Pada pendapat saya Hari Kebangsaan patut dirayakan oleh segenap lapisan masyarakat. Dengan cara itu kita dapat menanam semangat cinta akan negara kita. Sepanjang bulan kemerdekaan pastinya setiap premis persendirian dan bangunan kerajaan mengibarkan Jalur Gemilang. Ini sudah tentu dapat menaikkan semangat kita untuk terus mempertahankan negara tercinta.
Selain itu, sambutan Hari Kemerdekaan juga dapat memberi ruang kepada generasi muda mengetahui sejarah negara. Tokoh-tokoh dan perwira negara dapat dikenali melalui paparan dokumentari dan filem yang ditayangkan di telivisyen. Sebagai contoh, pada setiap kali menjelang sambutan Hari Kemerdekaan akan ditayangkan kisah Sarjan Hasan dan Leftenen Adnan.
Sambutan Hari Kemerdekaan juga dapat memupuk kerjasama dalam kalangan masyarakat. Sebagai contoh, kita dapat lihat dalam program dan aktiviti yang dilaksanakan sempena Hari Kemerdekaan. Penduduk dan masyarakat setempat akan bersama-sama menghias persekitaran dengan Jalur Gemilang di samping aktiviti gotong royong dan riadah.
Seterusnya, Perayaan ini juga dapat memupuk perpaduan antara kaum. Kita sering diingatkan bahawa kemerdekaan ini bukanlah diperolehi dengan cara yang mudah. Semua kaum yang tinggal di negara ini berjuang sejak lama dahulu bagi membebaskan negara dari belenggu penjajah. Oleh itu, kerja sama ini perlu dipertahan.
Kesimpulannya, semua rakyat Malaysia perlu berbangga dan sentiasa bersedia untuk menyambut Hari Kebangsaan. Tiada satu bangsapun di dunia ini rela negara mereka dijajah.
No comments:
Post a Comment