbul atau terubui. Pada masa itu ikan-ikan terbul atau “ikan puyau” ungkapan masyarakat setempat, berhempas untuk melepaskan telur bagi melangsungkan kehidupan . Ikan-ikan ini ditangkap dengan banyaknya untuk dijadikan ikan kering dan pekasam, manakala telurnya dijual. Satu tin susu harganya cuma RM1.
Keluargaku tidak pernah membeli, tetapi turut berpesta sama.Jika ikan ini “melanggaq”, Abah akan tebarkan jala atau memasang jaring.Kekadang, guna tempirai atau tempang.Peliknya ikan ini, kalau seekor sudah terperangkap dijaring, sekumpulan akan datang menyerang. Jika gunakan jala tidak perlu ditebar berkali-kali. Mungkin terlalu ghairah untuk melepaskan benih, asal nampak rumput bergerak-gerak pasti kumpulan yang lain menerjah sama. Aneh....,bukan terlekat dari dalam jala tetapi dari luar jala.
Lokasi yang menjadi tumpuan menjaring terbul biasanya berhampiran kunci air atau “pintu air dua”.Juga disebut “Alur Punti”. Digelar Alur Punti, mungkin disebabkan pada masa itu banyak ular punti di kawasan itu, mendiami pohon ara dan rumbia berdekatan kunci air tersebut.Di situ juga terdapat beberapa pohon jejawi yang agak besar dan merungkup daunnya, berlubuk di bawahnya, menjadi tempat kunjungan Abah sekiranya air pasang besar. Mana tidaknya,ikan sebarau bermain arus dan bersarang . Berumpankan udang dan joran buluh, Abah biasanya menjinakkan sebarau di situ.Berat sekati ke atas, sudah mangli benar.
Lokasi yang amat menakutkan tika malam menjelma, bukan sahaja jalannya yang sempit dan putus-putus, bahkan semak.Tambahan pula pohon jejawi ,keladi bunting,hutan gegeli dan rumbia yang menebal menjadi tempat persembunyian ular punti dan Sang Sawa. Ada juga penduduk yang mendakwa pernah terserempak dengan Sang Buaya. Tatkala malam hujan renyai-renyai, berbagai bau dapat dihidu jika melintasi lokasi itu. Ditambah pula cerita-cerita penduduk yang pernah terlihat benda-benda pelik, memang menyeramkan.Jika pulang dari masjid berseorangan, pastinya memecut basikal selaju-lajunya.
Sampai sekarang aku masih teringat dilempang Abah di depan kunci air tersebut. Gara-gara menyahut cabaran rakan-rakan untuk terjun ke lubuk itu pada musim banjir. Seelok naik dari lubuk, kebetulan pula Abah hendak ke kedai. Apa lagi, dapatlah seliang…Sesekali aku berkesempatan bertemu dengan keadaan air pasang besar dan hujan lebat ketika pulang ke kampung. Biasanya Ronielah jadi "kepala", mengusung pukat menjaring terbul.
Sekitar 80-an, emak juga penjoran tegar. Ikan kesukaannya ialah puyu. Sekali turun menjoran, sebaldi besar ikan puyu sebesar tiga jari diperolehinya. Sebut sahaja “Mak Cik Yah” orang kampung mesti kenal, juara mengail ikan puyu. Umpannya hanyalah anak kerengga dan anak-anak haruan yang ditapakan.
Kerana “ketegaran menjoran”nya jugalah menyebabkan abang emak, arwah Pak Lang berkecil hati. Pak Lang Man atau “Man Garing” pernah menyatakan tidak mahu ke rumah kami lagi gara-gara emak yang tidak mahu pulang dari memancing walaupun tahu kedatangan Pak Lang. Kedatangan Pak Lang adalah untuk menjemput kami ke rumah saudara. Kenduri.Sebelum ini Pak Lang memang selalu ke rumah kami memberikan ikan kaloi yang dipancingnya di kolam Bukit Merah.Kerana berkecil hati Pak Lang lebih kurang bersumpah menyatakan “Aku tak mau kerumah depa lagi, kalau aku nak pi pun dekat-dekat aku nak mati esok”. Kata-kata Pak lang menjadi kenyataan.Beberapa bulan sebelum kematiannya, Pak Lang kerap mengunjungi kami, hinggakan menjadi perbualan kami adik beradik. Kisah Pak Lang berkecil hati diceritakan oleh Mak long Enah salah seorang sedara kami kepada aku sendiri.
Aku juga sering dibawa oleh Abah memancing ikan kaloi. Tidak seperti hari ini, penjoran menggunakan joran “stick” yang pelbagai rupa dan jenama. Bukan tak ada, tapi Abah lebih selesa dengan caranya. Abah hanya gunakan joran buluh dan memancing dengan cara terhendap-hendap dari atas dan celahan pokok jejawi. Umpan kesukaan kaloi pada masa itu ialah belalang kunyit sebesar ibu jari yang belum tumbuh sayap penuh. Umpan itu biasanya aku yang menangkapnya, dicelah-celah rumpun anak padi di tapak semaian.
Sebelum padi dapat ditanam benihnya direndam beberapa malam, kemudian ditus airnya dan dimasukkan kedalam bakul rotan yang dilapik daun pisang, setelah cambah, benih-benih dipindahkan ke tapak semaian yang berupa jerami padi ditambak, dilapik daun pisang dan diletakkan selut di atasnya dipanggil "rakit". Setelah itu, benih yang cambah tadi ditabur,kemudian rakit ditutup dengan jerami kering atau daun lalang. Setelah dua minggu atau anak benih padi panjang sejengkal,anak-anak padi itu dipindahkan pula ke tapak semaian berair disebut meredih,semaian akan berada di tempat peredih selama empat puluh hari bagi mematangkannya.Selepas empat puluh hari atau lebih semai-semai ini akan dicabut untuk di tanam di petak sawah. Pada masa semai dicabutlah belalang-belalang itu akan berkumpul. Hati amat teruja apabila Abah mengarahkan aku menangkap belalang. Pastinya dapat ikut untuk memancing.
Seingat aku, sejak muda, Abah amat meminati ikan kaloi. Abah amat suka memelihara anak-anak kaloi di dalam balang. Masih aku ingat, Abah bersedih selama beberapa hari gara-gara kaloi peliharaannya di dalam kolam yang ku buat di hadapan rumah untuk menempatkan puyu yang terkandas semasa air bendang dikeringkan dimakan memerang. Sebelum itu aku pernah mencadangkan agar kolam tempat peliharaan ikan-ikan itu dipagar takut-takut diceroboh oleh memerang.Paling tidak, ikan-ikan tidak lari jika hujan lebat. Hasil peliharaan tersebut boleh juga dijual memandangkan harga puyu menjangkau lebih Rm 10 sekarang ini. Dengan bersahaja Abah menjawab, "biarlah, tujuan di masukkan ikan itu ke situ hanya tidak mahu ikan itu mati. Dah besar terpulanglah ke mana ikan –ikan itu hendak pergi. Ikan-ikan kaloi tu pulak dah besar takkan memerang dapat menangkapnya".Itulah hujah mudah abah.
Penghujung 2007 adikku Zahratul Noor @ Cik Noi mengadu Abah menangis kerana ikan-ikan kaloinya dibunuh oleh memerang. Enam ekor semuanya. Paling menyayat hati hanya bahagian kepala dimakan oleh memerang durjana itu. Terbesar adalah kaloi kepunyaanku yang aku masukkan 6 tahun sebelum itu. Aku dapat anak kaloi tersebut ketika menjaring di dalam tali air di hadapan rumah. Pada masa itu sahabat karibku Cikgu Shaberi ada singgah,sewaktu dalam perjalanan pulang dari kampung di Pulau Pinang. Berat ikan tersebut tanpa kepala setelah dimakan memerang ialah 6.5 kg. Selebihnya anak-anak kaloi yang dipancing oleh Abah bersama-sama adikku Kudin.Berat setiap seekor kaloi-kaloi tersebut ketika itu dianggarkan 3 hingga 5 kilogram.
Kesedihan Abah dapat kurasakan tatkala aku pulang ke kampung setelah peristiwa itu. Abah mencadangkan kolam itu ditimbus dan digantikan dengan kolam baru di tanah kepunyaanku (bersebelahan tanah abah). Kata Abah kolam asal mahu ditimbus untuk meluaskan kawasan letak kereta ketika anak-anak balik berkumpul. Sebenarnya Abah bersedih kerana ikan-ikannya dibunuh memerang.
Lokasi memancing Abah biasanya dipertemuan antara dua sungai iaitu Sungai Kepar dan sungai Kurau (Sungai Gedong) atau lebih dikenali dengan Kuala Tok Tijah. Seingat aku banyak jugalah tangkapan Abah di situ. Ikan-ikan itu biasanya dibuat pekasam oleh emak.Beberapa bulan dulu pernah adikku Ronie memberitahu bahawa joran buluh Abah masih berada di atas pokok jejawi di Kuala Tok Tijah. Pernah Ronie minta untuk dibawa pulang tetapi tidak diizinkan Abah.
Aku pun tidak pasti kebenaran dakwaan itu kerana Abah telah kembali mengadap Ilahi pada 14 Oktober 2008 bersamaan 14 Syawal 1429 kira-kira seminggu selepas Aidil Fitri. Menurut emak dan adik-adikku, Abah pergi dengan mudah, hanya sedikit demam dan kata-kata gurauan. Pada pukul 3.00 pagi 14 Oktober, Abah, seorang penjoran tegar , penyelamat dan idola kami, pergi buat selamanya. Hilanglah tempat kami mengadu dan bermanja.
Masih teringat-ingat kata akhir Abah, sebelum aku sekeluarga balik bertugas selepas menyambut Aidil Fitri. “ Nah, ambil buah limau ni bawak balik, kot-kot nak buat air”. “ Kena bawak balik juga buah cempedak dan beras ni, kalau tak muat, tinggal dulu barang lain yang tak perlu seperti toto dan kipas, nanti tak lama “hangpa” nak balik semula”.Itulah kata-kata terakhir Abah yang masih kuingat sebelum kami berdakapan, bersalam.Kucium pipi Abah kali terakhir semasa hayatnya. Seminggu selepas itu, aku dikejutkan dengan panggilan telefon daripada Kudin, salah seorang adikku.Panggilan itulah yang sering aku takuti. “Balik segera, Abah koma,dah bawa ke hospital” katanya.
Limau telur buaya yang diberi Abah masih kusimpan walaupun telah kecut dan kering
Adik-adikku yang lain juga mengatakan Abah koma dan dibawa ke hospital. Adikku Ronie adalah orang yang paling kuat sedunya memberitahu Abah koma. Dari tangisnya aku tahu Abah sebenarnya telah tiada. Di pangkuan emak pada pagi itu, sebelum sempat ke hospital pun.Patutlah beriya-iya Abah menyuruh kami membawa salah seorang adik kami, Kamarul yang masih belajar di Mesir Pulang. Sempat jugalah Abah bersama Kamarul kira-kira sebulan. Falsafah hidup Abah “ Jika kita ada, dapat menyenangkan orang, jika kita tiada, tidak menyusahkan orang”.
Pada petang Abah disemadikan aku termenung di tepi kolam di hadapan rumah. Tiba-tiba aku terpandang beberapa ekor ikan ubi atau petutu timbul dipermukaan air. Ikan-ikan itu memang dilepaskan oleh Abah ke situ.Lantas aku memanggil Ronie dan menunjukkan kepadanya.Agak lama juga ikan-ikan itu berkeadaan demikian. Kami berdua pelik melihatkan situasi tersebut. Pada perkiraan dan pengalaman kami, amat sukar untuk ikan ubi timbul dipermukaan air. Kalau timbul pun pada sebelah malam, tetapi mesti berhampiran batang kayu atau objek lain . Mungkin untuk mennyatakan kesedihan ataupun ucapan takziah kepada kami setelah kehilangan Abah. Agaknyalah…
Dua hari selepas Aidil Fitri juga berlaku peristiwa ganjil. Ketika itu kami sedang berbual-bual dengan Abah. Kebetulan rakan kami Cikgu Nizam Balun, Salleh Bakaq, Sani , Bang Cik At dan kawan adik-adik ada berkunjung. Tidak semena-mena seekor belalang kecil berwarna coklat terbang lalu jatuh ke dalam minuman sahabat kami, Salleh. Kami agak hairan kerana tidak berapa lama kemuadian kelihatan seolah-olah belalang itu ditumbuhi ekor. Semakin lama semakin panjang. Kami memerhatikan dengan penuh minat. Sejurus kemudian, terpisahlah ekor itu daripada belalang tadi. Rupa-rupanya ekor itu adalah seekor cacing yang masih hidup. Agak pelik, mana mungkin cacing yang panjangnya lebih satu inci keluar daripada perut belalang yang saiznya lebih kecil daripada puntung mancis dan pendek pula. Keanehan itu menjadi perbualan kami, tetapi Abah memberi jawapan yang bersahaja dan tidak menyalahi logik.
Pada malam itu juga kami bergotong royong menyiapkan ketupat pulut yang dibungkus dengan daun kelapa. Walaupun Aidil Fitri sudah berlalu tetapi kami meraikan juga dengan ketupat. Lagipun keesokannya masing-masing akan berangkat pulang ke tempat bertugas. Dalam kekalutan itu Abah sempat menyapa isteriku dan agak simpati dengan kepayahan isteriku melayan anak-anak. Pada pandangan Abah, anak-anakku agak nakal. Yalah seorang anakku “Autism” memerlukan perhatian khusus pada masa itu. Tengah aktif pulak, ditambah si kecil yang kuat merengek. Aku menumpang semangat Abah selalu memberi perangsang.Katanya, anakku sebenarnya tidak ada masalah.
Kematian Abah membongkar misteri. Patutlah pada masa-masa tertentu,Abah selalu berkurung di dalam biliknya, rupa-rupanya Abah sentiasa memeriksa tabungan peribadinya yang terdiri daripada wang-wang syiling lebihan membeli keperluan dan duit-duit kecil pemberian anak-anak.Dalam lipatan baju dan tabung-tabung buluh khasnya, terdapat lebih RM 4000 yang lebih daripada cukup untuk "badal" haji Abah. Kata emak, Abah selalu bercerita dan teringin sangat ke Tanah Suci. “ Aku akaun lain tak ada, inilah satu-satunya simpanan yang aku ada, nak pergi haji” itulah gurauan Abah pada emak.
Bermulalah kehidupan kami dalam keadaan tidak menentu setelah ketiadaan Abah. Aku dan adik-adik banyak berbincang untuk mengurus perkara-perkara yang sebelum ini diurus oleh Abah. Dari kebajikan adik-adik yang masih belajar, rumah yang belum siap sepenuhnya(sebelum ini Ronielah yang bertungkus lumus dalam bahagian ini), urusan badal haji Abah dan urusan mengerjakan sawah. Masing-masing bertanggungjawab. Hari demi hari kehidupan kami agak pulih walaupun tidak seperti dahulu, semasa Abah masih ada. Kami masih dapat senyum walaupun ada masanya kami menangis apabila terkenangkan Abah.
Setelah ketiadaan Abah, kami kerap berkumpul adik beradik. Adakalanya mengadakan majlis tahlil, melayan dan menemani emak. Ada masanya kami berbincang dan mengatasi sebarang masalah yang timbul. Rakan-rakan dan sedara yang lain juga turut bersama.Keadaan rumah yang belum siap sepenuhnya meresahkan kami. Ronie yang diamanahkan menguruskannya kerap sakit kepala. Selain itu Ronie juga terpaksa bekerja untuk kehidupannya.Adakalanya kami membantu Ronie menyiapkan rumah Abah.
Pada 29.12.08 kami meminta bantuan rakan Selinsing (Abang Mat Perang dan rakannya) untuk kerja-kerja “pluster” dinding. Abang Mat berkeras mahukan Ronie turut serta. Pada hari itu kami bertungkus lumus dan sedaya upaya menyelesaikan kerja-kerja tersebut. Ronie pun tidak banyak membantah malah meneruskan kerja walaupun rakan-rakan lain sudah lama pulang. Sebenarnya aku agak terkilan juga pada hari itu, pertama aku dan Nuar agak memaksa Ronie menyiapkan tugas walaupun dia agak letih. Kedua, Bang Mat tidak mahu menerima upah…. Hanya ambil duit rokok RM 10. Hati terubat apabila beliau menyatakan itu adalah sedekah jariahnya, memandangkan dia mengenali kami dan arwah Abah… Terima kasih…. Moga-moga usaha kita semua diberkati.
Ujian berikutnya datang setelah lima bulan Abah pergi. Ronie adik kami, rebah tiba-tiba, sewaktu bermain kompang di rumah sepupu kami, Ahmad Khusaini yang akan mengadakan majlis kahwinnya keesokan harinya.Sebelum itu Ronie agak ceria. Kami sempat bergurau pada waktu maghrib sebelum ke majlis. Petang tadi, dia bertungkus lumus menumbangkan dan menyembelih kerbau untuk majlis kahwin esok.Sebelum kepulanganku ke kampung, dialah yang paling sibuk bertanya bilakah aku akan balik. Apabila diaju mengapa sibuk bertanya dan memaksa aku balik, katanya nak memperingatkan kenduri sepupu dan nak ajak sama-sama melakukan tahlil di kubur Abah.
Setelah usaha memulihkanya gagal, kami membawa Ronie ke Hospital Daerah Taiping. Paling diruntun sayu apabila doktor menyatakan harapan untuk memulihkan Rinie tipis.Telah berlaku pendarahan pada saraf utama otak akibat bengkak yang telah lama. Patutlah Ronie selalu mengadu sakit kepala. Kami ingatkan “maigrain” biasa. Rupa-rupanya lebih dari itu.Setahun sebelum itu Ronie bekerja di Klang sebagai juru elektrik. Kepulangannya ke kampung bersama-sama anak dan isteri untuk tinggal dengan emak dan abah amat menghairankan kami.Alasannya untuk membantu Abah menguruskan sawah dan kebun. Tindakan yang sangat pelik.
Pada pagi 18 Mac 2009 Ronie menghembus nafas terakhir setelah koma selama 2 hari. Hiba dan pilu rasa hati. Aku dan adik-adik lain menangis semahunya. Emak entah berapa kali tidak sedarkan diri. Kini hanya rindu, tahlil dan doa yang berpanjangan dari kami, semoga Abah, Ronie dan sedara mara lain yang telah mendahului kami tempatkan bersama-sama para solihin. Al Fatihah……
Antara kata-kata Ronie yang masih kuingat “ Aku “jelous” kat hang, abah buat “raga batang” untuk hang, aku pun nak jugak”. “Aku tak akan makan durian pada tahun ni, kerana kebiasaanya aku makan selepas Abah makan”. Dan sememangnya Ronie tidak akan makan lagi durian selepas ini… Hari ini kami terpaksa redha, sebenarnya Ronie memang dipilih dahulu bertemu dan menemani Abah dalam usia yang agak muda. 32 Tahun.Dengan diiringi sanak sedara, sahabat handai serta pengajar dan pelatih Pusat Giat Simpang Empat, Semanggol, akhirnya Ronie disemadikan bersebalahan Abah, Mak Tih, Tok Wan dan Tuk. Dan tiada lagi Abah menanti kepulangan kami dengan ketupat Aidil fitrinya. Begitu juga Ronie, tiada lagi rendang wak-wak dan lemang Aidil Fitri buat kami selama-lamanya.Hilanglah kesayangan-kesayangan kami daripada pandangan mata. Esok atau lusa dan seterusnya kita dan kami pasti menyusul…menjejaki kalian...Al Fatihah.
Catatan ini sebagai kenangan keluarga khusus kepada arwah Abah dan Ronie. Kami sekeluarga Pn. Kamariah bt Min(emak), Rozita Dewi bt Zainol Abidin, Badrol Hisham b Zainol Abidin (Tokan), Khairul Anuar b Zainol Abidin, Muhammad Imran b Zainol Abidin,Abdul Wahid b Zainol Abidin(Abu Afaf), Khairul Husni b Zainol Abidin(arwah), Halil Khusairi b Zainol Abidin, Norizan Hanim bt Zainol Abidin, Kamarul Zaman b Zainol Abidin(Kuman), Solehhuddin b Zainol Abidin(Kudin), Zahratul Nor bt Zainol Abidin dan Siti Latifah bt Zainol Abidin, Isteri Ronie, Siti Rashidah dan anak-anak Muhammad Khairul Ridzuan, Khairul Rashid Redha dan Juhdah serta suami @ isteri dan anak-anak kami berterima kasih tidak terhingga kepada rakan Puakajoran.blogspot.Com dan sesesiapa sahaja yang menyumbangkan sedekah al Fatihah kepada arwah berdua.Terimakasih kepada yang mengucapkan takziah dan menghulurkan bantuan dan sumbangan sehingga urusan pengebumian dapat sempurnakan dalam masa yang singkat. Moga-moga Allah memberi keampunan dan merahmati kita semua. Amin…..
Tidak ketinggalan juga, ingatan tulus ikhlas terhadap guru-guru kami yang telah berjasa dan juga telah dijemput Allah iaitu Allahyarham Ustaz Khudri b Mansur, Allahyarham Cikgu Shauqi, Allahyarham Ust. Hj. Suffian Noor, Allahyarham Ust. Abdul Qadir b Qahar, Allahyarham Ustaz Mukhri, Allahyarham Ust. Ahmad b Lazim, Allahyarham Maulana Ayyub Syariff, Allahyarham Ust. Abd. Halim b Hj. Ali, Allahyarham Ust. Sir Shahar Mursyid b Abu Bakar, Allahyarhamah Ustzh Miskiah bt Abu Bakar, Allahyarham ust. Abdullah,Allahyarham ustz. Zainab, Allahyarham ust Ahmad Baharum,Allahyarhan Hj Ismail b Ibrahim, Allahyarham Cikgu Zauyah - Al Fatihah!
Salam ingatan juga kepada guru-guru yang masih menyumbang ilmu ataupun telah bersara iaitu Tn Hj Rafie b Mat Dahan, Cikgu Afidah Abd Rauf, Cikgu Che Moon b Ismail,Cikgu Faridah bt Hj Sarah, Mr. Mat, Cikgu Zainuddin b Othman(Pak Tam), Cikgu Zakaria Mat Leman, Cikgu Rahim, Ust Ishak,Cikgu Ariffin, Ustazah Suffiah, Ustaz Hj Abd. Rahim, Ust Mukhtar Putih,Cikgu Hj Abu Samah(Pak Abu),Cikgu Yatim,Cikgu Saidin, Cikgu Aminuddin, Ustazah Umi Kalsum b Abdul Rahman,Ust. Muhammad b Hussin,Ust Ahmad Jihbaz Mukhlis b Mukhtar Ghazalli,Ustaz Yahya Abdul Rahman(Guru Yahya) Cikgu Basir, Cikgu Abdul Basit, Cikgu Affendy,Cikgu Rokiah,Cikgu Rahimah Ibrahim,Ustaz Mahmood,Cikgu Suraya,Ust. Zulqarnain Hj Ahmad, Ust. Ghazali b Hj Ahmad,Cikgu Daud,Ust. Baharuddin b Hj Abd Latif, Ust Hj Mat Saman, Cikgu Abdul Rahman Hj Masri, Cikgu Zainal,Ust Ahmad b Awang,Cikgu Mat Razif, Cikgu Rashidah,Cikgu Ridzuan Ibrahim dan semua yang telah mendidik kami adik beradik, sama ada yang tercatat namanya atau tidak, Wallahuaqlam. -Tokan
KHAIRUL HUSNI BIN ZAINOL ABIDIN DALAM KENANGAN LIHAT SELANJUTNYA ....
Kali Terakhir Ku Lihat Wajah Mu
by
Uji Rashid
Dalam dakapan senja
Kurenungi
sinar matamu
Berat
rasa melepaskan
Dikau pergi
Dingin hembusan bayu
Lemah longlai langkah kakimu
Lambaianmu kian jauh
Dari mata
Malangnya...
Bencana menimpa
Kau telah pergi untuk selamanya
Tak kembali
Pada saat terakhir
Kumelihat paras wajahmu
Kau bisikkan hanya sayang
Kepadaku...