SEMERAH TINTA®

SEMERAH TINTA®
"Merah" membawa maksud sesuatu yang masih baru dan perlu melalui jangka waktu dan proses tertentu untuk matang.Pen merah amat sinonim dengan profesion perguruan.Tinta merah atau dakwat merah pula selalu dikaitkan dengan pembetulan, amaran ataupun catatan pelaporan yang biasanya dikaitkan dengan kegagalan di dalam ujian atau peperiksaan seseorang pelajar.Apapun, tinta merah bukanlah bertujuan untuk menunjukkan sesuatu yang negatif, sebaliknya sebagai satu motivasi agar sentiasa memperbaiki kelemahan dan sentiasa mahu berubah sehingga kejayaan dapat dikecapi."Semerah Tinta" dibina sebagai medan catatan dan maklumat berkaitan Pembelajaran dan Pengajaran.Terima kasih kepada rakan-rakan yang memberi pandangan, melayari dan menghubung (link) dengan laman atau blog lain. Segala paparan atau catatan adalah atas pandangan penulis sendiri dan boleh diperbaiki dari masa ke masa tertakluk kepada pandangan intlek dan dasar Kementerian Pelajaran Malaysia. Maklumat,teguran,pandangan dan perhatian daripada intelektual, warga pendidik serta rakan blog berkaitan Pengajaran dan Pembelajaran amat saya harapkan dan sangat-sangat dihargai.Semerahtinta juga lahir selepas puakajoran.blogspot.com,agrohias.blogspot.com,golokkraf.blogspot.com dan skb3.blogspot.com .Semoga kehadiran semerahtinta.blogspot ini dapat diterima dalam satu rangkaian.Terima kasih!- Tintamerah®.

SUMPAH SEMERAH TINTA:

SUMPAH SEMERAH TINTA:
MENGHAYATI BAHASA SYURGA,MEMARTABATKAN BAHASA MALAYSIA, MEMPERKUKUHKAN BAHASA INGGERIS,MEMPERTAHANKAN BAHASA IBUNDA,DAN MEMPERKAYAKAN BANGSA DENGAN SEMUA BAHASA.

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ. اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ . خَلَقَ الْإِنْسَانَ مِنْ عَلَقٍ .اقْرَأْ وَرَبُّكَ الْأَكْرَمُ .الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَم .عَلَّمَ الْإِنْسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ

In the name of God, Most Gracious, Most Merciful.Read in the name of your Lord,Who created.Created man, out of a (mere) clot of congealed blood.Proclaim! And thy Lord is Most Bountiful.He Who taught (the use of) the pen.Taught man that which he knew not.

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang menciptakan, Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah,Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan qalam (pen/tinta).Dia mengajarkan kepada manusia apa-apa yang tidak diketahui manusia.

Sahabat Maya - Tinggalkan Link Anda Supaya Senang Saya Follow Kembali - Terima kasih atas sokongan

Terima kasih atas sokongan.Tinggalkan Link supaya senang di "follow" kembali.

Friday 30 May 2014

Alat-alat Kebesaran Negeri Perak - Nobat

Nobat

Nobat

Perkataan Nobat ini adalah berasal dari Negeri Parsi yang menggunakan perkataan "Naubat" bermakna sembilan jenis. Ianya ialah 'pancaragam' diraja yang telah dipakai dari zaman-berzaman di negeri-negeri Melayu untuk Istiadat Pertabalan Raja-raja. Negeri-negeri Melayu yang mempunyai Nobat ialah Perak, Kedah, Terengganu dan Selangor. Nobat yang digunakan dalam Istiadat Pertabalan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ialah Nobat Negeri Perak.

Nobat Negeri Perak mengandungi:-
  • Gendang Nobat - Biasa dikenali sebagai Gendang Nyenyalu
  • Nafiri - Digunakan dalam memulakan sesuatu lagu
  • Gendang Nengkara - Gendang yang membawa lagu
  • Serunai - Alat yang mengiringi lagu-lagu yang dimainkan
  • Gendang Penengkah - Gendang yang memasuki irama ke dalam lagu
Di antara senarai yang tersebut di atas Gendang Nobat adalah alat yang paling dihormati. Ianya menduduki tempat yang tertinggi dan digunakan untuk kegunaan Diraja sahaja. Walau bagaimanapun Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan boleh menitah Nobat ini digunakan untuk mengiringi sesuatu istiadat atau menghormati jenazah. Keperingkatan kehormatan yang diberi adalah bergantung kepada bilangan alat-alat yang digunakan. Untuk Nobat Diraja Perak hanya lima daripada sembilan alat digunakan pada setiap masa.

Pemain-pemain Alat Nobat adalah ahli daripada keluarga-keluarga tertentu sahaja iaitu Orang-orang Kalur. Pada zaman dahulu kawasan Bilik Nobat dipagarkan dengan bulu ayam dan sesiapa yang mencerobohi kawasan ini akan dihukum dan didenda. Ketua Nobat diberi gelaran Toh Setia Guna dan pembantunya Toh Setia Indera.

Mengikut adat Istiadat Negeri Perak tiada sultan yang boleh dianggap berdaulat sehingga ianya ditabal dengan bunyian Nobat. Mengikut adat Lembaga Negeri Perak menyatakan bahawa rangka yang digunakan di dalam membuat gendang gendang adalah berasal daripada Teras Kayu Jerun dan kulitnya adalah daripada kulit tumur. Walau bagaimanapun ini telah bertukar dan pembaharuan rangka itu sekarang diperbuat dripada kayu keras dan kulitnya adalah daripada kulit kambing.

Gendang Nobat
Gendang Nobat

Lagu-Lagu Nobat
  • Raja Berangkat (Gendang Berangkat)
  • Puteri Mandi Mayang
  • Rama-rama Terbang Tinggi
  • Kumbang Si Kumali (Kumbang Kembali)
  • Arak-arak Atandis (Enteals) (Arak-arak Untandai)
  • Aleh-aleh Panjang
  • Alek-alek Pandak
  • Dang Gendang
  • Lenggang Che Kobat
  • Jong Ber-aleh
  • Anak Raja Membasuh Kaki
  • Gendang Perang
  • Nobat Tabal
  • Nobat Raja
  • Nobat Khamis
  • Nobat Subuh
Nobat Subuh, Nobat Khamis dan Nobat Raja hanya boleh dimainkan di sebelah pagi dan petang dan lagu Puteri Mandi Mayang dimainkan semasa menyambut ketibaan bulan Ramadhan tiga petang berturut-turut, iaitu pada petang 28,29 dan 30 dalam bulan Syaaban tiap-tiap tahun.

Raja Berangkat (Gendang Berangkat) ialah lagu yang dimainkan semasa Kebawah Duli berangkat mencemar Duli di upacara rasmi.

Nobat di-Raja Perak dibunyikan untuk upacara atau Istiadat:-
  1. Sesuatu yang berkaitan dengan peribadi Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak.
  2. Masa Pertabalan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak dan Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri.

    2.1. Masa Tabal Pusaka
    2.2. Bersiram Tabal
  3. Hari Meletak (memulakan) kerja:

    3.1. Hari meletak kerja menyambut perayaan Ulangtahun Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak.

    3.2. Hari meletak kerja kerana perkahwinan atau berkhatan Putera dan Puteri Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan.

    3.3. Perarakan mengambil Air Bersiram Tabal dan Berlimau Besar (tertakluk kepada titah).
  4. Istiadat di Balairong Seri Menyambug Ulangtahun Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak.
  5. Istiadat Menjunjung Duli.
  6. Keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak melawat ke luar negeri (tertakluk kepada titah).
  7. Mengiringi Jenazah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan dan Raja Permaisuri ke Makam di-Raja

Alat-alat Kebesaran Negeri Perak - Tengkolok

Tengkolok

Di antara pakaian-pakaian kebesaran Raja-Raja Melayu ialah TENGLOKOK DI RAJA. Semenjak beberapa kurun lamanya raja-raja Melayu telah memakai kain yang ditenun dengan sutera yang diikat dengan berbagai-bagai solek di ulunya, sebagai pakaian kebesaran. Bentuk ikatan (solek) dan warnanya adalah berlainan dari sebuah ke sebuah negeri. Kain ulu itu dinamakan "Tengkolok".

Tengkolok
LANG MENYUSUN ANGIN
Tengkolok
ANAK GAJAH MENYUSU
Tengkolok
PUCUK PISANG PATAH

Tengkolok
GARAM SEBUKU
(GETAM PEKASAM)
Tengkolok
AYAM PATAH KEPAK

Alat-alat Kebesaran Negeri Perak - Baur-Baur Orang Besar Negeri

Baur-Baur Orang Besar Negeri

Terdapat kesemuanya 12 baur kepunyaan Orang Besar Negeri. Ianya melambangkan kuasa bagi Orang Besar Negeri dan dikurniakan oleh Baginda Sultan semasa Istiadat Menjunjung Duli bagi gelaran seseorang Orang Besar Negeri.

Baur Orang Kaya
Temenggong Paduka Raja
Baur Orang Kaya Seri Adika Raja Shabandar Muda Baur Orang Kaya-Kaya Panglima
Kinta Seri Amar Bangsa di-Raja
Baur Orang-Orang Kaya Panglima Bukit Gantang Seri Amar di-Raja Baur Orang Kaya-Kaya Setia
Bijaya di-Raja
Keris Panjang Panglima Dalam Keris Panjang Panglima Besar
Pedang Panglima Perang Kanan Pedang Panglima Perang Kiri

Alat-alat Kebesaran Negeri Perak - Sundang Keris Panjang

  • Sundang Keris Panjang

    SUNDANG KERIS PANJANG adalah kumpulan yang tertinggi dalam kumpulan keris. Ianya berasal dari Kepulauan Silawesi dan diperkenalkan ke Semenanjung Tanah Melayu dalam Abad Ketujuh Belas.

    Mata Sundang mempunyai kesemua ciri-ciri keris bermata dua dan menjuru hulu.

    Sundang digunakan untuk memotong dan mencincang dan bukan menikam. Dengan ini cengkamannya adalah berlainan daripada cengkaman keris dan ukuran puratanya ialah 56 sm panjang dan 20 sm lebar di hulunya.

    Sundang yang digunakan dalam Istiadat Kebesaran Negeri ialah Curam, Si Raja Wali, Sundang dan Sada Maikah. Ianya didukung oleh empat orang Kundang pada bahu kanan masing-masing.

    Sundang Keris Panjang
    Keris Panjang Curam, Si Raja Wali, Sundang dan Sada Maikah

Alat-alat Kebesaran Negeri Perak - Payung Kerajaan Negeri

Payung Kerajaan Negeri

Payung Kerajaan Negeri

PAYUNG KERAJAAN - Kesemuanya sebanyak 16 kaki. Payung ini berwarna putih dan kuning dan batangnya yang sepanjang 2.4 meter, berukir dengan perak dan di kepala payung berbentuk gasing Perak dari perak juga. Payung ini digunakan di semua Istiadat di Balai Rongseri dan Balai Panca Persada. Di anjung Istana sebanyak 3 kaki Payung Kerajaan digunakan untuk menyambut pembesar kehormat. Pembawa Payung Kerajaan ini ialah Jejawat namanya.

Di dalam istiadat rasmi di Balai Rongseri kesemua 16 Payung Kerajaan digunakan sementara bagi kegunaan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda dan dalam istiadat perkahwinan Putera/Puteri Raja hanya 8 sahaja digunakan, 6 Payung untuk Duli Yang Amat Mulia Raja Di Hilir dan bagi anak-anak Raja Waris Negeri 4 sahaja iaitu sama dengan istiadat permakaman dan perkebumian. Walau bagaimanapun kegunaan Payung Kerajaan ini hendaklah diperkenankan oleh Paduka Seri Sultan atau menjunjung titah perintah.

Alat-alat Kebesaran Negeri Perak - Payung Di-Raja

Payung Di-Raja

Payung Di-Raja

Payung-payung di-Raja yang digunakan oleh:-
  • Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Besar (Payung Kuning berenda emas).
  • Duli Yang Amat Mulia Raja Di-Hilir dan Duli Yang Amat Mulia Raja Puan Muda (Payung Hitam berenda emas).
  • Yang Amat Mulia Raja-Raja bergelar Payung Biji Remunia

Alat-alat Kebesaran Negeri Perak - Lembing Kerajaan Negeri Perak

Lembing Kerajaan Negeri Perak

Lembing Kerajaan Negeri Perak

LEMBING-LEMBING KERAJAAN - Lembing sebanyak 16 semuanya diperbuat daripada perak yang berukir di batang dan di mata lembing pula berukir dengan lambang Kerajaan Negeri Perak. Ianya dibawa oleh Jejawat lelaki yang berbaju putih dan seluar putih dan bersamping kuning di bawah baju dan bertengkolok kain batik bercorak getam perkasam. Pakaian Jejawat Lembing dan Payung Kerajaan adalah sama.

Lembing ini digunakan berselang-seli dengan Payung Kerajaan dengan didahului oleh Payung Kerajaan. Biasanya Payung Kerajaan dan Lembing disusun 16 di sebelah kiri dan 16 di sebelah kanan yang diatur oleh Panglima Dalam. Bagi kegunaan Paduka Seri Sultan kesemua 32 (Lembing dan Payung) digunakan; Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda 16 sahaja; Duli Yang Amat Mulia Raja Di-Hilir 12 sahaja dan anak-anak Raja Waris Negeri 8 sahaja. Ini pun dengan perkenan dari Baginda Sultan.

Cara mengguna Lembing-lembing ini adalah sama seperti menggunakan Payung Kerajaan, tetapi bagi Istiadat Mengambil Air Limau di Sungai Perak hanya 16 buah Lembing sahaja digunakan sementara Payung Kerajaan tidak dibawa bersama dalam Istiadat Perarakan.

Alat-alat Kebesaran Negeri Perak - Panji Di-Raja

Panji Di-Raja

Panji Di-Raja

PANJI DI-RAJA untuk Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan, berlatar belakang putih dan mempunyai Jata di-Raja di tengah-tengah. Warna putih ialah warna peribadi Paduka Seri Sultan.Panji di-Raja ini mempunyai tiga ukuran. Panji yang berukuran 2.7 m x 1.8 meter dikibarkan di Istana Duli Paduka Seri Sultan bersemayam.

Panji yang berukuran 1.8 m x 0.9 m biasanya dikibarkan di lain-lain tempat rasmi di mana Duli Paduka Seri Sultan berangkat mencemar Duli. Panji yang berukuran 26.7 sm x 19.0 sm dikibarkan di kenderaan Paduka Seri Sultan Perak.
Panji Di-Raja
Panji peribadi Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak berukuran 26.6 sm x 19.0 sm berlatar belakang putih dan di tengahnya terdapat Jata di-Raja. Panji peribadi ini dikibarkan hanya di kenderaan semasa Duli Yang Maha Mulia berangkat ke Istiadat Rasmi. Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak tidak mempunyai panji peribadi untuk dikibarkan di tempat-tempat baginda bersemayam.

Alat-alat Kebesaran Negeri Perak - Jata Di-Raja

  • Jata Di-Raja

    Jata Di-Raja
    JATA DI-RAJA ini adalah untuk kegunaan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan. Jata di-Raja Perak ini mengandungi enam lambang yang mempunyai maksud seperti berikut:-

    1. Aigrette di-Raja sebagai tanda kedaulatan Raja Pemerintah.
    2. Bulan Sabit - menandakan Agama Islam sebagai Agama rasmi.
    3. Bintang Pecah Sembilan - menunjukkan terdapat 9 daerah dalam Negeri perak.
    4. Pedang Kerajaan - bernama Cura Si Manja Kini (melambangkan kekuasaan).
    5. Cogan kata "Allah Peliharakan Sultan Perak" - doa rakyat kepada Sultan Pemerintah Negeri.
    6. Bunga Padi melambangkan sumber perusahaan rakyat dan kesuburan negeri.
    Jata Di-Raja
    JATA DI-RAJA ini direka khas untuk kegunaan Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak. Jata ini mengandungi enam lambang yang mempunyai maksud seperti berikut:-

    1. Tiara di-Raja - tanda kedaulatan Raja Pemerintah.
    2. Pedang Kerajaan (Cura Si Manja Kini).
    3. Bulan - melambangkan Agama Islam yang menjadi Agama Rasmi.
    4. Bintang Pecah Sembilan - menunjukkan terdapatnya sembilan daerah dalam Negeri Perak.
    5. Cogan Kata " Allah Peliharakan Raja Permaisuri" - lafaz doa rakyat untuk Raja Permaisuri.
    6. Bunga Padi - menggambarkan sumber perusahaan rakyat dan kesuburan negeri.

Alat-alat Kebesaran Negeri Perak - Batil Emas

Batil Emas

Batil Emas

Batil emas berasal dari Acheh dan ianya digunakan dalam Istiadat Berlimau Besar.

Alat-alat Kebesaran Negeri Perak - Puan

Puan

Puan

PUAN - Bekas sirih dua biji bernama Puan Nagataru dan Puan Bujur.  Kurniaan Almarhum Sultan Mudzaffar Shah kepada Tok Temong kemudian dipersembahkan kembali kepada Baginda dan menjadi Alat-alat Kebesaran Negeri.

Puan
Kedua-duanya dipakai dalam Istiadat Meminang dan Perkahwinan di-Raja dan juga Istiadat Meming Bidan.

Alat-alat Kebesaran Negeri Perak - Geluk

Geluk

Geluk

GELUK - Adalah buyung kecil yang diperbuat daripada perak dan emas. Kesemua 16 biji iaitu 8 buyung perak dan 8 buyung emas. Perkakas ini digunakan di Istiadat Mengambil Air Bersiram Tabal di 7 buah kuala anak Sungai Perak. Paluan Nobat mengiring perkakas-perkakas ini di sepanjang jalan ke Sungai dan balik ke Istana. Geluk itu dihiaskan dengan daun nyiur jari lipan dan daun pinang muda dan akan diisikan dengan air daripada 7 kuala anak Sungai Perak itu.

Bilangan Geluk-geluk yang digunakan:-

(a) Bagi Baginda Sultan dan Raja Permaisuri serta Putera/Puteri
 - 8 Geluk Emas
 - 8 Geluk Perak

(b) Bagi Putera/Puteri Raja Muda - 11 biji
(c) Bagi Putera/Puteri Raja Di-Hilir - 9 biji
(d) Bagi anak-anak Raja Waris Negeri - 7 biji

Perkakas-perkakas lain yang diperlukan:-

3 cerpin (bekas beras kunyit, bekas beras basah, tepung tawar)
4 batil (air limau, air bunga panca, bekas kemenyan dan bekas sintuk)
1 bekas perasap.

Perkakas-perkakas ini digunakan dalam Istiadat Berlimau Besar dan Istiadat Bersiram Tabal

Alat-alat Kebesaran Negeri Perak - Mohor Raja

Mohor Raja

Mohor Raja

MOHOR RAJA ini digunakan untuk mengecap segala perkara yang berkehendakkan ianya dicap dengan Mohor Raja Pemerintah itu sendiri. Mohor Raja ini mengandungi nama dan gelaran Raja Pemerintah dalam huruf jawi dan perkataan "Sultan Perak". Ia disimpan oleh Menteri Besar dan digunakan apabila menjunjung titah perintah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan.

Alat-alat Kebesaran Negeri Perak - Mohor Kecil Cap Halilintar

Mohor Kecil Cap Halilintar

Mohor Kecil Cap Halilintar

MOHOR yang diperbuat daripada perak, terukir pada mukanya "Sultan Muhamad Shah Dzil Allah fil-Alam". Pada pemegangnya adalah sebatang kayu yang menggantikan yang asal, kayu Gempita (Guroh) mengambil sempena gelaran Vijaya Indra atau Simbol Guruh. Mohor ini berasal dari nama Cap Kayu Kempa kepunyaan Sang Sapurba. Nama Sultan MUhammad, Melaka (1400-1414) sebelum memeluk agama Islam ialah Parameswara.

Alat-alat Kebesaran Negeri Perak - Rantai Bunga Nyiur

Rantai Bunga Nyiur

Rantai Bunga Nyiur

RANTAI BUNGA NYIUR - Rantai emas panjang berkerawang seperti bunga nyiur yang dipakai bersilang oleh Baginda Sultan bersama dengan pakaian kebangsaan rasmi dalam semua Istiadat Rasmi Negeri termasuk Istiadat Pertabalan.

Alat-alat Kebesaran Negeri Perak - Kamar

Kamar

Kamar

KAMAR - Tali pinggang emas berkancing yang diletak pada Pending dan dipakai oleh Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri dan Puteri di-Raja di Istiadat Bersanding.

Alat-alat Kebesaran Negeri Perak - Dokoh (Kerongsang Besar)

Dokoh (Kerongsang Besar)

Dokoh (Kerongsang Besar)

DOKOH - Sejenis perhiasan dari emas berpermata di tengahnya, berbentuk seakan-akan kerongsang yang besar yang dipakai oleh Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri semasa Istiadat Pertabalan

Alat-alat Kebesaran Negeri Perak - Kancing Halkah

Kancing Halkah

Kancing Halkah

Perhiasan leher baju bertekad benang emas zaman purbakala dipercayai dikurniakan oleh Maharaja China kepada Parameswara. Alat Kebesaran Kerajaan ini, hanya disimpan sahaja. Asas seniukir yang terdapat pada Kancing Halkah ialah dua pasang naga.

Alat-alat Kebesaran Negeri Perak - Agok

Agok

Agok

AGOK - Sejenis kalong emas dipakai di leher Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri pada masa Istiadat Pertabalan.

Alat-alat Kebesaran Negeri Perak - Mestika (Geliga) Embun

Mestika (Geliga) Embun

Mestika (Geliga) Embun

ALAT kebesaran ini merupakan satu azimat yang dipersembahkan oleh Toh Seri Nara di-Raja kepada Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak semasa Istiadat pertabalan. Semasa Almarhum Raja Mudzaffar Shah ditabalkan sebagai Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak yang pertama, di satu tempat yang bernama Tanah Abang pada tahun 1528, Tun Perabu atau dikenali sebagai Tok Puan Puteh (setelah meninggal dunia dipanggil Tok Temong), telah datang ke Istiadat Pertabalan tersebut dengan diiiringi oleh 77 ekor gajah dari Hulu Perak untuk mempersembahkan Mestika Embun ini kepada Sultan.

Sebagai balasan Sultan Mudzaffar Shah telah mengurniakan kepada beliau dengan Puan Bujur, tetapi beliau menolak. Sebaliknya beliau memohon agar Baginda Sultan memperkenankan beliau untuk terus memerintah di sebelah kiri mudik Sungai Perak dan meminta agar Sultan dan semua Sultan-sultan yang mewarisi takhta Kesultanan Perak menghadkan kawasannya di tebing sebelah kanan mudik Sungai Perak. Sultan Mudzaffar Shah telah berkenan dengan permintaan ini. Walau bagaimanapun adat tradisi ini telah dihentikan semenjak pemerintahan Almarhum Paduka Seri Sultan Idris Shah I, Sultan yang ke 28, apabila Baginda membina sebuah istana di tebing kiri mudik Sungai Perak.

Alat-alat Kebesaran Negeri Perak - Keris Seri Gading

Keris Seri Gading

Keris Seri Gading

Sebilah Keris dalam Kumpulan Perkakas Kerajaan Negeri Perak. Keris ini berasal dari Bugis dan namanya diambil daripada nama Istana Raja Bugis ke Tiga, Daeng Upu Tanderi Burong. Dipunyai oleh Almarhum Sultan Yussuff Izzuddin Shah, iaitu pusaka peninggalan daripada nenda Baginda Almarhum Sultan Idris Murshidul'adzam Shah, Sultan Yang Kedua Puluh Lapan. Waris-waris Almarhum Sultan Yussuff Izzuddin Shah kemudian menghadiahkan keris pusaka ini untuk dijadikan sebagai salah satu Perkakas-perkakas Kerajaan.

Alat-Alat Kebesaran Negeri Perak - Pontoh

Pontoh

Pontoh

PONTOH BERNAGA ialah sepasng gelang emas berkepala naga yang disarungkan ke lengan kanan dan kiri Paduka Seri Sultan dalam Istiadat Rasmi Kebesaran Negeri.

Pontoh
PONTOH ULAR LIDI ialah sepasang gelang emas berbentuk kepada ular lidi dan dipakai di kedua-dua belah lengan Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri dalam Istiadat rasmi Kebesaran Negeri.

Alat-Alat Kebesaran Negeri Perak - Keris Taming Sari

Keris Taming Sari

Keris Taming Sari

Keris ini adalah Keris Kerajaan bagi Jawatan Laksamana Melaka, yang akhir sekali dijawat oleh Hang Tuah.

Keseluruhan sarung keris ini diseliputi oleh dedaun emas. Keris ini dihargai sebagai berkeupayaan untuk berlegar di udara ke mana-mana haluan dalam mengejar musuh. Adalah dikatakan bahawa Hang Tuah memberi keris ini kepada Tun Mamat untuk dibawa balik mengadap Sultan pada masa itu kerana beliau terlalu malu untuk mengadap sendiri ke bawah Duli Sultan kerana gagal untuk mendapat Puteri Gunung Ledang untuk baginda. Tatkala Sultan Mahmud meninggalkan Melaka baginda membawa keris ini bersama-sama baginda ke Kampar-Sumatera. Kemudian baginda mengurniakan keris ini kepada anakanda baginda Raja Mudzaffar Shah, yang kemudiannya berangkat ke Perak.

Alat-Alat Kebesaran Negeri Perak - Pedang Cura Si Manja Kini

Pedang Cura Si Manja Kini

Pedang Cura Si Manja Kini

CURA SI MANJA KINI adalah berasal dari perkataan Sankrit Churiga (Si) Mandakini yang bererti Mata Pisau dari Tasik Mandakini (sebuah tasik berhampiran dengan Sungai Ganges, India).

Mengikut cerita, pedang ini pada asalnya adalah kepunyaan Sang Sapurba (juga digelar Nila Utama) yang tiba-tiba menjelma di Bukit Si Guntang Mahameru bersama-sama dengan dua orang adindanya. Mengikut Hikayat Ketinggian Salasilah Perak keturunan Sultan Perak adalah berasal dari keturunan Sang Sapurba, anakanda kepada Raja Suran dan Puteri Mahtab al-Bahari (puteri kepada Raja Aftab al-Ardzi). Adalah dipercayai Sang Sapurba telah memerintahkan Permasku Mambang untuk membunuh seekor naga yang diberi gelaran Saktimuna dengan Pedang CURA SI MANJA KINI. Pada waktu itu Saktimuna sedang mengancam penduduk-penduduk di Minangkabau. Pedang yang sama juga digunakan oleh Parameswara semasa beliau ditabalkan sebagai Maharaja Melaka yang pertama. Nama gelaran Maharaja ini ditukarkan kepada Sultan apabila Parameswara menganut Agama Islam.

Almarhum Sultan Mahmud, Sultan terakhir Negeri Melaka, mewarisi pedang ini dan disimpan oleh Baginda sehingga Baginda menjadi Sultan Kampar-Sumatera selepas Baginda berjaya melarikan diri dari serangan Portugis pada tahun 1511. Baginda mangkat di Kampar pada tahun 1530.

Sebelum mangkat, Baginda Sultan Mahmud telah menghantar anakandanya Raja Mudzaffar Shah untuk menjadi Sultan yang pertama bagi Negeri Perak. Di dalam keberangkatan Raja Mudzaffar Shah, Baginda dilengkapkan dengan pedang ini dan alat-alat kebesaran kesultanan. Dari tarikh itu PEDANG CURA SI MANJA KINI yang melambangkan keagungan dan kekuasaan Raja Pemerintah telah menjadi alat perkakas turun termurun bagi sultan yang memerintah Negeri Perak.

Alat-Alat Kebesaran Negeri Perak - Tiara

Tiara

Tiara

Tiara ini yang bertatah dengan permata ialah Perkakas Kebesaran Kerajaan Negeri bagi pakaian Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak

Alat-Alat Kebesaran Negeri Perak - Aigrette Di-Raja

Aigrette Di-Raja

Aigrette Di-Raja

Aigrette Di-Raja ini telah direka khas oleh Almarhum Paduka Seri Sultan Idris I, Sultan Idris Murshidul'adzam Shah I pada tahun 1911. Apabila Sultan Idris mangkat pada tahun 1916, Aigrette Di-Raja ini telah dijadikan sebagai salah satu alat kebesaran Negeri Perak dan pakaian Raja-Raja Pemerintah. Pada penghujung bulan Disember 1941, apabila tentera Jepun menghampiri Kuala Kangsar, Encik Jomaran, Pegawai Daerah ketika itu, telah membawa Aigrette Di-Raja ini ke Singapura untuk dijaga keselamatannya.

Aigrette Di-Raja ini telah dikembalikan kepada Almarhum Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Abdul Aziz di zaman pemerintahan Pentadbiran Tentera British (BMA).

Alat-Alat Kebesaran Negeri Perak - Tanjak Di-Raja

Tanjak Di-Raja

Tanjak Di-Raja

Di antara pakaian-pakaian kebesaran Raja-raja Melayu ialah TANJAK. Semenjak beberapa kurun lamanya Raja-raja Melayu telah memakai kain yang ditenun dengan sutera yang diikat dengan berbagai-bagai solek di ulunya, sebagai pakaian kebesaran. Bentuk ikatan (solek) dan warnanya adalah berlainan dari sebuah ke sebuah negeri. Tanjak ini hampir sama dengan Tengkolok.

Alat-Alat Kebesaran Negeri Perak - Pengenalan

Pengenalan

Alat-alat Kebesaran Negeri Perak Darul Ridzuan merupakan alat-alat yang paling unggul dan dihormati. Alat-alat ini digunakan di dalam Istiadat Pertabalan seseorang Sultan. Di dalam Istiadat atau Upacara Kebesaran di-Raja yang lain, hanya sebahagian sahaja digunakan dan dipakai oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan dan Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak.

Alat-alat Kebesaran ini dibawa ke Negeri Perak Darul Ridzuan dari Kampar Sumatera) oleh Sultan Perak Yang Pertama, Sultan Mudzaffar Shah, dalam abad keenam belas. Pedang Cura Si Manja Kini, Keris Seri Gading dan Keris Taming Sari adalah di antara Alat-alat Kebesaran Negeri Perak Darul Ridzuan yang paling unggul.

Pedang Cura Si Manja Kini bersama-sama dengan Rantai Bunga Nyiur, Pontoh Bernaga, Pontoh Ula Lidi dan Cap Halilintar adalah pakaian Sultan Perak Semasa pertabalan. Kesemua alat ini dibawa ke Perak dari Melaka oleh Sultan Perak Pertama, Sultan Mudzaffar Shah (1528-1549).

Alat-alat Kebesaran Negeri yang turut dibawa oleh Sultan Mudzaffar Shah dan mengiring Baginda Sultan dalam Istiadat Pertabalan termasuklah Puan Naga Taru dan Puan Bujur (tepak sirih emas) dan Keris Warisan yang bermata emas dan Keris Taming Sari. Walau bagaimanapun terdapat beberapa alat asal yang telah hilang dalam peredaran zaman.

Di antara Alat-alat Kebesaran di-Raja yang telah hilang semasa Sultan Ismail memindahnya dari Istana pada tahun 1874 termasuklah Mundam, iaitu mangkuk emas bertatah permata di sekeliling bikar dan beralaskan pinggan emas, dan tali pinggang yang diperbuat daripada enam belas keping cakra yang bercantum.

Selain daripada alat-alat tersebut ada beberapa alat lagi yang ditambah dari masa ke masa. Di antaranya termasuklah Lembing Kerajaan, Payung Kerajaan dan Payung Di-Raja.

Wednesday 28 May 2014

Kata Penguat

KATA PENGUAT
1.       Maksud
Kata penguat ialah perkataan yang mendahului atau mengikuti kata adjektif dan berfungsi untuk menguatkan maksud terkandung dalam kata adjektif.

2.       Jenis: Terdapat 3 jenis kata penguat:

Kata penguat
Contoh
Penguat hadapan
terlalu, paling, agak
Penguat belakang
sekali, benar, nian, betul
Penguat bebas
amat, sungguh, sangat
  
3.       Contoh:
a.       Diguna di hadapan kata adajektif.

Kata penguat hadapan
Contoh
terlalu
Baju di pasar raya itu terlalu mahal.
paling
Sambal tumis itu paling sedap
agak
Jalan di kawasan itu agak bahaya.

b.      Diguna di belakang kata adjektif.

Kata penguat belakang
Contoh
sekali
Hujah murid itu bernas sekali.
nian
Nyaman nian udara di puncak pusat peranginan tanah tinggi itu.
benar
Cantik benar rantai mutiara itu.
betul
Besar betul rumah Ah Meng.

c.       Diguna secara bebas sama ada di hadapan atau di belakang kata adjektif.

Kata penguat bebas
Contoh
amat
1.       Kraf tangan itu amat cantik.
2.       Kraf tangan itu cantik amat.
sangat
1.       Beg pakaian yang dibawa oleh Suria sangatberat.
2.       Beg pakaian yang dibawa oleh Suria beratsangat.
sungguh
1.       Kereta yang dipandu oleh Osman sungguhlaju.
2.       Kereta yang dipandu oleh Osman lajusungguh.
  
4. Terdapat juga unsur penguat yang boleh hadir berderetan sebelum kata adjektif. Contohnya, sungguh amat merdu, sungguh kurang sopan dan terlalu amat pedih.

Contoh:
a.       Suaranya sungguh amat merdu
b.      Perangainya sopan.
c.       Kata-katanya pedih.

DARJAH PENGHABISAN

1.1   . se + kata adjektif + gandaan + kata nama
Contoh:
a.       Setinggi-tinggi gunung tinggi lagi hasrat kami.
b.      Sebijak-bijak budak itu, akhirnya tertipu juga.
c.       Faridahlah sebaik-baik sahabat yang pernah saya kenali.

1.2   ter + kata adjektif
Contoh:
a.       Aminlah murid yang terpandai di dalam kelas itu.
b.      Liza antara gadis tercantik di kampungnya.
c.       Jambatan Pulau Pinang ialah jambatan yang terpanjang di Asia.

1.3.  paling + kata adjektif
       Contoh:
a.       Antara adik beradiknya, Mimilah yang paling cantik.
b.      Kita mesti mencari jalan penyelesaian yang paling baik.
c.       Menara Berkembar Petronas ialah bangunan yang paling tinggi di Malaysia.

1.4. kata adjektif + sekali
      Contoh:
a.       Perniagaan Encik Halim maju sekali.
b.      Sedap sekali ayam percik itu.
c.       Suasana di dalam dewan itu meriah sekali.

1.5.  ter + amat, sangat + kata adjektif
      a. Raja itu teramat baik terhadap rakyat baginda.
      b. P. Ramlee seorang seniman agung yang teramat masyhur.
      c. Kek yang tersangat lazat ini pernah saya makan.
      d. Shamimi tersangat baik sehingga kami begitu sayang kepadanya.

1.6. amat, sungguh, sangat + kata adjektif + sekali.
       Contoh:
a.       Peserta larian itu amat cergas sekali.
b.      Kain songket di kedai itu sungguh halus sekali.
c.       Suara penyanyi itu sangat merdu sekali.

2.  Kesilapan kata penguat darjah penghabisan.

Salah
betul
paling terbaik sekali
baik sekali / terbaik
paling terbaik
paling baik / terbaik
paling tercantik sekali
cantik sekali / tercantik
paling tercantik
paling cantik / cantik sekali
paling masyhur sekali
paling masyhur / masyhur sekali
paling termasyhur
masyhur sekali / termasyhur
paling terpandai sekali
Terpandai / pandai sekali
terindah sekali
Terindah / indah sekali
terpandai sekali
pandai sekali / terpandai
tertinggi sekali
tinggi sekali / tertinggi
terendah sekali
rendah sekali / terendah

Friday 16 May 2014

PERUTUSAN SAMBUTAN HARI GURU 2014 KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA

PERUTUSAN SAMBUTAN HARI GURU 2014 KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA “GURU: PENCETUS KREATIVITI, PENJANA INOVASI”

Bismillahirrahmanirrahim Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Salam Sejahtera, Salam Perpaduan dan Salam 1Malaysia Saudara dan saudari warga pendidik dan murid-murid yang dikasihi sekalian, 1. Tanggal 16 Mei merupakan hari yang amat bermakna kepada individu yang bergelar guru atau lebih sinonim dengan gelaran „cikgu‟, kerana hari ini merupakan hari yang diiktiraf sebagai hari guru. Seperti biasa, tarikh keramat 16 Mei disambut dengan meriah bagi meraikan para guru yang bertungkus lumus mendidik anak-anak kita tidak kira di ceruk mana sahaja berada untuk menjadi orang yang berguna. Pada hari ini, guru-guru diraikan oleh anak-anak didik mereka sebagai tanda sokongan dan penghargaan atas usaha bakti yang telah dicurahkan. 2. Marilah kita semua bersyukur ke hadrat Allah swt kerana sekali lagi kita dapat menyambut Hari Guru kali ke-43 pada tahun ini. Selamat Hari Guru dan terima kasih serta setinggi-tinggi penghargaan terhadap komitmen, keikhlasan, dedikasi dan prestasi tinggi para guru kepada bangsa dan negara. Jasa dan pengorbanan guru serta seluruh warga pendidikan terhadap pembangunan pendidikan negara sentiasa relevan dan dihargai.Tugas sebagai seorang guru dipandang tinggi dan amat mulia sebagai pemangkin pembangunan negara, pembentuk generasi dan menjadi asas kemajuan pendidikan negara di samping memacu kejayaan rakyat. Guru-guru perlu mempunyai jati diri dan semangat yang tinggi untuk menabur bakti kepada anak bangsa tanpa menghirau penat lelah, tanpa menghirau jarak dan sempadan malah mereka diakui mampu melahirkan modal insan yang mempunyai jati diri yang kukuh dan boleh memacu pembangunan dan ekonomi negara ke arah yang lebih baik. 3. Kini kita telah pun melangkah ke tahun kedua pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM). Saya akan meneruskan amanah yang diberikan untuk terus memastikan PPPM ini berada pada landasannya. Ini bertujuan untuk memastikan transformasi pendidikan negara ini dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun dan mencapai matlamatnya. Bagi mencapai hasrat itu, pendidikan perlu bersifat dinamik dan holistik yang sentiasa segar serta berubah mengikut keperluan masa dan persekitarannya. 4. Salah satu aspek penting dan utama yang diberi penekanan menerusi pelan tersebut adalah berkaitan profesion keguruan. Tumpuan akan diberi kepada usaha-usaha peningkatan kualiti guru serta menjadikan profesion ini sebagai profesion pilihan. Menerusi pelan ini juga, para guru di seluruh negara adalah diharap dapat meneruskan peningkatan keilmuan masing-masing sejajar dengan perkembangan teknologi dan persekitaran semasa. 5. Guru-guru sepatutnya menjadikannya sebagai satu cabaran baru dalam meneroka dan meningkatkan lagi kebolehan, keupayaan masing-masing bagi menghadapi gelombang perubahan yang berlaku masa kini dan mendatang. 6. Pada hemat saya selain daripada dasar dan pelan yang disediakan, guru-guru merupakan pemain utama dan penentu terhadap transformasi menyeluruh dalam sistem pendidikan. Segenap lapisan rakyat dalam negara ini sentiasa menaruh harapan kepada guru. Yakinlah bahawa pendidikan adalah harapan masa depan negara. 7. Oleh itu, saya menyeru warga pendidik agar bersama-sama meletakkan keutamaan pada tahap tertinggi bagi memastikan semua perancangan dalam pelan pembangunan pendidikan berjalan lancar.

Hal ini kerana, saya berpandangan bahawa sentuhan masa depan negara (touching the future) sebenarnya bermula di tangan guru. 8. Dalam hal ini, saudara dan saudari para guru disaran agar lebih peka dengan realiti murid masa kini dan mengambil pendekatan kontemporari dalam mendidik. Tugas “memanusiakan manusia” bukanlah perkara yang mudah, guru juga harus memiliki jati diri yang jitu untuk menzahirkan akhlak mulia bagi menjadi contoh kepada anak didik mereka. Guru perlu memiliki personaliti yang cemerlang untuk menarik perhatian dan menjadi tempat rujuk murid. Saudara dan saudari yang dikasihi, 9. Tema Hari Guru tahun ini “Guru: Pencetus Kreativiti, Penjana Inovasi” sangat bertepatan dengan dunia pendidikan pada masa kini. Kreativiti dan inovasi amat dituntut untuk melahirkan generasi murid berfikiran kelas pertama dalam abad ke-21 untuk bersaing dalam abad penuh cabaran ini. Para guru harus sentiasa meningkatkan keupayaan kreativiti dan inovasi dalam melaksanakan tugas yang semakin mencabar. Untuk itu, guru perlu peka dan sentiasa bersedia menambah ilmu untuk menjadi lebih kreatif dan inovatif. 10. Kreativiti ialah suatu bentuk proses pemikiran yang mendorong penjanaan idea baharu. Kreativiti melibatkan kombinasi antara idea baharu dan idea lama yang diproses semula, membuat pemilihan dan menukar ganti menjadi sesuatu yang baharu. Inovasi pula merupakan suatu idea, amalan atau objek yang baharu dan yang lebih baik. Inovasi dihasilkan oleh manusia kreatif yang dapat membina trend baharu dan menggunakan peluang semaksimum mungkin dalam ekosistem yang penuh persaingan. Sebagai contoh, jika dulu penggunaan telefon bimbit hanya sebagai alat perhubungan tetapi kini melalui inovasi, digunakan sebagai penyampai maklumat, pandu arah perjalanan, internet, kamera dan alat hiburan. 11. Kreativiti amat penting dalam membangunkan masyarakat dan negara. Secara umumnya, para pemimpin, ahli perniagaan, saintis, ahli sejarah, pendidik dan ahli psikologi menyatakan bahawa kreativiti sangat diperlukan untuk kelangsungan hidup di dalam sesebuah negara terutamanya dalam era globalisasi, perubahan, cabaran, dan persaingan yang sedang dan akan terus berlaku. Dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara yang sedang pesat membangun dan berhasrat untuk menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020, keperluan terhadap kreativiti semakin mendesak. Tambahan pula, perkembangan ekonomi yang berlaku akibat transformasi dasar kerajaan telah mengubah lanskap pendidikan negara. 12. Guru memainkan peranan penting bagi menerapkan elemen kreativiti dan inovasi dalam pengajaran mereka. Oleh itu, guru perlu sentiasa berfikir untuk membudayakan elemen kreatif dan inovatif dalam setiap aspek pengajaran dan pembelajaran. Melalui budaya pemikiran kreatif dan inovatif dalam pengajaran dan pembelajaran dapat mengaktifkan minda murid menjadi lebih dinamik, kreatif dan inovatif. Hasil atau outcome pembudayaan elemen kreatif dan inovatif ini, insyaallah akan menjadikan pengajaran guru dan pembelajaran murid lebih berkualiti. Oleh itu, untuk mencapai tujuan ini maka para guru mestilah sentiasa think again, think across and think ahead. 13. Dalam hal ini juga, saya percaya bahawa kita perlu melihat apa yang berlaku di dalam kelas atau pembelajaran di bilik darjah. Pada saya, the classroom is the source of energy for positive vibrations – the nucleus of change. Slight ripple of improvement in the classroom will create a strong wave of transformation. Pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah harus menekankan kepada pedagogi. Fokus pembelajaran murid hendaklah menjadi agenda utama seseorang guru. Guru-guru disaran agar sentiasa berusaha meningkatkan kemahiran mereka dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Saudara dan saudari yang dikasihi, 14. Peranan pengurusan sekolah juga penting dalam membudayakan elemen kreativiti dan inovasi agar menjadi organisasi pembelajaran yang bermaklumat, menggalakkan pengembangan pengetahuan baharu, membudayakan ilmu saintifik dan teknologi termasuk menggunakan tenaga sumber secara maksimum. Barisan pentadbir sekolah haruslah bertanggungjawab bagi mencetuskan budaya kreativiti dan inovasi.

Bagi mewujudkan suasana kreatif dan inovatif, sekolah perlu mengurangkan kerenah birokrasi dalam pengurusan demi memberi ruang kebebasan berkarya kepada warganya. Oleh itu, pihak pengurusan juga perlu menjadikan iklim sekolah sentiasa ceria, bersih, kemas dan bermaklumat. Pengurusan sekolah perlulah memastikan komunikasi dua hala, pengaliran maklumat lebih demokratik, gaya kepimpinan yang berhemah dan pembangunan insan yang harmoni bagi mewujudkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang kondusif. 16. Penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) secara meluas dapat membina imej baharu dalam pengurusan organisasi yang berprestasi tinggi. Ia akan menjadikan sekolah lebih berdaya saing dan menjadi lebih produktif. Guru juga disaran meneliti semula amalan bilik darjah yang sesuai dengan ciri serta situasi murid sekarang. Menurut Sternberg (2004), “minda manusia mempunyai tiga potensi utama iaitu kepintaran, kreativiti dan kebijaksanaan, ketiga-tiganya mesti dipupuk dan dirangsang agar manusia dapat menggunakan mindanya secara optimum.” 17. Adalah menjadi tanggungjawab semua guru ke arah melahirkan murid yang mempunyai enam aspirasi, iaitu berpengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, beretika dan kerohanian serta beridentiti nasional seperti yang dihasratkan dalam PPPM. Guru juga perlu sentiasa menggunakan kemahiran dan pengetahuan pedagogi bersifat kreatif dan inovatif serta menerapkan unsur Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) bagi menjadikan pembelajaran menarik dan menyeronokkan. 18. Ciri budaya sekolah yang menggalakkan kreativiti dan inovasi akan mendorong semangat belajar yang tinggi dalam kalangan murid.Daya usaha murid sendiri dan sentiasa berusaha mengembangkan potensi diri dengan bimbingan dan sokongan guru-guru yang dedikasi, terlatih dan profesional akan membuahkan kejayaan. Saudara dan saudari yang dikasihi, 19. Pembangunan modal insan merupakan unsur penting yang seharusnya diberikan tumpuan terutamanya dalam rangka negara kita sedang bergerak untuk mencapai Wawasan 2020 dan sekaligus menjadi lebih berdaya saing pada peringkat antarabangsa. Menyedari hakikat ini, pembangunan modal insan yang berpengetahuan, berkemahiran dan inovatif serta berdaya saing di peringkat antarabangsa penting untuk melahirkan tenaga kerja yang memiliki kemahiran, pengetahuan dan daya kreativiti agar mereka dapat menyelesaikan tugasan yang semakin kompleks. 20. Di samping itu guru juga mempunyai tugas berat dalam menghasilkan generasi muda yang berpotensi dengan kemahiran pelbagai dan dapat membentuk ciri-ciri keperibadian agar selari dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Guru perlu mempunyai idea kreatif dan inovatif dalam menjana idea, konsep atau strategi baharu yang dapat meningkatkan amalan berkesan dalam menyampaikan ilmu kepada anak-anak didik. Saya amat berharap guru dan murid perlu sentiasa meningkatkan ilmu dan kemahiran yang diperlukan untuk membangunkan pendidikan negara. 21. Hal yang demikian, guru perlu melengkapkan diri bagi menghadapi cabaran global. Guru perlu mencanai perancangan strategik serta menyatukan aspirasi bagi memastikan sekolah mampu melahirkan murid cemerlang. Di samping itu, para guru perlu ketelusan minda dalam mendidik murid, menyuntik semangat agar terus gigih, berinovatif, berdedikasi dan berintegriti dalam menggalas tanggungjawab. 22. Di samping para guru melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang amat mencabar ini, saya juga amat memahami akan keluhan perasaan saudara dan saudari. Untuk itu, saya akan pastikan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia akan sentiasa berupaya mendengar, prihatin dan serius, sentiasa terbuka dan telus terhadap sebarang rungutan dan pandangan daripada saudara dan saudari. 23. Namun saya juga berharap agar segala pandangan atau rungutan termasuk kritikan membina perlulah dilakukan secara tertib, berhemah serta mengikut peraturan dan saluran yang betul. Ini bertujuan agar profesion keguruan dapat sentiasa terpelihara dan dihormati oleh masyarakat. Kita perlu sentiasa menjaga imej kita sebagai guru di samping sentiasa berpegang kepada nilai-nilai murni yang menjadi amalan masyarakat kita serta menjadi nadi penggerak ke arah perpaduan negara.

24. Marilah kita memperbaharui tekad dan azam dengan seluruh tenaga dan keupayaan demi membangunkan modal insan berkualiti. Saya yakin bahawa tanggungjawab berat yang digalas oleh saudara dan saudari para guru di samping tekanan yang dihadapi sedikit pun tidak melunturkan rasa kasih dan sayang kepada anak-anak didik semua. Saya amat yakin dan percaya bahawa saudara dan saudari para guru yang ada di hadapan murid-murid mereka adalah guru yang penyayang. Setiap murid di mata dan hati seorang guru adalah permata bersinar yang mempunyai keistimewaan dan kebolehan tersendiri. “Ketahuilah bahawa pendidikan anak-anak murid ini merupakan pelaburan jangka panjang dalam konteks pembangunan sesebuah negara”. Kepada anak-anak murid yang disayangi sekalian, 25. Guru merupakan ibu dan ayah kepada anak-anak didik semua, kepada guru-gurulah harapan ibu bapa untuk menjadi pengganti mereka bagi mendidik anak-anak ketika berada di sekolah. Sekiranya ada antara murid-murid yang ditegur oleh guru, janganlah mudah berkecil hati atau merasa diri kurang disayangi. Anggaplah para guru sebagai ibu dan bapa di sekolah yang sentiasa mengambil berat dan menginginkan yang terbaik untuk murid-murid semua. Saudara dan saudari yang dikasihi, 26. Besarlah harapan saya agar saudara dan saudari para guru yang dikasihi sekalian terus melaksanakan amanah yang diberi penuh dedikasi, bertunjangkan integriti dan berlandaskan etika perkhidmatan. Selaku pencetus, penggerak dan pemegang amanah kepada proses transformasi sistem pendidikan negara, saudara dan saudari mempunyai kedudukan tersendiri, disegani dan dipandang tinggi oleh masyarakat. Marilah kita teruskan amalan budaya kerja cemerlang, sikap kebertanggungjawaban, istiqamah dan semangat mujahadah setiap daripada kita untuk melakukan yang terbaik demi nusa dan bangsa.

27. Saya mengambil kesempatan di sini, mengucapkan selamat hari guru dan terima kasih cikgu kepada semua insan yang bergelar guru dengan pesanan jadilah guru yang berdedikasi, komited, cemerlang, kreatif, inovatif, kaya maklumat dan bersemangat tinggi dalam perjuangan di arena pendidikan. Selain itu, jadilah guru yang prihatin serta sentiasa menyayangi muridnya. Sesungguhnya Malaysia amat memerlukan khidmat bakti saudara dan saudari para guru demi agama, bangsa dan negara tercinta.

“SELAMAT HARI GURU” “TERIMA KASIH CIKGU” 
DATUK DR KHAIR BIN MOHAMAD YUSOF 
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia 16 Mei 2014

Catatan Lain Yang Mungkin Anda Cari

Kumpulan Blog Kendalian Saya

Blog List Ilmu Keguruan

Pautan Bersama