DALAM kehidupan seharian sifat jujur adalah sesuatu yang lahir
daripada hati yang ikhlas. Kejujuran membawa nilai yang baik dan besar
serta sangat penting dalam hubungan setiap insan.
Apabila melaksanakan amalan ibadah dan amal jariah mestilah disusuli
dengan sifat jujur tanpa ada niat lain di sebalik apa yang dilakukan.
Oleh itu, jangan sesekali sifat jujur itu dicemari dengan
menggandingkannya pada nama Ilahi, seperti menyatakan jujur dan ikhlas
kerana Allah, namun lain yang dihajati dan dilaksanakan.
Sifat jujur dapat difahami juga sebagai sifat ikhlas, suci hati dan tulus ikhlas dalam perbuatan dan percakapan.
Selain itu, jujur juga adalah sifat lurus dan keikhlasan hati dalam
semua percakapan, perbuatan dan aktiviti yang dilakukan. Pendek kata,
sifat jujur datangnya daripada hati.
Sukar sekali untuk mencari orang yang bersifat jujur pada masa kini.
Walaupun ada, tetapi pengaruh wang dan kebendaan menjadikan manusia
sudah mulai melupakan kejujuran.
Justeru, Umar bin Khattab pernah berkata: "Jujurlah, walaupun
kejujuran itu boleh membunuhmu. Pada setiap orang yang tidak jujur, akan
mempunyai dua penjaga iaitu air dan lumpur."
Jujur mempunyai pengertian yang besar dalam Islam. Ia adalah
sebahagian daripada iman. Sebab itu, seorang yang tidak mempunyai sifat
jujur adalah orang yang nipis imannya. Ini disebabkan iman dan sifat
jujur berjalan seiring. Jika salah satu diabaikan, maka kedua-duanya
akan hilang.
Sifat jujur adalah hiasan diri daripada hati. Ia merangkumi pelbagai
sifat yang mulia seperti amanah, malu, memelihara keaiban diri dan orang
lain, bersopan santun serta menjaga dan memelihara maruah diri kerana
Allah.
Sifat jujur dan tidak mengkhianati sangat penting. Daripada Abu
Hurairah Nabi SAW bersabda: "Tunaikan amanat kepada orang yang memberi
amanah kepada engkau dan janganlah kamu mengkhianati orang yang
mengkhianati orang." (riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi).
Lantaran itu, sifat jujur perlu ada pada diri setiap Muslim, melalui sifat ini ia akan menjadi perisai kepada orang beriman.
Sifat jujur perlu dididik dalam hati sejak seseorang itu masih kecil
lagi. Didikan dan bimbingan yang berterusan akan menjadikan seseorang
itu sentiasa jujur dan menuju kepada kesolehan.
Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah SWT tidak memandang segak
tubuhmu dan tidak pula pada kedudukan mahupun harta kekayaanmu, tetapi
Allah memandang pada hatimu. Barang siapa memiliki hati yang soleh maka
Allah menyukainya. Bani Adam yang paling dicintai Allah ialah yang
paling bertakwa." (riwayat Ath-Thabrani dan Muslim).
Oleh itu, hati yang jujur sangat dipandang mulia oleh manusia dan
juga mendapat balasan di sisi Allah. Hati yang jujur akan menjurus
kepada sifat soleh dan ketakwaan dalam melaksanakan sesuatu.
Orang yang paling disukai Allah adalah orang yang jujur apabila
menjual dan jujur apabila membeli dan jujur apabila membayar hutang,
serta lemah lembut apabila menagih hutang.
Jika ditinjau sifat kejujuran sangat indah. Rasulullah SAW
menjalankan perniagaan dengan penuh jujur, amanah dan ikhlas sehingga
mampu memperdagangkan barangan jualan Khadijah dengan keuntungan yang
banyak.
Dalam hal ini, baginda mengutamakan keredaan Allah dan mendapat
keberkatan dalam mencari rezeki yang halal. Malah sentiasa mengikut
syariat jauh daripada segala penipuan, riba, pengurangan dalam
timbangan. (rujuk an-Nisaa': 29)
Oleh itu, penipuan dalam perniagaan adalah salah satu sifat yang
tidak jujur yang selalu dilakukan oleh mereka yang tidak beriman. Ibadah
yang ikhlas dan jujur adalah ibadah yang bersih daripada sifat riak,
ujub dan bersih daripada takbur.