IPOH, Jun, Bernama melaporkan -- Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim
berkenan menyampaikan ijazah dan diploma kepada 7,125 graduan sempena
istiadat Konvokesyen ke-17 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bermula 2 Jun ini.
Tuanku Zara yang juga Canselor UPSI menyampaikan anugerah itu pada
sesi pertama dan kedua istiadat konvokesyen yang akan berlangsung di
Dewan Besar UPSI, Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City, dekat sini.
Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat UPSI, Zainab Othman berkata kali
ini UPSI menganugerahkan ijazah dan diploma kepada 12,327 graduan iaitu
7,125 graduan pada sidang pertama yang diadakan pada 2 hingga 5 Jun ini
dan 5,202 graduan pada sidang kedua pada 24 hingga 26 Nov nanti.
"Pada sidang pertama ini, buat julung kalinya UPSI akan menganugerahkan
ijazah kepada 7,125 orang graduan yang merupakan kohort pertama Program
Pensiswazahan Guru dan kohort pertama francais iaitu Ijazah Sarjana
Muda Pendidikan (Sekolah Rendah) Dengan Kepujian (Graduan Program
Pensiswazahan Guru UPSI-Universiti Sains Malaysia (USM)) dan Ijazah
Sarjana Muda Pendidikan (Sekolah Rendah) Dengan Kepujian (Graduan
Program Pensiswazahan Guru UPSI-Kirkby International College (KIC)),"
katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
"Daripada jumlah itu 5,682 orang graduan adalah bagi program Pendidikan
Jarak Jauh (PJJ) terdiri daripada guru-guru sekolah rendah di bawah
Program Pensiswazahan Guru manakala seramai 979 graduan daripada program
francais USM-UPSI dan 464 orang graduan daripada program francais
UPSI-KIRKBY," katanya.
Beliau berkata prestasi para graduan Program Pensiswazahan Guru (PPG)
yang memberangsangkan menjadikan konvokesyen ini lebih bermakna dan
membanggakan apabila daripada 464 graduan, 5.87 peratus mendapat
kepujian kelas pertama, 80.92 peratus kepujian kelas kedua atas dan
10.06 peratus kepujian kelas kedua bawah
"USM dan UPSI pula bekerjasama dengan menawarkan program francais ini mulai sesi kemasukan 2011/2012.
"Program francais UPSI-USM ini telah ditandatangani melalui MoA bagi
membolehkan USM menggunakan sepenuhnya kurikulum UPSI tanpa mengubah
sebarang kandungan dari aspek kurikulum, memandangkan Pusat Pengajian
Ilmu Pendidikan USM tidak menawarkan program Ijazah Sarjana Muda Sekolah
Rendah secara spesifik," katanya.
Zainab berkata pada sidang pertama ini juga buat pertama kalinya
Anugerah Kecemerlangan Khas Pelajar PPG diwujudkan dan akan anugerahkan
kepada dua orang pelajar iaitu Norazlin Mohd Rusdin (Ijazah Sarjana Muda
Pendidikan (Sekolah Rendah) dengan Kepujian dan Tan Fee Meng, (Ijazah
Sarjana Muda Bahasa Cina) dengan Pendidikan.
"Selain itu, istimewanya Istiadat Konvokesyen ke-17 ini kerana
bakal graduannya adalah terdiri daripada pelajar-pelajar yang sudah
berpengalaman dalam kerjaya pendidikan di sekolah-sekolah seluruh
Malaysia," katanya.
Beliau berkata sehingga kini, UPSI telah melahirkan sebanyak 48,820
graduan dalam pelbagai peringkat pengajian diploma, ijazah pertama,
sarjana dan doktor falsafah.
--Laporan: BERNAMA -- Gambar : Tokanpuakajoran.