SEMERAH TINTA®

SEMERAH TINTA®
"Merah" membawa maksud sesuatu yang masih baru dan perlu melalui jangka waktu dan proses tertentu untuk matang.Pen merah amat sinonim dengan profesion perguruan.Tinta merah atau dakwat merah pula selalu dikaitkan dengan pembetulan, amaran ataupun catatan pelaporan yang biasanya dikaitkan dengan kegagalan di dalam ujian atau peperiksaan seseorang pelajar.Apapun, tinta merah bukanlah bertujuan untuk menunjukkan sesuatu yang negatif, sebaliknya sebagai satu motivasi agar sentiasa memperbaiki kelemahan dan sentiasa mahu berubah sehingga kejayaan dapat dikecapi."Semerah Tinta" dibina sebagai medan catatan dan maklumat berkaitan Pembelajaran dan Pengajaran.Terima kasih kepada rakan-rakan yang memberi pandangan, melayari dan menghubung (link) dengan laman atau blog lain. Segala paparan atau catatan adalah atas pandangan penulis sendiri dan boleh diperbaiki dari masa ke masa tertakluk kepada pandangan intlek dan dasar Kementerian Pelajaran Malaysia. Maklumat,teguran,pandangan dan perhatian daripada intelektual, warga pendidik serta rakan blog berkaitan Pengajaran dan Pembelajaran amat saya harapkan dan sangat-sangat dihargai.Semerahtinta juga lahir selepas puakajoran.blogspot.com,agrohias.blogspot.com,golokkraf.blogspot.com dan skb3.blogspot.com .Semoga kehadiran semerahtinta.blogspot ini dapat diterima dalam satu rangkaian.Terima kasih!- Tintamerah®.

SUMPAH SEMERAH TINTA:

SUMPAH SEMERAH TINTA:
MENGHAYATI BAHASA SYURGA,MEMARTABATKAN BAHASA MALAYSIA, MEMPERKUKUHKAN BAHASA INGGERIS,MEMPERTAHANKAN BAHASA IBUNDA,DAN MEMPERKAYAKAN BANGSA DENGAN SEMUA BAHASA.

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ. اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ . خَلَقَ الْإِنْسَانَ مِنْ عَلَقٍ .اقْرَأْ وَرَبُّكَ الْأَكْرَمُ .الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَم .عَلَّمَ الْإِنْسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ

In the name of God, Most Gracious, Most Merciful.Read in the name of your Lord,Who created.Created man, out of a (mere) clot of congealed blood.Proclaim! And thy Lord is Most Bountiful.He Who taught (the use of) the pen.Taught man that which he knew not.

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang menciptakan, Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah,Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan qalam (pen/tinta).Dia mengajarkan kepada manusia apa-apa yang tidak diketahui manusia.

Sahabat Maya - Tinggalkan Link Anda Supaya Senang Saya Follow Kembali - Terima kasih atas sokongan

Terima kasih atas sokongan.Tinggalkan Link supaya senang di "follow" kembali.

Tuesday 1 December 2015

Selamat Pengantin Baru atau Baharu

KITA sering terkeliru apabila menggunakan perkataan ‘baru, ‘baharu’, ‘bharu’, bahru’, ‘baru-baru’ dan ‘baharu-baharu’. Ada yang menganggap perkataan-perkataan tersebut mempunyai maksud dan cara penggunaan sama.

Tanggapan salah itu juga menyebabkan pengguna bahasa Melayu selalu guna perkataan-perkataan itu dengan cara tidak sesuai.

Sebenarnya, perkataan ‘baru, ‘baharu’, ‘bharu’, ‘bahru’, ‘baru-baru’ dan ‘baharu-baharu’ mempunyai fungsi dan cara penggunaan yang berbeza. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan ‘baru’ bermaksud ‘belum lama’.

Perkataan ini tergolong sebagai kata bantu aspek untuk menimbulkan suasana perbezaan masa sama ada masa lampau, masa kini, atau masa hadapan. Sebagai contohnya:
(i) Noraziah baru sampai dari Negeri Sembilan.
(ii) Fadzil baru pulang dari Arab Saudi.

Perkataan ‘baharu’ pula merupakan kata adjektif (sifat) waktu yang memberi pengertian konsep waktu sebagai unsur keterangan. Sebagai contohnya:
(i) Abdul Hadi membeli sebuah kereta baharu.
(ii) Baju baharu itu kepunyaan Mohd Rodi.

Pengguna bahasa Melayu juga kadang-kadang terkeliru sama ada ingin menggunakan ucapan ‘Selamat Pengantin Baharu atau Baru’. Sepatutnya ucapan tersebut diucap atau ditulis sebagai ‘Selamat Pengantin Baharu’. Begitu juga dengan ‘Selamat Tahun Baharu’ yang seharusnya digunakan dan bukannya ‘Selamat Tahun Baru’. Hal ini demikian kerana kedua-dua ucapan  tersebut membawa pengertian konsep waktu sebagai unsur keterangan iaitu pengantin dan tahun yang baharu.

Bagaimanakah pula dengan perkataan ‘bharu’ dan ‘bahru’ yang sering kita temukan dalam nama khas, khususnya merujuk kepada bandar atau tempat, contohnya Kota Bharu, Wakaf Bharu dan Johor Bahru. Sepatutnya ‘Kota Bharu’ perlu dieja sebagai ‘Kota Baharu’, ‘Wakaf Bharu’ dieja sebagai ‘Wakaf Baharu’ manakala ‘Johor Bahru’ sepatutnya dieja sebagai ‘Johor Baharu’.

‘Kota Baharu’ bermaksud sebuah kota yang wujud selepas wujudnya kota lama sebelum itu kerana kita semua tahu di Kelantan terdapat suatu tempat dikenali sebagai Kota Lama. Begitu juga ‘Johor Baharu’ yang wujud selepas wujudnya Johor Lama dan ‘Wakaf  Baharu’ yang merujuk kepada sebuah pondok yang baharu. 

Namun disebabkan ketiga-tiganya nama khas dan telah sebati digunakan oleh masyarakat, maka penggunaan ‘Kota Bharu’,‘Wakaf  Bharu’ dan ‘Johor Bahru’ dikekalkan. Hal ini demikian juga berlaku kerana ketiga-tiga tempat ini wujud sebelum 16 Ogos 1972 memandangkan selepas tarikh itu telah diperkenalkan penggunaan Sistem Ejaan RumiBersama yang turut diisytiharkan penggunaannya secara serentak di Malaysia dan Indonesia. 

Bermula 16 Ogos 1972, penggunaan sistem ini di Malaysia dikenali sebagai Sistem Ejaan Rumi Baharu Bahasa Melayu dengan ejaannya diselaras dan lebih tepat. Kemungkinan juga dalam konteks ini telah berlaku pengguguran vokal ‘a’ dalam kedua-dua perkataan. Sebagai contohnya:
(i) Aziman akan ke Johor Bahru untuk menyaksikan perlawanan bola sepak Liga Super.
(ii) Amir Farhan dan Nur Ain Nabila berasal dari Kota Bharu.

Perkataan ‘baru-baru’ mungkin tidak menjadi masalah untuk kita menggunakannya. ‘Baru-baru’ merupakan kata ganda penuh daripada kata dasar ‘baru’ yang bermaksud tidak lama dahulu atau tidak berapa lama sebelum ini. Sebagai contohnya:
(i) Baru-baru ini Nor Haslina membuat sebiji kek.
(ii) Baru-baru ini Persatuan Penduduk Taman Guchil Baharu mengadakan gotong-royong membersihkan kawasan perumahan mereka.

Namun, pengguna bahasa Melayu diingatkan supaya tidak menggunakan perkataan ‘baharu-baharu’ bagi menggantikan ‘baru-baru’ kerana ‘baharu-baharu’ merupakan nama sejenis ikan laut.
Contoh di bawah membantu kita semua bagi membezakan penggunaan perkataan ‘baru, ‘baharu’, ‘bharu’, bahru’, ‘baru-baru’ dan ‘baharu-baharu’:
Ahmad yang baru sampai di Kota Bharu bertolak dari Johor Bahru pada pukul 9 pagi tadi dengan menaiki kereta baharunya bersama-sama isteri baharu dan terus membeli ikan baharu-baharu.

Aspek penggunaan bahasa Melayu amat menarik jikalau dibincangkan secara mendalam. Namun pengguna bahasa Melayu perlu berhati-hati dalam menggunakannya agar tidak melakukan kesilapan dalam berbahasa. Akhir kata “Cintailah Bahasa Kita, Bahasa Jiwa Bangsa”.

* Dipetik dari sumber DBP Wilayah Timur

Monday 12 October 2015

Faedah dan Kepentingan Menjaga Alam Sekitar

(Sanggupkah kita biarkan alam kita tercemar begini?)


Alam sekitar ialah alam sekeliling kita.Alam sekitar boleh tercemar dengan berbagai cara antaranya, pembuangan sampah ke dalam sungai, penebangan hutan secara berleluasa dan pembebasan sisa toksik ke udara dan di dalam air. Menjadi tanggungjawab kita untuk menjaga,memelihara dan memulihara keseimbangan alam sekitar supaya kekal dan bersih. Alam sekitar yang terpelihara dan bersih menjadikan kehidupan kita lebih selesa dan terjamin.

Sumber air yang bersih dan selamat hanya boleh di dapati daripada pengurusan alam sekitar yang sempurna. Sungai dan perairan yang tercemar boleh mendatangkan kesan yang buruk terhadap manusia.Habitat hidupan akua akan musnah. Sumber makanan seperti ikan dan rumpai air akan mati atau tercemar.Keadaan tersebut menjadikan kesihatan dan kehidupan kita terancam.

Alam sekitar yang terpelihara juga dapat meningkatkan sumber pendapatan penduduk dan menjana ekonomi negara. Pelancong luar pastinya suka berkunjung ke negara yang mengurus alam sekitarnya dengan baik.Kemasukan pelancong asing akan menjadikan sektor perniagaan seperti bidang perhotelan, restoran dan pengangkutan berkembang pesat.

Hutan belantara yang terdapat di negara kita adalah khazanah alam yang tidak ternilai. Khazanah ini perlu dijaga bagi mengekalkan keseimbangan alam. Pokok-pokok dan tumbuhan membekalkan oksigen disamping mengawal suhu bumi daripada meningkat. Tanah runtuh,banjir lumpur dan banjir kilat sering terjadi di kawasan-kawasan yang hutannya ditebang sewenang-wenangnya. Selain itu, hutan juga berperanan sebagai pelindung kepada pelbagai jenis hidupan liar. Pencemaran hutan boleh mennyebabkan hidupan liar seperti gajah,harimau dan kijang menjadi pupus.

Alam sekitar yang diuruskan dengan baik dapat mengekalkan kesihatan dan menjadikan kehidupan manusia sejahtera. Sebagai contoh, pohon-pohon hijau yang ditanam di persekitaran dan hutan semula jadi yang dikawal dengan baik akan mengurangkan pencemaran, menurunkan suhu dan menjadikan persekitaran lebih nyaman. Hutan kita yang kaya dengan tumbuhan herba seperti pokok tongkat ali dan kacip Fatimah  sangat membantu dalam bidang pemakanan kesihatan dan perubatan berasaskan herba sejak sekian lama.

Akhirnya, kita sewajarnya memelihara alam sekitar agar bebas daripada sebarang bentuk pencemaran. Alam sekitar yang terpelihara merupakan hadiah yang tidak ternilai kepada kita dan generasi akan datang. Sebagai warga negara yang baik kita patut membantu pihak berkuasa mengekalkan keindahan dan kesejahteraan alam sekitar.Sayangi dan selamatkanlah alam sekitar kita.

Nukilan:
Aqeef Wajdee,
Tahun 2 Cemerlang.

Perdana Menteri Ucap Selamat Berjaya Kepada Pelajar Menduduki PT3


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengucapkan selamat berjaya kepada semua pelajar yang menduduki ujian bertulis Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) bermula hari ini. 

"Selamat menduduki peperiksaan PT3 kepada semua pelajar Tingkatan 3. Belajar dan berehat secukupnya. Semoga cemerlang!" kata Dato' Sri Najib dalam catatan di akaun Twitternya. 

Ujian bertulis yang memasuki tahun kedua itu akan berakhir pada hari Khamis. 

PT3 merangkumi 12 mata pelajaran termasuk Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Pendidikan Islam dan Kemahiran Hidup Bersepadu. 

Subjek lain ialah Bahasa Arab, Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Bahasa Iban dan Bahasa Kadazandusun yang diajar di sekolah tertentu. - BERNAMA.


Admin: Calon-calon PT3 2015, Selamat Menduduki PT3. Semoga mendapat kejayaan yang cemerlang.

Wednesday 9 September 2015

Cara-cara Menarik Kemasukan Pelancong Asing ke negara Kita

Seperti yang diketahui umum bidang pelancongan boleh menjadi salah satu sumber pendapatan negara. Selain itu kedatangan pelancong juga boleh menjadikan negara kita terkenal di dunia. 

Terdapat banyak cara untuk menarik pelancong supaya datang ke negara kita. Antaranya, pihak-pihak berkenaan dan agensi yang terbabit dengan pelancongan perlu giat mempromosikan negara kita ke luar negara.Mereka perlu menyediakan maklumat lengkap tentang sesuatu destinasi menarik yang terdapat di negara ini. Contonya terdapat iklan Tahun Melawat Malaysia yang disebarkan secara meluas pada kapal terbang yang berulang alik ke luar negara.

Selain itu, kita juga boleh mewujudkan kawasan pelancongan yang bersumberkan keindahan alam sekitar. Sebagai contoh memelihara dan memulihara kawasan-kawasan semula jadi seperti Hutan Lipur Blum dan Tasik Kenyir. Kawasan hutan semula jadi negara kita kaya dengan tumbuhan yang boleh menarik minat pelancong seperti bunga Refelisia dan Tongkat Ali.

Kemudahan awam dan frasarana juga harus dimajukan dan dipertingkatkan.Hal ini kerana pelancong yang berkunjung ke negara kita inginkan keselesaan dan mencari ketenangan. Oleh itu, kerajaan dan pihak tertentu wajar memperlengkap kemudahan pengangkutan, penginapan seperti hotel-hotel bertaraf lima bintang dan juga memajukan bidang komunikasi. 

Kebersihan dan ketenagan juga boleh menjadi satu sebab pelancong ingin datang ke negara kita. Ramai pelancong yang datang ke negara kita adalah untuk menikmati keindahan pulau dan pantai. Sebagai masyarakat yang bercita-cita mahu menjadikan negaranya maju dan menjadi perhatian dunia, aspek kebersihan harus diberi fokus utama.Masyarakat harus dididik agar tidak membuang sampah sesuka hati. Lihatlah negara Jepun yang sudah terkenal dengan masyarakatnya yang pembersih dan rajin bekerja.

Layanan istimewa dan mesra juga harus menjadi budaya masyarakat kita. Sebagai langkah permulaan, kita perlu mempelajari serba sedikit bahasa asing bagi menyapa pelancong yang berkunjung. Setidak-tidaknya layanilah pelancong dengan memberi sedikit senyuman. Langkah ini akan mengingatkan pelancong kepada masyarakat kita yang mudah mesra.

Pemeliharaan dan pemuliharaan bangunan dan monumen bersejarah juga menjadikan negara kita terkenal. Masyarakat luar pastinya mahu melihat tinggalan sejarah seperti kubu A Famosa dan Kota Ngah Ibrahim di Matang yang ada kaitan dengan sejarah penjajahan di negara kita. 

Sebenarnya masih banyak lagi ruang yang boleh diberi perhatian untuk membangunkan industri pelancongan negara dan menggalakan pelancong luar datang ke negara kita. Sebagai warganegara yang peduli, kita boleh bersama-sama membantu kerajaan memajukan beberapa bidang lain seperti kebudayaan setempat dan masakan tradisional. Kita juga boleh memperkenalkan cara kehidupan masyarakat setempat kepada pelancong luar dengan menyediakan kemudahan dan perkhidmatan “Inap Desa”.


 Nukilan: Izah Hazirah bt Muhammad Rozi.
Tahun 5 Cemerlang 2015.

Friday 14 August 2015

Analisis Ujian PascaProTiM Secara Online dan Borang Skor Laporan Protim 2015


Borang skor KPBM untuk sekolah

Borang Skor Kelas Pemulihan Bahasa Malaysia untuk kegunaan sekolah telah dikemas kini.

Sila klik pautan di bawah untuk muat turun borang berkenaan.


Borang Skor KPBM Sekolah

 

Analisis Ujian PascaProTiM secara online



Mohon tuan/puan mengisi borang Analisis Ujian PascaProTiM dengan jujur dan ikhlas.

Pastikan tuan/puan mencetak Borang Analisis PascaProTiM daripada Borang Skor Murid.

Kerjasama daripada tuan/puan amat dihargai dan didahului dengan ucapan ribuan terima kasih.

Analisis Ujian PascaProTiM Tahun 5

Analisis Ujian PascaProTiM Tahun 4


Link : kpbmperak.blogspot.com/

Thursday 6 August 2015

Muat Turun Lagu Tema 'Perak Excellent'

Semua sekolah dikehendaki memuat turun lagu tema 'Perak Excellent' untuk dinyanyikan setiap pagi Isnin.

Lagu tersebut bolehlah dimuat turun melalui halaman berikut: Muat Turun, Perak Excellent.
Lagu tersebut boleh dimuat turun di pautan bawah.

Klik untuk untuk muat turun

LAGU TEMA 'PERAK EXCELLENT'

Wednesday 3 June 2015

Konvokesyen UPSI ke 17, Tuanku Zara Sampaikan Ijazah, Diploma Kepada 7,125 Graduan

IPOH, Jun, Bernama melaporkan -- Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan menyampaikan ijazah dan diploma kepada 7,125 graduan sempena istiadat Konvokesyen ke-17 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bermula  2 Jun ini.

Tuanku Zara yang juga Canselor UPSI menyampaikan anugerah itu pada sesi pertama dan kedua istiadat konvokesyen yang akan berlangsung di Dewan Besar UPSI, Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City, dekat sini.
Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat UPSI, Zainab Othman berkata kali ini UPSI menganugerahkan ijazah dan diploma kepada 12,327 graduan iaitu 7,125 graduan pada sidang pertama yang diadakan pada 2 hingga 5 Jun ini dan 5,202 graduan pada sidang kedua pada 24 hingga 26 Nov nanti.

"Pada sidang pertama ini, buat julung kalinya UPSI akan menganugerahkan ijazah kepada 7,125 orang graduan yang merupakan kohort pertama Program Pensiswazahan Guru dan kohort pertama francais iaitu Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Sekolah Rendah) Dengan Kepujian (Graduan Program Pensiswazahan Guru UPSI-Universiti Sains Malaysia (USM)) dan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Sekolah Rendah) Dengan Kepujian (Graduan Program Pensiswazahan Guru UPSI-Kirkby International College (KIC))," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

"Daripada jumlah itu 5,682 orang graduan adalah bagi program Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) terdiri daripada guru-guru sekolah rendah di bawah Program Pensiswazahan Guru manakala seramai 979 graduan daripada program francais USM-UPSI dan 464 orang graduan daripada program francais UPSI-KIRKBY," katanya.

Beliau berkata prestasi para graduan Program Pensiswazahan Guru (PPG) yang memberangsangkan menjadikan konvokesyen ini lebih bermakna dan membanggakan apabila daripada 464 graduan, 5.87 peratus mendapat kepujian kelas pertama, 80.92 peratus kepujian kelas kedua atas dan 10.06 peratus kepujian kelas kedua bawah

"USM dan UPSI pula bekerjasama dengan menawarkan program francais ini mulai sesi kemasukan 2011/2012.

"Program francais UPSI-USM ini telah ditandatangani melalui MoA bagi membolehkan USM menggunakan sepenuhnya kurikulum UPSI tanpa mengubah sebarang kandungan dari aspek kurikulum, memandangkan Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan USM tidak menawarkan program Ijazah Sarjana Muda Sekolah Rendah secara spesifik," katanya.

Zainab berkata pada sidang pertama ini juga buat pertama kalinya Anugerah Kecemerlangan Khas Pelajar PPG diwujudkan dan akan anugerahkan kepada dua orang pelajar iaitu Norazlin Mohd Rusdin (Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Sekolah Rendah) dengan Kepujian dan Tan Fee Meng, (Ijazah Sarjana Muda Bahasa Cina) dengan Pendidikan.

"Selain itu, istimewanya Istiadat Konvokesyen ke-17 ini kerana bakal graduannya adalah terdiri daripada pelajar-pelajar yang sudah berpengalaman dalam kerjaya pendidikan di sekolah-sekolah seluruh Malaysia," katanya.

Beliau berkata sehingga kini, UPSI telah melahirkan sebanyak 48,820 graduan dalam pelbagai peringkat pengajian diploma, ijazah pertama, sarjana dan doktor falsafah.






 --Laporan: BERNAMA -- Gambar : Tokanpuakajoran.

Catatan Lain Yang Mungkin Anda Cari

Kumpulan Blog Kendalian Saya

Blog List Ilmu Keguruan

Pautan Bersama