Monday, 27 November 2023

LAPORAN RINGKAS PERKHEMAHAN PERDANA UNIT-UNIT BERUNIFOM SKAB 2023

TARIKH:24 & 25 NOVEMBER 2023

HARI:JUMAAT DAN SABTU

TEMPAT: SK AMINUDDIN BAKI, SLIM RIVER

RASIONAL

Perkhemahan adalah antara aktiviti utama kegiatan kokurikulum di sekolah. Melalui aktiviti ini, unsur-unsur asas pembangunan kemanusiaan dipupuk secara ’hands on’ dengan para peserta mengalami sendiri situasi-situasi yang membuktikan pentingnya sifat-sifat mulia seperti bertolak ansur, bertoleransi, tolong-menolong, berdisiplin dan lebih mengutamakan kepentingan bersama daripada kepentingan diri sendiri. 

Aktiviti perkhemahan juga mendedahkan para peserta kepada cabaran-cabaran fizikal dan mental yang secara langsung akan memantapkan semangat juang dan keyakinan diri masing-masing, di samping memberi kesempatan kepada para peserta itu mengembleng daya inovasi dan kreativiti mereka dalam menyelesaikan masalah.

Seterusnya perkhemahan yang dilaksanakan secara sistematik dan bersepadu, secara langsung atau tidak, mewujudkan peluang kepada para peserta mengembangkan kemahiran kognitif, afektif, dan psikomotor masing-masing. Demikian jugalah aktiviti-aktiviti perkhemahan yang berteraskan unsur-unsur patriotisme akan turut menyumbangkan kepada pengukuhan perasaan cintakan agama, bangsa dan negara. 

MATLAMAT PROGRAM

Sesuai dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang berteraskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, maka program ini dirancang sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk melahirkan generasi pelajar yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek serta berpotensi untuk memberi sumbangan kepada kesejahteraan dan kemajuan diri sendiri, masyarakat, bangsa, agama dan negara.

Dalam konteks perkhemahan ini, aktiviti-aktiviti yang dirancang akan memberi peluang kepada para peserta memperkembangkan potensi diri masing-masing khususnya dari segi kepimpinan dan kreativiti di samping memperkukuh disiplin kendiri, semangat kerjasama dan kesediaan berdikari serta bertanggungjawab.

Justeru, untuk membantu merealisasikan matlamat utama di atas, maka pelaksanaan perkhemahan ini juga bertujuan untuk melahirkan generasi pelajar yang berwawasan, mempunyai imej kendiri positif, berakhlak mulia serta berfikiran matang sehingga mampu menangani masalah dan pancaroba hidup seterusnya.

Melalui aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan adalah dihasratkan agar para peserta memupuk kesedaran dan kefahaman perlunya mengamalkan prinsip-prinsip berorganisasi ke arah mencapai matlamat diri dan organisasi, mencintai keindahan dan keceriaan alam sekitar, membina sahsiah yang berdaya saing, berdaya tahan dan berdaya juang yang tinggi.

OBJEKTIF

Antara objektif yang ingin dicapai dalam program ini ialah :

1.Mendedahkan para peserta kepada aspek-aspek asas perkhemahan.

2.Melatih para peserta berkomunikasi antara satu sama lain.

3.Membimbing para peserta melaksanakan aktiviti-aktiviti kehidupan seharian secara teratur dan berdisiplin.

4.Memberi peluang kepada para peserta berseronok dan berekreasi dalam suasana semula jadi yang kondusif.

5.Memberi peluang kepada para peserta mengembangkan kreativiti masing-masing dalam bidang kesenian dan kebudayaan.

6.Membimbing para peserta menghayati dan mengamalkan rukun-rukun beragama dan kehidupun bermoral.

KUMPULAN SASAR

Semua murid Tahap 2 iaitu semua ahli Tunas Kadet Remaja Sekolah, Bulan Sabit Merah Malaysia, Pengakap dan Pergerakan Puteri Islam Malaysia. 

MESYUARAT PENYELARASAN DAN PEMBENTUKAN AJK PELAKSANA

Pada 17 November 2013 Mesyuarat diadakan bersama-sama AJK PIBG dan dalam mesyuarat tersebut sejumlah peruntukan diluluskan daripada tabung kewangan PIBG bertutujan membiayai sebahagian keperluan peserta perkhemahan dan pembelian khemah.






Mesyuarat AJK (Guru-guru) 21 November 2023.


PERSEDIAAN SEBELUM PROGRAM BERMULA

Sehari sebelum program bermula giat dilakukan pelbagai persiapan.Antaranya memastikan persekitaran selamat untuk melaksanakan program.Pembersihan dilakukan di kawasan yang berisiko. Antaranya, kawasan padang.

Persediaan untuk beraktiviti Uji Ketahanan Diri giat diusahakan. Segala keperluan disediakan oleh beberapa orang petugas antaranya cikgu Muthu dan Ustaz Abdul Ghani. 

Persiapan untuk membina stesen Uji Ketahanan Diri yang dirancang pada petang 23 November  terpaksa ditunda keesokan hari kerana hujan yang berlarutan sehingga ke pagi Jumaat 24 November 2023.

Tempat mandi tambahan untuk peserta juga diberi keutamaan.
Urusetia makanan untuk guru yang dibarisi Pn. Siti Fatimah bt Tai,Pn. Zalifah bt Ahmad,Pn. Inas bt Baharom,Pn. Noramirah bt Norhisham dan En. Ahmad Dusuki bin Zulfikli sibuk merancang menu dan menyediakan peralatan untuk memasak. 

Kesemua perbelanjaan  makanan dan menu guru disumbangkan oleh guru-guru dan pentadbir.

Persediaan alatan utama seperti khemah,peralatan siaraya dan elektrik telah disediakan oleh AJK terlibat. Antaranya, En. Saifil Azmi dan En.Yusmanizam. Mereka turut dibantu oleh AJK lain. 

AJK bahagian persembahan pula giat melatih peserta yang dibahagikan kepada 8 kumpulan untuk melakukan Persembahan Kebudayaan pada malam 24 November 2023.

JUMAAT 24 NOVEMBER 2023 HARI PERTAMA PROGRAM

7.30 Pagi
Peserta mula mendaftarkan diri untuk sesi pertama. Selepas sesi pendaftaran mereka diberi taklimat oleh Kem Komandan, Pn.Jariahtul dan dibantu oleh Pn. Ainon. 

Peserta dibahagikan mengikut kumpulan.Usai mendengar taklimat dan amanat,mereka diarahkan memasang khemah. 

Bermulalah aktiviti perkhemahan Perdana 2023 dengan rasminya. Peserta juga mengikuti LDK yang dikendalikan oleh fasilitator bertugas.




























Ice Breaking dan melukis logo kumpulan.














10.30 pagi

Peserta menyertai Amali Sembelihan yang dikendalikan oleh Panitia Agama Islam.

Agama Islam amat menitikberatkan soal kebersihan terutama halal dan haram  dalam kehidupan. Salah satu aspek yang perlu diberi perhatian ialah dalam hal berkaitan pemakanan.

Menyedari hakikat ini,  pengetahuan atau kaedah penyembelihan perlu dijelaskan kepada pelajar bermula dari kecil. Yang paling penting mereka patut diajar untuk melakukannya menurut kehendak syarak.Sembelihan juga berkait rapat dengan faktor kerohanian dan kesihatan.

Islam mengajar manusia berkasih sayang antara satu sama lain. Begitu juga terhadap haiwan.Kaedah penyembelihan haiwan perlu dilakukan dengan penuh berhemah agar tidak menyakiti haiwan tersebut.

Pada kali ini Panitia Agama Islam SKAB telah menganjurkan Amali Sembelihan Menurut Syarak kepada peserta Perkhemahan Perdana 2023. Tujuannya adalah untuk memberi pendedahan secara langsung tentang penyembelihan dan kebersihan dalam penyediaan makanan menurut agama Islam.

Beberapa perkara berkaitan sembelihan:

Sembelihan bermaksud menghilangkan nyawa binatang yang halal dimakan dengan cara memutuskan urat halkum dan marih dengan menggunakan alat yang tajam dengan niat kerana Allah ta’ala.

Rukun Sembelihan

Ulamak Fekah menetapkan bahawa rukun sembelihan terbahagi kepada empat iaitu;

- Penyembelih

- Binatang sembelihan

- Alat untuk menyembelih

- Keadaan (tempat/perbuatan) sembelihan

Syarat-syarat Sembelihan

*Penyembelih

- Hendaklah beragama Islam

- Baligh @ kanak-kanak yang mumaiyiz.

- Berakal ( tidak gila )

- Tidak berada dalam ihram haji atau umrah

- Membaca basmalah

*Binatang Yang Disembelih

- Binatang yang halal dimakan

- Binatang itu masih hidup

- Mati dengan sekali sembelihan

- Wajib putus urat pernafasan (urat marih) dan urat tempat laluan makanan (halkum)

*Alat Sembelihan

Mestilah alat yang tajam seperti pisau.

*Tempat Sembelihan

- Bagi sembelihan binatang yang berkuasa hendaklah dilakukan dengan cara menangkap dan disembelih ke atasnya. Wajib memutuskan urat halkum dan urat marih dengan sempurna.

- Bagi sembelihan binatang yang tidak berkuasa ke atasnya iaitu binatang yang tidak dapat disembelih 
pada lehernya, hendaklah dilukakan pada mana-mana bahagian tubuhnya sehingga binatang itu mati.

Aktiviti yang julung kali diadakan untuk beberapa tahun kebelakang ini sangat menarik minat peserta. Mereka agak teruja dan bersungguh-sungguh cuba memahami kaedah penyembelihan dan menguruskan haiwan yang telah disembelih.




















Sementara menantikan sesi petang, guru-guru dan AJK Pelaksana giat melaksanakan amanah yang dibrikan.Antaranya, menyediakan keperluan makan, persediaan tempat mandi,memasang dan menggantikan lampu yang rosak dan membina stesen aktiviti ujian ketahanan yang dijadualkan berlangsung pada sesi petang.

 Sesi pagi Jumaat 25 November berakhir pada pukul 12.00 tengah hari. Murid pulang untuk solat Jumaat.










24 NOVEMBER 2023 SESI PETANG

2.30 petang, sesi pendaftaran ke dua. Selepas taklimat, peserta menikmati makan tengah hari yang disajikan oleh pihak yang terlibat. 

Seterusnya peserta membuat persiapan akhir untuk malam kebudayaan sehingga masuk solat Asar.















4.50 Petang

Usai solat Asar dan sedikit tazkirah, peserta bersedia melakukan aktiviti Uji Ketahanan. Mereka dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan melalui beberapa stesen yang disediakan. Setiap stesen dikendalikan oleh dua orang petugas.

Kesemua peserta dapat mengharungi halangan pada  setiap stesen dengan baik.Rata-rata mereka sangat seronok dan meminta untuk melaksana tugasan untuk kali ke dua namun terpaksa ditolak kerana keadaan masa yang agak terhad.


































































Aktiviti berakhir pada pukul 6.30 petang. Peserta mandi dan membuat persiapan diri.

Guru-guru dan AJK Makanan pula sibuk menyediakan juadah makan malam. Terima kasih kalangan keluarga guru dan staff yang turut menyumbangkan tenaga dan turut membantu.Sangat enak hidangan spontan yang disediakan.













Solat Maghrib, bacaan Yassin dan solat Isyak berjamaah. Majlis dikendalikan oleh Ustaz Syed Hishamuddin. Usai aktiviti kerohanian dan makan malam, peserta melakukan Persembahan Malam Kebudayaan. 

Persembahan yang hebat dari peserta.Aktiviti ini mendapat sambutan yang sangat baik dan disiarkan secara langsung melalui aplikasi FB.Terdapat dalam kalangan ibu bapa turut hadir memeriahkan suasana.






































Persembahan Kebudayaan tamat pada pukul 12.00 malam. Peserta dibenarkan untuk minum malam, membersihkan diri dan bersedia untuk berehat.

Beberapa orang guru ditugaskan untuk mengawasi peserta perkhemahan  secara bergilir. Tidak banyak karenah yang ditimbulkan oleh peserta.

Kebanyakan peserta berehat dengan baik dan bangun pada keesokannya dengan waktu yang tepat.

HARI KEDUA 25 NOVEMBER 2023

Seawal pukul 5.00 pagi peserta sudah bangun dan mempersiapkan diri. Selesai menguruskan diri peserta bersedia untuk menunaikan solat fardu Subuh. Solat Subuh diimamkan oleh Ustaz Hj Abdullah dan sedikit tazkirah selepas usai solat.



7.15 pagi peserta menikmati sarapan pagi . Sedikit taklimat dikendalikan oleh Kem Komandan sebelum peserta mengikuti riadah yang dikendalikan oleh Sir Jabar dan Madam Ainon.


8.30 Peserta mengikuti LDK dengan pelbagai aktiviti menarik. Antaranya membuat logo-logo tertentu menggunakan formasi anggota kumpulan.








9.30 pagi kehadiran Pasukan Bomba dan Penyelamat bagi menyempurnakan sesi latihan untuk peserta dari sudut memberi pertolongan cemas dalam pelbagai situasi.





10.30 pagi sebahagian peserta digerakkan ke bilik-bilik yang dikhaskan untuk menjalani latihan dan amali CPR, ikatan dan anduh manakala sebahagian peserta masih terus menjalani LDK dan digerakkan mengikut kumpulan.








12.30 Tengah hari.  Selesai beraktiviti Pertolongan Cemas dengan pasukan Bomba dan Penyelamat . Peserta berhenti rehat untuk menguruskan diri,solat zuhur dan makan.






2.30 petang bersedia untuk  majlis  penutup. Wakil PPD Muallim, En. Khairul  sudi hadir dalam majlis penutup dan menyampaikan hadiah pada majlis tersebut. Majlis berakhir dengan sesi fotografi.

- Bacaan Doa
- Nyanyian lagu Negaraku, negeri Perak
- Ucapan Kem Komandan
- Ucapan Guru Besar
- Ucapan Wakil PPD
- Penyampaian hadiah
- Sesi fotografi
- Bersurai











































































Majlis berakhir pada jam 4.45 petang.Sekalong tahniah kepada Unit Kokurikulum, Penyelaras dan seluruh AJK serta fasilitator  yang berjaya melaksanakan tugas dengan cemerlang. Sambutan dalam kalangan peserta juga sangat menggalakkan dan mereka melaksanakan amanah dan tugasan  dengan cemerlang.



Sekian , terima kasih.



Disedian oleh:
Pn. Rushidawati bt Ismail

Juru foto:
Pn. Rushidawati dan guru-guru SKAB.

Disemak oleh:
Pn Hamidah bt Mat Saad,
Penyelaras Perkhemahan Unit Berunifom 2022/23.

Disahkan oleh:
Pn. Normasziana bt Abu Bakar.
Pk Kokurikulum SK Aminuddin Baki.

No comments:

Post a Comment