SEMERAH TINTA®

SEMERAH TINTA®
"Merah" membawa maksud sesuatu yang masih baru dan perlu melalui jangka waktu dan proses tertentu untuk matang.Pen merah amat sinonim dengan profesion perguruan.Tinta merah atau dakwat merah pula selalu dikaitkan dengan pembetulan, amaran ataupun catatan pelaporan yang biasanya dikaitkan dengan kegagalan di dalam ujian atau peperiksaan seseorang pelajar.Apapun, tinta merah bukanlah bertujuan untuk menunjukkan sesuatu yang negatif, sebaliknya sebagai satu motivasi agar sentiasa memperbaiki kelemahan dan sentiasa mahu berubah sehingga kejayaan dapat dikecapi."Semerah Tinta" dibina sebagai medan catatan dan maklumat berkaitan Pembelajaran dan Pengajaran.Terima kasih kepada rakan-rakan yang memberi pandangan, melayari dan menghubung (link) dengan laman atau blog lain. Segala paparan atau catatan adalah atas pandangan penulis sendiri dan boleh diperbaiki dari masa ke masa tertakluk kepada pandangan intlek dan dasar Kementerian Pelajaran Malaysia. Maklumat,teguran,pandangan dan perhatian daripada intelektual, warga pendidik serta rakan blog berkaitan Pengajaran dan Pembelajaran amat saya harapkan dan sangat-sangat dihargai.Semerahtinta juga lahir selepas puakajoran.blogspot.com,agrohias.blogspot.com,golokkraf.blogspot.com dan skb3.blogspot.com .Semoga kehadiran semerahtinta.blogspot ini dapat diterima dalam satu rangkaian.Terima kasih!- Tintamerah®.

SUMPAH SEMERAH TINTA:

SUMPAH SEMERAH TINTA:
MENGHAYATI BAHASA SYURGA,MEMARTABATKAN BAHASA MALAYSIA, MEMPERKUKUHKAN BAHASA INGGERIS,MEMPERTAHANKAN BAHASA IBUNDA,DAN MEMPERKAYAKAN BANGSA DENGAN SEMUA BAHASA.

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ. اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ . خَلَقَ الْإِنْسَانَ مِنْ عَلَقٍ .اقْرَأْ وَرَبُّكَ الْأَكْرَمُ .الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَم .عَلَّمَ الْإِنْسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ

In the name of God, Most Gracious, Most Merciful.Read in the name of your Lord,Who created.Created man, out of a (mere) clot of congealed blood.Proclaim! And thy Lord is Most Bountiful.He Who taught (the use of) the pen.Taught man that which he knew not.

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang menciptakan, Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah,Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan qalam (pen/tinta).Dia mengajarkan kepada manusia apa-apa yang tidak diketahui manusia.

Sahabat Maya - Tinggalkan Link Anda Supaya Senang Saya Follow Kembali - Terima kasih atas sokongan

Terima kasih atas sokongan.Tinggalkan Link supaya senang di "follow" kembali.

Tuesday, 10 September 2013

Majlis Perpisahan Tahun Enam – Karangan Jenis Ucapan

Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Tuan Haji Zambri Bin Abdul Rahim,Guru Besar Sekolah Kebangsaan Besout 3, guru-guru penolong kanan, guru-guru serta rakan-rakan sekalian. Terima kasih saya ucapkan kerana memberi ruang kepada saya untuk berucap dalam majlis perpisahan ini.

Hadirin sekalian,

Cepatnya waktu berlalu.Sedar tidak sedar, usia kami sudah menjangkau enam tahun berada di bawah bimbingan guru-guru sekolah ini. Kini, tinggal hanya beberapa hari sahaja lagi sebelum kami melangkahkan kaki ke alam sekolah menengah. Walaupun terasa berat di hati namun kami terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada guru-guru dan adik-adik yang dikasihi.Hakikat yang terpaksa dilalui meskipun kami amat menyayangi sekolah ini.

Sebagai ketua pelajar, saya mewakili murid-murid Tahun 6 mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada guru-guru di sekolah ini. Kami amat menghargai akan jasa kalian yang telah mendidik kami dengan penuh dedikasi, sabar, dan penuh kasih sayang. Dengan didikan dan bimbingan gurulah kami telah tahu membaca, menulis, dan mengira. Pesanan guru-guru yang ingin melihat kami menjadi insan yang berakhlak dan berguna kepada masyarakat dan negara akan sentiasa kami ingati.

Hadirin sekalian .

Seperti yang kita ketahui setelah bertungkus lumus sejak sekian lama, pada tahun ini Sekolah Kebangsaan Besout 3 telah berada di persada kegemilangan. Sekolah kita berjaya mendapat keputusan yang cemerlang dalam UPSR. Seramai 25 orang murid telah mendapat keputusan 5A dan tiada seorangpun murid yang kandas walaupun dalam satu mata pelajaran. Pencapaian ini amat membanggakan. Kejayaan yang cemerlang ini sudah pastinya hasil titik peluh semua pihak terutama guru-guru yang tidak jemu mendidik kami.Sebagai murid Tahun 6 kami berasa amat bertuah kerana warga pendidik di sekolah ini begitu perihatin dan berdedikasi.

Pada majlis yang terakhir ini kami berjanji akan terus belajar dengan bersungguh-sungguh sehingga mencapai kejayaan yang cemerlang di sekolah menengah nanti. Jasa dan pengorbanan guru-guru tidak mampu kami balas. Hanya doa untuk kesejahteraan sahaja yang mampu kami lakukan sebagai membalas segala jasa guru-guru. Kami berharap agar guru-guru juga dapat mendoakan kami supaya terus memperoleh kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran pada masa-masa akan datang.

Akhir kata saya mewakili rakan-rakan memohon maaf atas segala kesilapan dan kesalahan sepanjang kami berada di sekolah ini. Halalkan segala ilmu yang guru-guru curahkan kepada kami. Jasa dan bakti guru-guru akan kami kenang sehingga akhir hayat.

Sebelum saya mengundur diri terimalah serangkap pantun,

Tuai padi antara masak,
Esok jangan layu-layuan,
Intai kami antara nampak,
Esok jangan rindu-rinduan.

Sekian, terima kasih.

Monday, 9 September 2013

478,848 calon UPSR duduki peperiksaan tahun ini mulai esok

KUALA LUMPUR : Seramai 478,848 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2013 akan menduduki peperiksaan bertulis mulai 10 hingga 12 Sept ini di 8,268 pusat peperiksaan di seluruh negara.

Kenyataan Lembaga Peperiksaan Kementerian Pendidikan Malaysia hari ini menyebut, daripada jumlah itu, 469,882 adalah pelajar sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan manakala 8,966 lagi dari sekolah swasta yang bahasa pengantarnya adalah bahasa Melayu.

"Seramai 49,117 petugas peperiksaan telah dilantik dan calon diingatkan untuk merujuk kepada jadual waktu peperiksaan untuk maklumat mengenai masa peperiksaan serta arahan dan amaran yang perlu dipatuhi," katanya.

Menurut kenyatan itu, jadual waktu peperiksaan telah diedar ke sekolah dan boleh dimuat turun daripada laman sesawang Lembaga Peperiksaan di alamat http://www.moe.gov.my/lp.

"Calon diingatkan untuk membawa kad pengenalan ke pusat peperiksaan bagi memastikan urusan pengendalian peperiksaan berjalan lancar," katanya.

Sunday, 8 September 2013

Kebaikan-kebaikan Menyertai Aktiviti Kokurikulum - Karangan Jenis Fakta

Contoh 1

            Kegiatan kokurikulum ialah aktiviti di luar bilik darjah. Terdapat banyak jenis kegiatan  kokurikulum di sekolah. Kegiatan tersebut termasuklah aktiviti badan beruniform, kelab dan persatuan serta sukan dan permainan. Semua pelajar digalakkan menyertai kegiatan kokurikulum.

Ada banyak faedah menyertai kegiatan kokurikulum.Salah satu faedah kegiatan kokurikulum ialah kita dapat memenuhkan masa lapang. Orang yang memenuhi masa lapang dengan aktiviti berfaedah tidak terlibat dengan gejala sosial. Mereka sentiasa sibuk dengan aktiviti di sekolah.  Sebagai contoh, jika mereka aktif dalam bidang sukan, mereka akan berlatih setiap petang. Oleh itu masa lapang mereka terisi sepenuhnya.                       

Selain itu, kegiatan kokurikulum juga dapat melatih pelajar menjadi pemimpin. Ada berbagai-bagai jawatan dalam persatuan. Sebagai contoh, jawatan pengerusi, setiausaha, bendahari, ahli jawatankuasa dan ahli biasa. Apabila pelajar memegang jawatan pengerusi, mereka akan belajar menjadi ketua. Begitu juga dengan jawatan-jawatan lain.                           

Di samping itu, dengan menyertai kegiatan kokurikulum juga kita dapat membentuk disiplin diri. Disiplin sangat penting untuk mencapai kejayaan. Pelajar yang tidak berdisiplin susah untuk berjaya. Sebagai contoh, apabila hendak menjalani latihan sukan,, kita mesti menepati masa. Jika terlewat, kita akan ketinggalan dan rugi. 
                       
Badan kita akan menjadi sihat apabila menyertai kegiatan kokurikulum. Kita boleh menjadi ahli kelab sukan seperti pasukan bola sepak dan pasukan bola tampar. Untuk menang dalam pertandingan yang disertai, kita akan menjalani latihan. Dengan latihan itu kita akan menjadi cergas. Badan akan mengeluarkan peluh. Kita akan menjadi sihat dan kuat. Kita juga tidak akan mudah sakit.            

         Akhir sekali, kegiatan kokurikulum akan mengukuhkan lagi perpaduan. Setiap persatuan dan kelab ada banyak ahlinya. Ahli-ahlinya terdiri daripada pelbagai kaum. Ada yang berbangsa Melayu, Cina, India dan lain-lain. Dalam aktiviti yang dijalankan, semua ahli akan berkumpul. Mereka boleh berbincang untuk bertukar-tukar pendapat. Dengan ini akan mengeratkan hubungan sesama mereka.            


Contoh 2

              Kegiatan kokurikulum ialah aktiviti di luar bilik darjah. Terdapat banyak jenis kegiatan kokurikulum di sekolah. Kegiatan tersebut termasuklah aktiviti badan beruniform, kelab dan persatuan serta sukan dan permainan. Semua pelajar digalakkan menyertai kegiatan kokurikulum mendatangkan banyak faedah.

         Antara faedah kegiatan kokurikulum ialah dapat mengisi masa lapang. Dengan menyertai aktiviti kokurikulum, kita tiada masa untuk bergaul dengan budak-budak nakal atau kacang hantu.Secara tidak langsung akan dapat menghindari diri kita daripada terjebak dengan gajala sosial. Contohnya, jika kita aktif dalam bidang sukan, kita akan berlatih setiap petang. Oleh itu, kegiatan kokurikulum dapat mengisi masa lapang dengan berfaedah.

             Selain itu, kegiatan kokurikulum juga dapat melatih pelajar menjadi pemimpin. Ada pelbagai jawatan dalam persatuan seperti pengerusi, setiausaha, bendahari, ahli jawatankuasa dan ahli biasa. Apabila pelajar memegang sesuatu jawatan maka kita akan belajar menjadi ketua dan menguruskan aktiviti persatuan. Ahli biasa juga boleh belajar daripada kawan-kawan yang ada jawatan. Oleh hal yang demikian, dengan menyertai aktiviti kokurikulum, pelajar akan belajar menjadi pemimpin.

          Di samping itu, dengan menyertai kegiatan kokurikulum juga kita dapat membentuk disiplin diri. Disiplin sangat penting untuk mencapai kejayaan. Pelajar yang tidak berdisiplin susah untuk berjaya. Contohnya, kita akan dilatih menepati masa, berpakaian kemas dan mematuhi peraturan sama ada peraturan perkhemahan, bersukan dan sebagainya.

          Akhir sekali, kegiatan kokurikulum akan mengukuhkan lagi perpaduan. Setiap persatuan dan kelab ada banyak ahlinya. Ahli-ahlinya terdiri daripada pelbagai kaum seperti Melayu, Cina, India dan lain-lain. Dalam aktiviti yang dijalankan, semua ahli akan berkumpul. Kita boleh berbincang untuk bertukar-tukar pendapat serta bekerjasama dalam melakukan sesuatu aktiviti. Dengan ini akan mengeratkan hubungan sesamakita.

          Kesimpulannya, terdapat banyak faedah apabila kita menyertai kegiatan kokurikulum. Pihak sekolah hendaklah mengadakan aktiviti yang menarik untuk menggalakkan pelajar menyertainya. Ibu bapa pula hendaklah menggalakkan anak-anak mereka terlibat dengan kegiatan kokurikulum. Dengan cara itu, kita akan dapat menghasilkan pelajar yang cemerlang.

Rujuk : http://semerahtinta.blogspot.com/2012/

Catatan Lain Yang Mungkin Anda Cari

Kumpulan Blog Kendalian Saya

Blog List Ilmu Keguruan

Pautan Bersama