SEMERAH TINTA®

SEMERAH TINTA®
"Merah" membawa maksud sesuatu yang masih baru dan perlu melalui jangka waktu dan proses tertentu untuk matang.Pen merah amat sinonim dengan profesion perguruan.Tinta merah atau dakwat merah pula selalu dikaitkan dengan pembetulan, amaran ataupun catatan pelaporan yang biasanya dikaitkan dengan kegagalan di dalam ujian atau peperiksaan seseorang pelajar.Apapun, tinta merah bukanlah bertujuan untuk menunjukkan sesuatu yang negatif, sebaliknya sebagai satu motivasi agar sentiasa memperbaiki kelemahan dan sentiasa mahu berubah sehingga kejayaan dapat dikecapi."Semerah Tinta" dibina sebagai medan catatan dan maklumat berkaitan Pembelajaran dan Pengajaran.Terima kasih kepada rakan-rakan yang memberi pandangan, melayari dan menghubung (link) dengan laman atau blog lain. Segala paparan atau catatan adalah atas pandangan penulis sendiri dan boleh diperbaiki dari masa ke masa tertakluk kepada pandangan intlek dan dasar Kementerian Pelajaran Malaysia. Maklumat,teguran,pandangan dan perhatian daripada intelektual, warga pendidik serta rakan blog berkaitan Pengajaran dan Pembelajaran amat saya harapkan dan sangat-sangat dihargai.Semerahtinta juga lahir selepas puakajoran.blogspot.com,agrohias.blogspot.com,golokkraf.blogspot.com dan skb3.blogspot.com .Semoga kehadiran semerahtinta.blogspot ini dapat diterima dalam satu rangkaian.Terima kasih!- Tintamerah®.

SUMPAH SEMERAH TINTA:

SUMPAH SEMERAH TINTA:
MENGHAYATI BAHASA SYURGA,MEMARTABATKAN BAHASA MALAYSIA, MEMPERKUKUHKAN BAHASA INGGERIS,MEMPERTAHANKAN BAHASA IBUNDA,DAN MEMPERKAYAKAN BANGSA DENGAN SEMUA BAHASA.

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ. اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ . خَلَقَ الْإِنْسَانَ مِنْ عَلَقٍ .اقْرَأْ وَرَبُّكَ الْأَكْرَمُ .الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَم .عَلَّمَ الْإِنْسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ

In the name of God, Most Gracious, Most Merciful.Read in the name of your Lord,Who created.Created man, out of a (mere) clot of congealed blood.Proclaim! And thy Lord is Most Bountiful.He Who taught (the use of) the pen.Taught man that which he knew not.

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang menciptakan, Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah,Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan qalam (pen/tinta).Dia mengajarkan kepada manusia apa-apa yang tidak diketahui manusia.

Sahabat Maya - Tinggalkan Link Anda Supaya Senang Saya Follow Kembali - Terima kasih atas sokongan

Terima kasih atas sokongan.Tinggalkan Link supaya senang di "follow" kembali.

Friday 20 December 2013

Lebih 30,000 calon catat gred A peperiksaan PMR 2013 , Terengganu Catat Keputusan Keseluruhan Terbaik Kali ke 5 Berturut-turut


Terengganu terus mengekalkan rekod sebagai negeri yang mencatatkan pencapaian terbaik dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) buat lima tahun berturut-turut.


PUTRAJAYA - Sebanyak 30,988 atau 7.33 peratus daripada lebih 462,940 calon Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2013 memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran berdasarkan keputusan diumumkan hari ini.
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Khair Mohamad Yusof berkata, keputusan itu lebih baik berbanding 30,474 orang pada 2012 iaitu meningkat 0.41 peratus atau 514 calon.
Menurut Khair Mohamad, prestasi bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Pendidikan Islam menunjukkan peningkatan dari segi Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP).
"Bagaimanapun, GPMP bagi mata pelajaran Bahasa Melayu menunjukkan sedikit penurunan 0.03 mata kepada 2.35 mata pada 2013 berbanding 2.32 tahun lepas,"katanya pada sidang akhbar bagi mengumumkan keputusan PMR 2013 di sini.

Terengganu terus mengekalkan rekod sebagai negeri yang mencatatkan pencapaian terbaik dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) buat lima tahun berturut-turut.
Khair berkata, penurunan prestasi subjek Bahasa Melayu adalah kecil dan menunjukkan perubahan yang tidak signifikan. - Bernama.

1,839 Dapat Semua A di Kelantan

KOTA BHARU 19 Dis. - Kelantan mencatatkan kejayaan paling cemerlang Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2013 dalam tempoh enam tahun sama ada dari sudut pencapaian Gred Purata Negeri (GPN), peratus lulus am, Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) dan peratus kelulusan mata pelajaran.
Pengarah Pendidikan Kelantan, Hussain Awang berkata, negeri ini mencatat GPN 2.58 iaitu meningkat 0.04 daripada 2.62 tahun lalu dengan 99 buah sekolah menunjukkan peningkatan melebihi atau sekurang-kurangnya mengekalkan pencapaian Gred Purata Sekolah (GPS) tahun sebelumnya.
Beliau berkata, sebanyak 34,000 calon negeri ini telah mendaftar untuk menduduki PMR terdiri daripada 27,760 calon (81.65 peratus) dari sekolah Kementerian Pendidikan; 522 calon (1.53 peratus) Maktab Rendah Sains Mara (MRSM); 82 calon (0.24 peratus) swasta/persendirian dan 5,636 calon (16.57 peratus) sekolah kerajaan negeri.

Menurutnya, seramai 67.89 peratus atau 18,449 calon sekolah Kementerian Pendidikan lulus sekurang-kurangnya minimum D dalam semua mata pelajaran berbanding 65.80 peratus tahun lalu dengan jumlah calon yang memperoleh semua A adalah 6.78 peratus atau seramai 1,839 orang berbanding 5.79 peratus pada 2012.

Dalam masa sama, beliau turut memuji pencapaian Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Yahya Petra, Kuala Krai iaitu sebuah sekolah harian biasa yang mencatat keputusan setanding sekolah elit lain dengan kelulusan 100 peratus dan 81 calonnya mencatat semua A sehingga melayakkan sekolah tersebut memperoleh GPS 1.12 iaitu pada kedudukan keempat terbaik di negeri ini. 

1,729 Semua A di Sarawak


KUCHING - Pencapaian calon Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2013 bagi negeri ini adalah yang terbaik dalam tempoh 11 tahun iaitu meningkat kepada 2.86 mata berbanding 2.91 pada tahun sebelumnya mengikut Gred Purata Negeri (GPN).
Pengarah Pendidikan negeri, Datuk Abdillah Adam berkata, daripada 37,375 calon yang menduduki peperiksaan PMR, seramai 1,729 mendapat keputusan semua A manakala calon mencapai tahap menguasai semua mata pelajaran seramai 26,072 orang.
Beliau berkata demikian ketika mengumumkan keputusan PMR 2013 Peringkat Negeri Sarawak di Ibu Pejabat Jabatan Pendidikan di sini hari ini.  

Kedah Catat 2,264 Calon PMR Semua A


ALOR SETAR - Seramai 2,264 daripada 33,308 calon Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2013 di negeri ini mendapat A bagi semua mata pelajaran dan pencapaian itu menunjukkan peningkatan sebanyak 0.14 peratus berbanding tahun lalu.
Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir yang mengumumkan keputusan PMR itu berkata, jumlah calon yang mendapat semua A meningkat daripada 2,083 orang tahun lalu kepada 2,264 pada tahun ini iaitu meningkat seramai 181 orang.
Beliau berkata, pencapaian calon bandar dan luar bandar yang mendapat semua A juga meningkat iaitu melibatkan seramai 1,674 calon bandar dan 590 calon luar bandar yang masing-masing mengalami peningkatan sebanyak 1.14 peratus dan 0.66 peratus.
"Sebanyak 13 buah sekolah mendapat pencapaian kelulusan 100 peratus manakala sebanyak 29 buah sekolah mendapat peratus kelulusan melebihi 90 peratus," katanya ketika mengumumkan keputusan PMR 2013 di Majlis Pengumuman Keputusan PMR 2013 di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Bahiyah di sini hari ini.
Mukhriz memberitahu, Gred Purata Negeri (GPN) bertambah baik pada tahun ini iaitu 2.73 berbanding 2.81 tahun lalu.
Secara keseluruhannya, keputusan PMR 2013 di Kedah menunjukkan peningkatan daripada semua aspek termasuk peningkatan GPN, peningkatan peratusan semua mata pelajaran kecuali Kemahiran Hidup 2, peningkatan kelulusan semua mata pelajaran dan jumlah calon yang mendapat semua A. 

1,733  Calon Catat Semua A di Terengganu

TERENGGANU - Keputusan PMR 2013 mencatatkan rekod terbaik dalam tempoh sembilan tahun setelah 1,733 atau 8.19 peratus daripada 21,159 calon memperoleh A dalam semua mata pelajaran.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Zakaria Hussin berkata, jumlah itu meningkat sebanyak 175 orang atau 1.04 peratus berbanding tahun lalu sebanyak 1,558 (7.15 peratus).
"Sebanyak 28 buah daripada 138 sekolah di negeri ini berjaya mencatat gred purata sekolah (GPS) cemerlang iaitu 1.00 hingga 1.80 atau prestasi A.
"Empat orang daripada 158 calon berkeperluan khas juga memperoleh keputusan terbaik dengan seorang calon memperoleh 9A, dua calon memperoleh 8A 1B dan seorang calon lagi memperoleh 7A 1D. 

2,205 calon di Perak dapat semua A


PERAK - Pengarah Pendidikan Perak, Muhamat Roli Hassan berkata, sebanyak 38,872 calon mengambil PMR di 315 buah pusat peperiksaan di negeri itu.
Menurut Muhamat Roli, pelajar bandar memperoleh A dalam semua mata pelajaran ialah 2,205 manakala pelajar luar bandar sebanyak 905 orang. 

3,948 calon di Johor semua A 


JOHOR - Sebanyak 3,948 calon PMR di negeri itu berjaya memperoleh Gred A dalam semua mata pelajaran diduduki berbanding 3,916 calon pada tahun lepas.
Pengarah Pelajaran Johor, Mohd Nor A.Ghani berkata, daripada jumlah itu 432 calon memperolehi 9A, 3,146 calon (8A), 355 calon (7A), 14 calon (6A) manakala seorang calon memperoleh 5A.
Mohd Nor berkata, secara keseluruhannya, pencapaian calon dalam 15 mata pelajaran akademik bertambah baik tahun ini dengan peningkatan sebanyak 0.04 mata GPN iaitu daripada 2.69 mata pada tahun lepas kepada 2.65 mata tahun ini. - Bernama

Friday 22 November 2013

Wajah Desaku - Dato DJ Dave

BEGITU LAMA KUTINGGALKAN KAMPUNG LAMAN AYAH BONDA
TIBA MASANYA KUKEMBALI BERTEMU MEREKA
INGINKU MENGHILANGKAN KERUNSINGAN
HASRAT HATI MENCARI KEDAMAIAN
MENYAKSI KEINDAHAN ALAM
NAN TERBENTANG CIPTAAN TUHAN

HIDUP DI DESA KISAHNYA TAK SEPERTI DI KOTA
JIKA DI SANA KUIKUTI PEPATAH RANG TUA
MENYUSUP PADI MENGIKUT IRAMA
SESUAIKAN DIRI DI MANA BERADA
PASTIKAN BERBANGGA IBUKU
AKU TETAP SEPERTI DULU

ALANGKAH BAHAGIA DI HATI BERUBAH WAJAH DESAKU KINI
TALI AIR MERENTANG SAWAH
KUNING PADI MENYILAU MATA
JENTERA DI BENDANG PETANI BERDENDANG
DI JIWA KERIANGAN
JALAN TAK BERDEBU MENYAMBUT PULANGKU
HATIKUPUN TERHARU

TIADA LAGI ANAK-ANAK BERMAIN AIR DI SUNGAI
TAK KUDENGARI KEMERDUAN TIUPAN SERUNAI
KENANGAN LALU MASIH KUHARGAI
WALAU KINI TAK MUNGKIN DITEMUI LAGI
PERUBAHAN WAJAH DESAKU
MEMBERI KEHIDUPAN BARU...

Video Klip di sini : http://www.youtube.com/watch?v=1GRpmkrzwUw


Thursday 21 November 2013

Di Desa Kasihku Tertumpah - Dato DJ Dave

Saujana mata memandang
Kehijauan sawah terbentang
Tenangnya sungai mengalir
Perahu nelayan ke hilir.

Pepohon melambai-lambai
Beburung terbang berkicau riang
Di sini kasih tertumpah
Indahnya bumi bertuah.

Korus

Malangnya di sana sini
Hanya ayah tua yang bekerja
Ibunda di rumah menanti
Anak muda ke kota

Hibanya rasa di hati
Teman dan rakanku menghilang diri
Kekasihku turut tergoda
Tinggalkanku di desa.

Walaupun hidup sendiri
Kesepian tak ku hiraukan
Sungguhpun kota mengindah
Di desa kasihku tertumpah

Pulanglah bila bercuti
Ketenangan desaku menanti
Saksikanlah ku bila jauh 
yang setia menunggu mu.

Tuesday 12 November 2013

Terima kasih Cikgu SKB3

Terima kasih cikgu

Joget Berhibur

Haiwanatun Alifah ...Kalam Jamaie
Terukir di bintang

Tuesday 22 October 2013

DSKP, BUKU PANDUAN GURU BAHASA MALAYSIA TAHUN 4,BAHAN DSKP BAHASA MALAYSIA,PENDIDIKAN AGAMA ISLAM,PENDIDIKAN RBT,SEJARAH,KSSR TAHUN 4


  • Buku Panduan Guru Bahasa Malaysia Tahun 4 (KSSR) muat turun 
  • Bahan DSKP KSSR MATA PELAJARAN BAHASA MALAYSIA Tahun 4 (KSSR) muat turun
  • DSKP KSSR Pendidikan Agama Islam Tahun 4 (KSSR) muat turun
  • DSKP KSSR Sejarah Tahun 4 (KSSR) muat turun
  • DSKP KSSR RBT Tahun 4 (KSSR) muat turun
  • DSKP KSSR Pendidikan Moral Tahun 4 (KSSR) muat turun
  • DSKP KSSR Pendidikan Muzik Tahun 4 (KSSR) muat turun

Tuesday 10 September 2013

Cara Selamat Sewaktu Pergi dan Pulang Dari Sekolah

Ramai murid yang pergi dan pulang dari sekolah terdedah kepada bahaya. Bahaya seperti kemalangan dan jenayah boleh berlaku akibat kecuaian atau pun aspek keselamatan yang tidak dititikberatkan. Berikut dipaparkan beberapa panduan tentang cara selamat sewaktu pergi dan pulang dari sekolah.

 
A. PERANAN MURID

1. Pastikan kenderaan yang digunakan atau dinaiki selamat .

2. Memahami dan mengamalkan peraturan mengenai keselamatan diri dalam perjalanan pergi dan pulang dari sekolah.

3. Mengamalkan langkah-langkah keselamatan seperti berikut:

a. Berjalan dalam kumpulan.

b. Ikut jalan yang selamat .

c. Lengkapkan diri dengan kemahiran mempertahankan diri .

d. Tidak menumpang kenderaan orang yang tidak dikenali .

B. PERANANAN IBU BAPA

Antara peranan yang boleh dimainkan oleh ibu-bapa ialah:

1. Bergotong royong membersihkan kawasan yang menjadi laluan murid.

2. Memastikan anak-anak selamat pergi dan balik.

3. Mendidik anak dalam aspek keselamatan diri.

4. Kenderaan yang dibawa ke sekolah dalam keadaan baik.

5. Menasihatkan anak-anak tidak menumpang kenderaan orang yang mereka tidak kenali.

1.0 Pejalan Kaki 

Sebagai pejalan kaki murid-murid atau pelajar haruslah menjaga keselamatan dengan mengamalkan peraturan dan perkara berikut:

1.1 Melintas Jalan

Perkara penting yang patut didkuti ketika melintas jalan ialah:
a. Cari tempat yang terdekat dan selamat untuk melintas.

b. Hendaklah berdiri di atas kaki lima jalan.

c. Awasi lalu lintas sekeliling.Lihat kanan,lihat kiri dan lihat kanan lagi.Pastikan tiada kendaraan dan melintaslah apabila yakin selamat.
d. Undur kebelakang, 1 meter apabila melihat kenderaan besar.

e. Ikut arahan warden trafik atau pengawal keselamatan jika ada.

1.2 Tempat-tempat yang selamat untuk melintas jalan raya.

a. Lintasan pejalan kaki

b. Laluan bawah

c. Jejantas

d. Dekat lampu isyarat

e. Menggunakan pemisah jalan atau pulau lalulintas

f. Di tempat yang terdapat angggota polis, waden trafik dan pengawal lalulintas sekolah yang bertugas.

1.3 Cara melintas jalan di lintasan pejalan kaki

a. Berilah kesempatan untuk pemandu melihat anda dan memberhentikan kenderaannya sebelum anda melintas.

b. Pastikan semua kenderaan berhenti dan berjalan dengan cermat bila melintas.

1.4 Cara melintas jalan di lampu isyarat.

a. Melintaslah apabila lampu untuk pejalan kaki menyeberang berwarna hijau.

b. Apabila lampu untuk pejalan kaki menyeberang berkelip, bererti lampu akan bertukar kepada merah dan anda dinasihatkan supaya berhenti daripada melintas. Jika anda sedang melintas percepatkan langkah anda.

1.5 Berjalan kaki

a. Hendaklah berjalan kaki di atas kaki lima jika ianya disediakan.

b. Jika tiada kaki lima, hendaklah berjalan kaki di sebelah kanan jalan raya dan sentiasa memandang lalulintas yang datang dari arah hadapan.

c. Anda hendaklah berjalan di tepi jalan dan janganlah sekali-kali berjalan bergandingan kecuali memimpiun orang buta atau orang tua.

1.6 Berjalan pada waktu malam

Pejalan kaki hendaklah memakai dan menggunakan alatan berikut supaya pemandu kenderaan lain melihat anda.

a. Pakaian cerah atau bersinar.

b. Membawa suratkhabar atau benda-benda yang putih.

c. Memakai pemantul cahaya.

d. Gunakan lampu picit.


1.7 Berjalan pada waktu hujan

a. Pakailah baju hujan.

b. Jika menggunakan payung, pegang dengan betul supaya tidak menghalang pandangan depan dan gunakan

payung yang berwarna terang.

c. Berjalan dengan cermat supaya tidak tergelincir kerana jalan yang basah dan licin.

d. Berjalan dengan memandang ke hadapan.

1.8 Perkara-perkara yang patut dielakkan

a. Menyeberang jalan di tempat yang bukan dikhaskan seperti melompat atau memanjat pembahagi jalan.

b. Bermain atau bergurau senda di jalan raya.

c. Menggunakan jalan yang sibuk.

d. Tidak mematuhi arahan lampu isyarat.

e. Menyeberang di celahan kenderaan lain.

2.0 Menunggang basikal atau motosikal

a. Menunggang basikal di sebelah kiri jalan raya.

b. Ditegah menunggang basikal bergandingan atau di celahan lalulintas lain.

c. Ekori kenderaan lain pada jarak yang selamat.

d. Sentiasalah memandang ke hadapan.

e. Awasilah ketika memotong kereta yang berhenti kerana mungkin ada penumpang yang membuka pintu.

f. Memegang hendal dengan kedua-dua belah tangan kecuali member isyarat tangan sebelum membelok.

g. Turun daripada basikal dan menyorongnya apabila mendaki bukit.

h. Gunakan karier untuk membawa barang atau buku.

i. Jangan menggunakan payung semasa hujan.

j. Jangan membawa pembonceng basikal.

k. Jangan berpaut pada belakang atau tepi kenderaan.

l. Pastikan lampu dalam keadaan baik.

m. Jika menunggang pada waktu malam pakailah pakaian yang membolehkan pemandu kenderaan dan pengguna jalan raya dapat melihat anda dengan lebih baik.

n. Periksa lampu, brek, tayar, rantai, dan jarak tinggi hendal.

0. Sentiasa patuh kepada undang-undang dan semua peraturan-peraturan lalu lintas.

p. Gunakan jalan yang paling selamat dari lalulintas yang sibuk.

q. Awasi sebelum membelok kanan atau kiri, beri isyarat dari lalulintas yang sibuk.

r. Penunggang basikal/motosikal hendaklah meletakkan basikal atau motosikal di tempat yang disediakan.

3.0 Menaiki Bas atau Kereta

a. Jangan menaiki atau turun dari kenderaan ketika kenderaan masih bergerak.

b. Menggunakan pintu yang disediakan untuk masuk dan keluar.

c. Jangan sengaja menghimpit penumpang-penumpang lain ketika menaiki atau turun dari kenderaan.

d. Jangan merosakkan mana-mana bahagian kenderaan.

e. Elakkan menggangu tumpuan pemandu tanpa sebarang sebab seperti berbual atau bermain.

f. Jagalah kebersihan kenderaan.

g. Jangan membaling sesuatu keluar dari kenderaan.

h. Jangan meletakkan atau mengikatkan sebarang benda yang bergantungan atau berjuntai pada badan kenderaan.

i. Hendaklah sentiasa bersopan dan beratur seperti tidak berebut-rebut ketika menaiki kenderaan.

j. Jangan membuka pintu kenderaan untuk keluar sehingga dipastikan selamat.

k. Sentiasa patuh undang-undang dan peraturan lalulintas.

l. Ketika kenderaan sedang bergerak janganlah bermain-main dalam kenderaan seperti melambaikan tangan keluar, menghulurkan kepala dan sebagainya.

4.0 Semasa Menunggu Kenderaan

a. Semasa menunggu kenderaan, murid-murid dilarang bermain dan berkejar-kejaran.
b. Ibu bapa atau pemandu kenderaan hendaklah memimpin murid-murid ke kenderaan sekiranya mereka menunggu di seberang jalan.

Kesimpulannya, kita perlu sentiasa berwaspada dengan mematuhi aspek keselamatan agar terhindar daripada kemalangan dan kejadian jenayah. Setiap peraturan yang dirangka bertujuan memastikan setiap murid yang pergi dan pulang dari sekolah sentiasa terjamin keselamatannya. Ingatlah, "Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya"

Majlis Perpisahan Tahun Enam – Karangan Jenis Ucapan

Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Tuan Haji Zambri Bin Abdul Rahim,Guru Besar Sekolah Kebangsaan Besout 3, guru-guru penolong kanan, guru-guru serta rakan-rakan sekalian. Terima kasih saya ucapkan kerana memberi ruang kepada saya untuk berucap dalam majlis perpisahan ini.

Hadirin sekalian,

Cepatnya waktu berlalu.Sedar tidak sedar, usia kami sudah menjangkau enam tahun berada di bawah bimbingan guru-guru sekolah ini. Kini, tinggal hanya beberapa hari sahaja lagi sebelum kami melangkahkan kaki ke alam sekolah menengah. Walaupun terasa berat di hati namun kami terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada guru-guru dan adik-adik yang dikasihi.Hakikat yang terpaksa dilalui meskipun kami amat menyayangi sekolah ini.

Sebagai ketua pelajar, saya mewakili murid-murid Tahun 6 mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada guru-guru di sekolah ini. Kami amat menghargai akan jasa kalian yang telah mendidik kami dengan penuh dedikasi, sabar, dan penuh kasih sayang. Dengan didikan dan bimbingan gurulah kami telah tahu membaca, menulis, dan mengira. Pesanan guru-guru yang ingin melihat kami menjadi insan yang berakhlak dan berguna kepada masyarakat dan negara akan sentiasa kami ingati.

Hadirin sekalian .

Seperti yang kita ketahui setelah bertungkus lumus sejak sekian lama, pada tahun ini Sekolah Kebangsaan Besout 3 telah berada di persada kegemilangan. Sekolah kita berjaya mendapat keputusan yang cemerlang dalam UPSR. Seramai 25 orang murid telah mendapat keputusan 5A dan tiada seorangpun murid yang kandas walaupun dalam satu mata pelajaran. Pencapaian ini amat membanggakan. Kejayaan yang cemerlang ini sudah pastinya hasil titik peluh semua pihak terutama guru-guru yang tidak jemu mendidik kami.Sebagai murid Tahun 6 kami berasa amat bertuah kerana warga pendidik di sekolah ini begitu perihatin dan berdedikasi.

Pada majlis yang terakhir ini kami berjanji akan terus belajar dengan bersungguh-sungguh sehingga mencapai kejayaan yang cemerlang di sekolah menengah nanti. Jasa dan pengorbanan guru-guru tidak mampu kami balas. Hanya doa untuk kesejahteraan sahaja yang mampu kami lakukan sebagai membalas segala jasa guru-guru. Kami berharap agar guru-guru juga dapat mendoakan kami supaya terus memperoleh kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran pada masa-masa akan datang.

Akhir kata saya mewakili rakan-rakan memohon maaf atas segala kesilapan dan kesalahan sepanjang kami berada di sekolah ini. Halalkan segala ilmu yang guru-guru curahkan kepada kami. Jasa dan bakti guru-guru akan kami kenang sehingga akhir hayat.

Sebelum saya mengundur diri terimalah serangkap pantun,

Tuai padi antara masak,
Esok jangan layu-layuan,
Intai kami antara nampak,
Esok jangan rindu-rinduan.

Sekian, terima kasih.

Monday 9 September 2013

478,848 calon UPSR duduki peperiksaan tahun ini mulai esok

KUALA LUMPUR : Seramai 478,848 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2013 akan menduduki peperiksaan bertulis mulai 10 hingga 12 Sept ini di 8,268 pusat peperiksaan di seluruh negara.

Kenyataan Lembaga Peperiksaan Kementerian Pendidikan Malaysia hari ini menyebut, daripada jumlah itu, 469,882 adalah pelajar sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan manakala 8,966 lagi dari sekolah swasta yang bahasa pengantarnya adalah bahasa Melayu.

"Seramai 49,117 petugas peperiksaan telah dilantik dan calon diingatkan untuk merujuk kepada jadual waktu peperiksaan untuk maklumat mengenai masa peperiksaan serta arahan dan amaran yang perlu dipatuhi," katanya.

Menurut kenyatan itu, jadual waktu peperiksaan telah diedar ke sekolah dan boleh dimuat turun daripada laman sesawang Lembaga Peperiksaan di alamat http://www.moe.gov.my/lp.

"Calon diingatkan untuk membawa kad pengenalan ke pusat peperiksaan bagi memastikan urusan pengendalian peperiksaan berjalan lancar," katanya.

Sunday 8 September 2013

Kebaikan-kebaikan Menyertai Aktiviti Kokurikulum - Karangan Jenis Fakta

Contoh 1

            Kegiatan kokurikulum ialah aktiviti di luar bilik darjah. Terdapat banyak jenis kegiatan  kokurikulum di sekolah. Kegiatan tersebut termasuklah aktiviti badan beruniform, kelab dan persatuan serta sukan dan permainan. Semua pelajar digalakkan menyertai kegiatan kokurikulum.

Ada banyak faedah menyertai kegiatan kokurikulum.Salah satu faedah kegiatan kokurikulum ialah kita dapat memenuhkan masa lapang. Orang yang memenuhi masa lapang dengan aktiviti berfaedah tidak terlibat dengan gejala sosial. Mereka sentiasa sibuk dengan aktiviti di sekolah.  Sebagai contoh, jika mereka aktif dalam bidang sukan, mereka akan berlatih setiap petang. Oleh itu masa lapang mereka terisi sepenuhnya.                       

Selain itu, kegiatan kokurikulum juga dapat melatih pelajar menjadi pemimpin. Ada berbagai-bagai jawatan dalam persatuan. Sebagai contoh, jawatan pengerusi, setiausaha, bendahari, ahli jawatankuasa dan ahli biasa. Apabila pelajar memegang jawatan pengerusi, mereka akan belajar menjadi ketua. Begitu juga dengan jawatan-jawatan lain.                           

Di samping itu, dengan menyertai kegiatan kokurikulum juga kita dapat membentuk disiplin diri. Disiplin sangat penting untuk mencapai kejayaan. Pelajar yang tidak berdisiplin susah untuk berjaya. Sebagai contoh, apabila hendak menjalani latihan sukan,, kita mesti menepati masa. Jika terlewat, kita akan ketinggalan dan rugi. 
                       
Badan kita akan menjadi sihat apabila menyertai kegiatan kokurikulum. Kita boleh menjadi ahli kelab sukan seperti pasukan bola sepak dan pasukan bola tampar. Untuk menang dalam pertandingan yang disertai, kita akan menjalani latihan. Dengan latihan itu kita akan menjadi cergas. Badan akan mengeluarkan peluh. Kita akan menjadi sihat dan kuat. Kita juga tidak akan mudah sakit.            

         Akhir sekali, kegiatan kokurikulum akan mengukuhkan lagi perpaduan. Setiap persatuan dan kelab ada banyak ahlinya. Ahli-ahlinya terdiri daripada pelbagai kaum. Ada yang berbangsa Melayu, Cina, India dan lain-lain. Dalam aktiviti yang dijalankan, semua ahli akan berkumpul. Mereka boleh berbincang untuk bertukar-tukar pendapat. Dengan ini akan mengeratkan hubungan sesama mereka.            


Contoh 2

              Kegiatan kokurikulum ialah aktiviti di luar bilik darjah. Terdapat banyak jenis kegiatan kokurikulum di sekolah. Kegiatan tersebut termasuklah aktiviti badan beruniform, kelab dan persatuan serta sukan dan permainan. Semua pelajar digalakkan menyertai kegiatan kokurikulum mendatangkan banyak faedah.

         Antara faedah kegiatan kokurikulum ialah dapat mengisi masa lapang. Dengan menyertai aktiviti kokurikulum, kita tiada masa untuk bergaul dengan budak-budak nakal atau kacang hantu.Secara tidak langsung akan dapat menghindari diri kita daripada terjebak dengan gajala sosial. Contohnya, jika kita aktif dalam bidang sukan, kita akan berlatih setiap petang. Oleh itu, kegiatan kokurikulum dapat mengisi masa lapang dengan berfaedah.

             Selain itu, kegiatan kokurikulum juga dapat melatih pelajar menjadi pemimpin. Ada pelbagai jawatan dalam persatuan seperti pengerusi, setiausaha, bendahari, ahli jawatankuasa dan ahli biasa. Apabila pelajar memegang sesuatu jawatan maka kita akan belajar menjadi ketua dan menguruskan aktiviti persatuan. Ahli biasa juga boleh belajar daripada kawan-kawan yang ada jawatan. Oleh hal yang demikian, dengan menyertai aktiviti kokurikulum, pelajar akan belajar menjadi pemimpin.

          Di samping itu, dengan menyertai kegiatan kokurikulum juga kita dapat membentuk disiplin diri. Disiplin sangat penting untuk mencapai kejayaan. Pelajar yang tidak berdisiplin susah untuk berjaya. Contohnya, kita akan dilatih menepati masa, berpakaian kemas dan mematuhi peraturan sama ada peraturan perkhemahan, bersukan dan sebagainya.

          Akhir sekali, kegiatan kokurikulum akan mengukuhkan lagi perpaduan. Setiap persatuan dan kelab ada banyak ahlinya. Ahli-ahlinya terdiri daripada pelbagai kaum seperti Melayu, Cina, India dan lain-lain. Dalam aktiviti yang dijalankan, semua ahli akan berkumpul. Kita boleh berbincang untuk bertukar-tukar pendapat serta bekerjasama dalam melakukan sesuatu aktiviti. Dengan ini akan mengeratkan hubungan sesamakita.

          Kesimpulannya, terdapat banyak faedah apabila kita menyertai kegiatan kokurikulum. Pihak sekolah hendaklah mengadakan aktiviti yang menarik untuk menggalakkan pelajar menyertainya. Ibu bapa pula hendaklah menggalakkan anak-anak mereka terlibat dengan kegiatan kokurikulum. Dengan cara itu, kita akan dapat menghasilkan pelajar yang cemerlang.

Rujuk : http://semerahtinta.blogspot.com/2012/

Wednesday 7 August 2013

Salam Aidil Fitri 1434 H

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Didoakan supaya Allah  memberkati segala amalan dan kehidupan kita serta sentiasa memberi petunjuk kepada kita se­hingga kita bertemu dengan Allah dalam keadaan yang diredai­Nya. Sesungguhnya hari pertemuan kita dengan Allah adalah hari yang paling bahagia.
Maaf Zahir dan Batin.

تقبل الله منا ومنكم  
May Allah accept it from you and us 
Semoga Amalan Kita Diterima Oleh Allah



Selamat Hari Raya Aidilfitri 1434H

Thursday 11 July 2013

Pertandingan "Educational Blogging" 2013 Peringkat Kebangsaan Anjuran Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

Pertandingan Educational Blogging Peringkat Kebangsaan anjuran Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah kembali .

Educational Blogging
Pendaftaran telah dibuka
1 Julai 2013 sehingga 4 Oktober 2013
sebelum 11.59pm
Klik di sini untuk pendaftaran.
Pendaftaran bermula pada 1 Julai 2013 sehingga 4 Oktober 2013.
Pertandingan ini terbuka kepada bloger yang mempunyai kandungan blog menarik dan berbentuk ilmiah.
Untuk maklumat lanjut klik disini : http://ict.upsi.edu.my/

 
Imbas Kembali, Pemenang Educational Blogging 2012



KATEGORI SEKOLAH

TEMPAT PERTAMA
ROMIZAL AMIR BIN ROSDI
790121-14-5249
http://www.cikguromie.net/

TEMPAT KEDUA
MOHD NARZUKI BIN YAACOB
691010-03-5043
http://cgnarzuki.com

TEMPAT KETIGA
ZULKIFLY CHE HUSIN
830904-71-5037
http://arabicforus.blogspot.com

TEMPAT KEEMPAT
PN WAN RAHILAH BT WAN ABDULLAH
840606-06-5346
http://arabicforus.blogspot.com

TEMPAT KELIMA
HAMDAN BIN HAJI MUHAMMED IDRIS
750228-05-5669
http://rmmict.blogspot.com

TEMPAT KEENAM
ZUBAIDAH BINTI MOHAMAD ALI
730207075494
http://cgzue.blogspot.com

TEMPAT KETUJUH
ZEFRY HANIF BIN BURHAM @ BORHAN
810427016269
http://www.cikgujep.com

KATEGORI IPT

TEMPAT PERTAMA
DR. ZULKIFLI HASAN
770603-08-7055
http://zulkiflihasan.wordpress.com

TEMPAT KEDUA
AZMAN BIN ARIFFIN
740518-02-5557
http://www.titas-haba.blogspot.com

TEMPAT KETIGA
ADELINA ASMAWI
750123-14-5334
http://www.thelushtree.blogspot.com
KATEGORI TERBUKA

TEMPAT PERTAMA
NORHAIZAN ABD KADIR
780927-03-5496
http://marimengait.blogspot.com

TEMPAT KEDUA
CHIEN SOON LEONG
930108-13-5283
http://accountingtutorialmsia.blogspot.com

TEMPAT KETIGA
BADROL HISHAM BIN ZAINOL ABIDIN
690619-08-5919
http://agrohias.blogspot.com

TEMPAT KEEMPAT
TAMILPANDIYAN A/L BALACHANDRAN
960119-08-6189
http://p-zinev1.blogspot.com

TEMPAT KELIMA
MOHD HAFIZ MD HANIF
840820-10-5847
http://www.k.able.my
  Terima kasih kepada penganjur dan tahniah kepada para pemenang Educational Blogging 2012.

Thursday 27 June 2013

Syarahan: Cara-cara Mengurangkan Kadar Kemalangan Jalan Raya

Syarahan: Cara-cara Mengurangkan Kadar Kemalangan Jalan Raya

Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Tuan Guru Besar, guru-guru, serta rakan-rakan sekalian. Tajuk syarahan saya pada pagi ini ialah "Cara- cara Mengurangkan Kadar Kemalangan Jalan Raya di Negara Kita".

Hadirin sekalian,

Kita boleh mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di negara kita dengan mematuhi peraturan-peraturan jalan raya yang ditetapkan seperti tidak menggunakan telefon bimbit semasa memandu, mematuhi lampu isyarat dan sebagainya lagi. Ini kerana, peraturan-peraturan ini diwujudkan bagi menjaga keselamatan para pengguna jalan raya itu sendiri.

Menggunakan telefon bimbit ketika memandu boleh mengurangkan kosentrasi. Ini tentu boleh menyebabkan kemalangan jalan raya.

Selain itu, pemandu mesti memeriksa kenderaan sebelum pemanduan. Antara yang mesti diperiksa ialah tayar, enjin dan lain-lain lagi. Ini kerana banyak kemalangan yang berlaku akibat kerosakan kereta semasa dalam pemanduan.

Hadirin sekalian,

Pihak-pihak yang bertanggungjawab mestilah mengambil berat tentang keadaan struktur jalan raya. Ini kerana, keadaan struktur jalan raya yang teruk juga banyak menyumbang kepada kemalangan.

Di samping itu, pemandu juga haruslah memandu dengan had laju yang ditetapkan. Memandu kenderaaan dengan laju boleh menyebabkan kita hilang kawalan terutama apabila berlaku sesuatu kejadian yang tidak disangka atau mencemaskan.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Akhir sekali, sekali lagi saya ingin mengingatkan kepada semua supaya sentiasalah berwaspada semasa memandu di jalan raya. Bak kata pepatah, "Biar lambat asalkan selamat".

Sekian, terima kasih.

Kebaikan-kebaikan Membaca

Fakta: Kebaikan-kebaikan Membaca

Membaca mempunyai banyak kebaikannya. Ibu bapa haruslah memupuk minat membaca di kalangan anak-anak sejak dari kecil lagi. Apatah lagi pada masa ini bahan bacaan yang sesuai seperti surat khabar, majalah dan sebagainya sangat mudah kita dapati seperti di kedai-kedai berdekatan rumah atau melalui internet.

Antara kebaikan membaca ialah mengetahui perkembangan terkini dan menambahkan ilmu pengetahuan. Contohnya apabila kita membaca surat khabar, kita akan mengetahui berita semasa di dalam dan di luar negara sama ada berita tentang ekonomi, politik, sosial dan lain-lain lagi.

Selain daripada itu, membaca juga dapat menambahkan perbendaharaan kata. Orang yang selalu membaca akan mampu menulis karangan dengan lebih baik. Ini kerana melalui pembacaan, kita akan menemui perkataan-perkataan yang jarang didengar dan ini boleh memperbaiki perbendaharan kata.

Membaca juga dapat merehatkan minda kita setelah penat belajar. Ini kerana banyak bahan bacaan ringan yang baik dan menghiburkan kita seperti komik, cerpen dan lain-lain lagi. Bagaimanapun, kita harus lebih cermat dalam memilih bahan bacaan berunsur hiburan ini kerana ada juga yang tidak sesuai atau tidak elok untuk dibaca.

Kesimpulannya, mengamalkan budaya membaca amatlah penting terutama kepada para pelajar. Selain dapat mengisi masa lapang, aktiviti ini juga dapat mengelakkan mereka terjebak dengan gejala-gejala yang tidak sihat. Oleh itu, kita haruslah amalkan sikap suka membaca supaya kita cemerlang dalam pelajaran dan menjadi kebanggaan guru-guru dan ibu bapa.

Faedah Berkunjung Ke Pusat Sumber - Contoh Karangan UPSR

Perpustakaan ialah suatu tempat terkumpulnya bahan-bahan bacaan. Ramai orang mengunjungi perpustakaan kerana di situ mereka boleh membaca bahan-bahan bacaan seperti buku rujukan, majalah, surat khabar dan lain-lain lagi secara percuma. Oleh itu, sudah tentulah perpustakaan memberi banyak kebaikannya kepada kita semua.

Di perpustakaan, kita akan dapat menambah ilmu pegatahuan. Melalui pembacaan di situ, sudah tentu pengetahuan kita akan bertambah seperti mengetahui peristiwa semasa yang berlaku di dalam dan di luar negara.

Selain itu, kita dapat mengisi masa lapang dengan perkara yang lebih berfaedah dengan mengunjungi perpustakaan. Ini mengelakkan kita daripada membuang masa secara sia-sia serta menghindarkan diri daripada terjebak dengan gejala-gejala yang tidak sihat seperti melepak dan sebagainya.

Perpustakaan juga dapat membentuk disiplin para pelajar. Ini kerana di perpustakaan terdapat pelbagai peraturan antaranya mesti senyap, memulangkan buku dalam tempohnya dan menjaga kebersihan perpustakaan. Peraturan ini akan mendisiplinkan diri kita kerana jika ingkar, mungkin kita akan didenda.

Di samping itu, pembacaan bahan-bahan bacaan di perpustakaan akan dapat menambah pembedaharaan kata kita. Ini ini pasti akan membantu kita bertutur dan menulis karangan dengan lebih baik.

Kesimpulannya, perpustakaan mempunyai banyak kebaikannya. Oleh itu, tanamkan sikap suka mengunjungi perpustakaan agar kebaikan-kebaikannya itu dapat kita perolehi.

KATA BANYAK MAKNA (POLISEMI)


Kata Banyak Makna bermaksud perkataan yang mempunyai lebih daripada satu maksud walaupun perkataan tersebut adalah sama.

Perbezaan makna sesuatu perkataan dapat difahami dalam konteks ayat tertentu.

Berikut contoh beberapa patah perkataan banyak makna dan penggunaan dalam ayat:

1. Kaki
 a. kaki -anggota badan untuk berjalan
 b. bahagian bawah
 c. gemar sesuatu

Contoh ayat.
a. Kaki adik sakit kerana terpijak duri.
b. Kaki seluar abang koyak terkena kawat duri.
c. Amir tidak ke stadium menonton perlawanan bola kerana dia bukan kaki bola.

2. Tajam
a. tajam -tidak tumpul
b.cerdik
c.pedas(kata-kata)

Contoh ayat
a. Pisau itu sungguh tajam.
b. Tajam juga otak pelajar-pelajar sekolah itu. 
c. Kata-katanya sungguh tajam sehingga menusuk ke hati.

Friday 25 January 2013

Keputusan peperiksaan STAM diumum Rabu ini

PUTRAJAYA 25 Jan. - Keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2012 akan diumumkan pada Rabu, 30 Januari ini.

Menurut kenyataan Lembaga Peperiksaan Kementerian Pelajaran hari ini, calon boleh mendapatkan keputusan dari sekolah masing-masing mulai 10 pagi hari yang sama.

Bagi calon persendirian, keputusan akan dimaklumkan melalui pos atau menghubungi Jabatan Pelajaran negeri tempat mereka mendaftar.

Seramai 8,822 calon menduduki STAM pada tahun lepas di 116 pusat peperiksaan di seluruh negara.

Mereka adalah 3,999 calon dari Sekolah Kerajaan, Bantuan Kerajaan dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan, 2,697 calon Sekolah Menengah Agama Negeri, 681 calon Sekolah Agama Rakyat, 1,359 calon persendirian dan 49 calon sekolah menengah swasta.

Calon juga boleh menyemak keputusan melalui mySMS 15888 dengan menaip STAM (1/8)angka giliran(3/8) dan hantar ke 15888 mulai 10 pagi, 30 Januari sehingga 11.59 malam, 5 Februari.

Wednesday 2 January 2013

Semakan Tawaran Ke Tingkatan Satu Sekolah Kawalan Ambilan 2013


 
Pelajar UPSR 2012 yang ada membuat permohonan ke Sekolah Kawalan di bawah Jabatan Pelajaran Negeri sudah boleh membuat semakan keputusan permohonan.

Sekolah Kawalan & Sekolah Menengah Kebangsaan Agama

Semakan tawaran ke Tingkatan 1 ke Sekolah Kawalan di bawah Jabatan Pelajaran Negeri (Sekolah Kawalan dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama(SMKA)) Ambilan Januari 2013 bagi pelajar Tahun 6 2012  boleh dibuat melalui sistem online Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM).
Semakan Sekolah Kawalan & SMKA

  • Secara online di http://parents.sekolahmalaysia.com untuk membuat semakan.
  • Secara SMS dengan menaip MOE KWL Angka Giliran UPSR (contoh: MOE SKWL AG9999999) kemudian SMS ke 15888
  • Semakan ini tidak termasuk sekolah di negeri Perak.

Kelas Kawalan, Kelas Rancangan Khas, Kelas Aliran Agama

Untuk semakan tawaran ke Tingkatan 1 Sekolah Kawalan di bawah Jabatan Pelajaran Negeri untuk Kelas Kawalan, Kelas Rancangan Khas (KRK) dan Kelas Aliran Agama (KAA) Ambilan Januari 2013, sila hubungi Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) atau Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) masing-masing untuk maklumat lanjut.

Senarai Jabatan Pelajaran Negeri

Berikut adalah pautan ke laman web Jabatan Pelajaran Negeri;

Pertanyaan

Jika terdapat sebarang pertanyaan mengenai permohonan dan tawaran ke Sekolah Kawalan dan Kelas Kawalan ini sila berhubung dengan sekolah pemohon atau Jabatan Pelajaran Negeri yang berkenaan.

Catatan Lain Yang Mungkin Anda Cari

Kumpulan Blog Kendalian Saya

Blog List Ilmu Keguruan

Pautan Bersama