SEMERAH TINTA®

SEMERAH TINTA®
"Merah" membawa maksud sesuatu yang masih baru dan perlu melalui jangka waktu dan proses tertentu untuk matang.Pen merah amat sinonim dengan profesion perguruan.Tinta merah atau dakwat merah pula selalu dikaitkan dengan pembetulan, amaran ataupun catatan pelaporan yang biasanya dikaitkan dengan kegagalan di dalam ujian atau peperiksaan seseorang pelajar.Apapun, tinta merah bukanlah bertujuan untuk menunjukkan sesuatu yang negatif, sebaliknya sebagai satu motivasi agar sentiasa memperbaiki kelemahan dan sentiasa mahu berubah sehingga kejayaan dapat dikecapi."Semerah Tinta" dibina sebagai medan catatan dan maklumat berkaitan Pembelajaran dan Pengajaran.Terima kasih kepada rakan-rakan yang memberi pandangan, melayari dan menghubung (link) dengan laman atau blog lain. Segala paparan atau catatan adalah atas pandangan penulis sendiri dan boleh diperbaiki dari masa ke masa tertakluk kepada pandangan intlek dan dasar Kementerian Pelajaran Malaysia. Maklumat,teguran,pandangan dan perhatian daripada intelektual, warga pendidik serta rakan blog berkaitan Pengajaran dan Pembelajaran amat saya harapkan dan sangat-sangat dihargai.Semerahtinta juga lahir selepas puakajoran.blogspot.com,agrohias.blogspot.com,golokkraf.blogspot.com dan skb3.blogspot.com .Semoga kehadiran semerahtinta.blogspot ini dapat diterima dalam satu rangkaian.Terima kasih!- Tintamerah®.

SUMPAH SEMERAH TINTA:

SUMPAH SEMERAH TINTA:
MENGHAYATI BAHASA SYURGA,MEMARTABATKAN BAHASA MALAYSIA, MEMPERKUKUHKAN BAHASA INGGERIS,MEMPERTAHANKAN BAHASA IBUNDA,DAN MEMPERKAYAKAN BANGSA DENGAN SEMUA BAHASA.

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ. اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ . خَلَقَ الْإِنْسَانَ مِنْ عَلَقٍ .اقْرَأْ وَرَبُّكَ الْأَكْرَمُ .الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَم .عَلَّمَ الْإِنْسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ

In the name of God, Most Gracious, Most Merciful.Read in the name of your Lord,Who created.Created man, out of a (mere) clot of congealed blood.Proclaim! And thy Lord is Most Bountiful.He Who taught (the use of) the pen.Taught man that which he knew not.

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang menciptakan, Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah,Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan qalam (pen/tinta).Dia mengajarkan kepada manusia apa-apa yang tidak diketahui manusia.

Sahabat Maya - Tinggalkan Link Anda Supaya Senang Saya Follow Kembali - Terima kasih atas sokongan

Terima kasih atas sokongan.Tinggalkan Link supaya senang di "follow" kembali.

Tuesday 1 December 2015

Selamat Pengantin Baru atau Baharu

KITA sering terkeliru apabila menggunakan perkataan ‘baru, ‘baharu’, ‘bharu’, bahru’, ‘baru-baru’ dan ‘baharu-baharu’. Ada yang menganggap perkataan-perkataan tersebut mempunyai maksud dan cara penggunaan sama.

Tanggapan salah itu juga menyebabkan pengguna bahasa Melayu selalu guna perkataan-perkataan itu dengan cara tidak sesuai.

Sebenarnya, perkataan ‘baru, ‘baharu’, ‘bharu’, ‘bahru’, ‘baru-baru’ dan ‘baharu-baharu’ mempunyai fungsi dan cara penggunaan yang berbeza. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan ‘baru’ bermaksud ‘belum lama’.

Perkataan ini tergolong sebagai kata bantu aspek untuk menimbulkan suasana perbezaan masa sama ada masa lampau, masa kini, atau masa hadapan. Sebagai contohnya:
(i) Noraziah baru sampai dari Negeri Sembilan.
(ii) Fadzil baru pulang dari Arab Saudi.

Perkataan ‘baharu’ pula merupakan kata adjektif (sifat) waktu yang memberi pengertian konsep waktu sebagai unsur keterangan. Sebagai contohnya:
(i) Abdul Hadi membeli sebuah kereta baharu.
(ii) Baju baharu itu kepunyaan Mohd Rodi.

Pengguna bahasa Melayu juga kadang-kadang terkeliru sama ada ingin menggunakan ucapan ‘Selamat Pengantin Baharu atau Baru’. Sepatutnya ucapan tersebut diucap atau ditulis sebagai ‘Selamat Pengantin Baharu’. Begitu juga dengan ‘Selamat Tahun Baharu’ yang seharusnya digunakan dan bukannya ‘Selamat Tahun Baru’. Hal ini demikian kerana kedua-dua ucapan  tersebut membawa pengertian konsep waktu sebagai unsur keterangan iaitu pengantin dan tahun yang baharu.

Bagaimanakah pula dengan perkataan ‘bharu’ dan ‘bahru’ yang sering kita temukan dalam nama khas, khususnya merujuk kepada bandar atau tempat, contohnya Kota Bharu, Wakaf Bharu dan Johor Bahru. Sepatutnya ‘Kota Bharu’ perlu dieja sebagai ‘Kota Baharu’, ‘Wakaf Bharu’ dieja sebagai ‘Wakaf Baharu’ manakala ‘Johor Bahru’ sepatutnya dieja sebagai ‘Johor Baharu’.

‘Kota Baharu’ bermaksud sebuah kota yang wujud selepas wujudnya kota lama sebelum itu kerana kita semua tahu di Kelantan terdapat suatu tempat dikenali sebagai Kota Lama. Begitu juga ‘Johor Baharu’ yang wujud selepas wujudnya Johor Lama dan ‘Wakaf  Baharu’ yang merujuk kepada sebuah pondok yang baharu. 

Namun disebabkan ketiga-tiganya nama khas dan telah sebati digunakan oleh masyarakat, maka penggunaan ‘Kota Bharu’,‘Wakaf  Bharu’ dan ‘Johor Bahru’ dikekalkan. Hal ini demikian juga berlaku kerana ketiga-tiga tempat ini wujud sebelum 16 Ogos 1972 memandangkan selepas tarikh itu telah diperkenalkan penggunaan Sistem Ejaan RumiBersama yang turut diisytiharkan penggunaannya secara serentak di Malaysia dan Indonesia. 

Bermula 16 Ogos 1972, penggunaan sistem ini di Malaysia dikenali sebagai Sistem Ejaan Rumi Baharu Bahasa Melayu dengan ejaannya diselaras dan lebih tepat. Kemungkinan juga dalam konteks ini telah berlaku pengguguran vokal ‘a’ dalam kedua-dua perkataan. Sebagai contohnya:
(i) Aziman akan ke Johor Bahru untuk menyaksikan perlawanan bola sepak Liga Super.
(ii) Amir Farhan dan Nur Ain Nabila berasal dari Kota Bharu.

Perkataan ‘baru-baru’ mungkin tidak menjadi masalah untuk kita menggunakannya. ‘Baru-baru’ merupakan kata ganda penuh daripada kata dasar ‘baru’ yang bermaksud tidak lama dahulu atau tidak berapa lama sebelum ini. Sebagai contohnya:
(i) Baru-baru ini Nor Haslina membuat sebiji kek.
(ii) Baru-baru ini Persatuan Penduduk Taman Guchil Baharu mengadakan gotong-royong membersihkan kawasan perumahan mereka.

Namun, pengguna bahasa Melayu diingatkan supaya tidak menggunakan perkataan ‘baharu-baharu’ bagi menggantikan ‘baru-baru’ kerana ‘baharu-baharu’ merupakan nama sejenis ikan laut.
Contoh di bawah membantu kita semua bagi membezakan penggunaan perkataan ‘baru, ‘baharu’, ‘bharu’, bahru’, ‘baru-baru’ dan ‘baharu-baharu’:
Ahmad yang baru sampai di Kota Bharu bertolak dari Johor Bahru pada pukul 9 pagi tadi dengan menaiki kereta baharunya bersama-sama isteri baharu dan terus membeli ikan baharu-baharu.

Aspek penggunaan bahasa Melayu amat menarik jikalau dibincangkan secara mendalam. Namun pengguna bahasa Melayu perlu berhati-hati dalam menggunakannya agar tidak melakukan kesilapan dalam berbahasa. Akhir kata “Cintailah Bahasa Kita, Bahasa Jiwa Bangsa”.

* Dipetik dari sumber DBP Wilayah Timur

Catatan Lain Yang Mungkin Anda Cari

Kumpulan Blog Kendalian Saya

Blog List Ilmu Keguruan

Pautan Bersama