SEMERAH TINTA®

SEMERAH TINTA®
"Merah" membawa maksud sesuatu yang masih baru dan perlu melalui jangka waktu dan proses tertentu untuk matang.Pen merah amat sinonim dengan profesion perguruan.Tinta merah atau dakwat merah pula selalu dikaitkan dengan pembetulan, amaran ataupun catatan pelaporan yang biasanya dikaitkan dengan kegagalan di dalam ujian atau peperiksaan seseorang pelajar.Apapun, tinta merah bukanlah bertujuan untuk menunjukkan sesuatu yang negatif, sebaliknya sebagai satu motivasi agar sentiasa memperbaiki kelemahan dan sentiasa mahu berubah sehingga kejayaan dapat dikecapi."Semerah Tinta" dibina sebagai medan catatan dan maklumat berkaitan Pembelajaran dan Pengajaran.Terima kasih kepada rakan-rakan yang memberi pandangan, melayari dan menghubung (link) dengan laman atau blog lain. Segala paparan atau catatan adalah atas pandangan penulis sendiri dan boleh diperbaiki dari masa ke masa tertakluk kepada pandangan intlek dan dasar Kementerian Pelajaran Malaysia. Maklumat,teguran,pandangan dan perhatian daripada intelektual, warga pendidik serta rakan blog berkaitan Pengajaran dan Pembelajaran amat saya harapkan dan sangat-sangat dihargai.Semerahtinta juga lahir selepas puakajoran.blogspot.com,agrohias.blogspot.com,golokkraf.blogspot.com dan skb3.blogspot.com .Semoga kehadiran semerahtinta.blogspot ini dapat diterima dalam satu rangkaian.Terima kasih!- Tintamerah®.

SUMPAH SEMERAH TINTA:

SUMPAH SEMERAH TINTA:
MENGHAYATI BAHASA SYURGA,MEMARTABATKAN BAHASA MALAYSIA, MEMPERKUKUHKAN BAHASA INGGERIS,MEMPERTAHANKAN BAHASA IBUNDA,DAN MEMPERKAYAKAN BANGSA DENGAN SEMUA BAHASA.

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ. اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ . خَلَقَ الْإِنْسَانَ مِنْ عَلَقٍ .اقْرَأْ وَرَبُّكَ الْأَكْرَمُ .الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَم .عَلَّمَ الْإِنْسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ

In the name of God, Most Gracious, Most Merciful.Read in the name of your Lord,Who created.Created man, out of a (mere) clot of congealed blood.Proclaim! And thy Lord is Most Bountiful.He Who taught (the use of) the pen.Taught man that which he knew not.

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang menciptakan, Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah,Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan qalam (pen/tinta).Dia mengajarkan kepada manusia apa-apa yang tidak diketahui manusia.

Sahabat Maya - Tinggalkan Link Anda Supaya Senang Saya Follow Kembali - Terima kasih atas sokongan

Terima kasih atas sokongan.Tinggalkan Link supaya senang di "follow" kembali.

Wednesday, 16 May 2012

PERUTUSAN HARI GURU 2012 - KPM


PERUTUSAN HARI GURU 2012
KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA
“GURU INOVATIF MELONJAKKAN TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA”

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam sejahtera.

Tuan-tuan, puan-puan warga pendidik dan murid-murid yang dikasihi sekalian,

1.            Semenjak tahun 1972, peranan dan fungsi guru telah diiktiraf begitu signifikan dan diabadikan menerusi ungkapan tema Hari Guru yang diraikan pada 16 Mei setiap tahun. Guru dipandang tinggi sebagai pemangkin pembangunan negara, pembentuk generasi dan menjadi asas kemajuan pendidikan negara di samping memacu kejayaan rakyat. Guru yang melengkapi diri dengan kualiti dan Standard Guru Malaysia diakui mampu menjamin keberhasilan negara, antaranya guru yang inovatif dan kreatif teras kejayaan wawasan, guru berkesan pendidikan cemerlang, guru berkualiti pemangkin kegemilangan dan guru cemerlang negara terbilang.

2.            Pada tahun ini, tema “Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara” telah dipilih sebagai galakan kepada guru menyuburkan inovasi. Tema ini selaras dengan pengisytiharan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia bahawa tahun 2012 merupakan Tahun Sains dan Gerakan Inovasi Nasional. Sehubungan itu, amat wajarlah bagi para pendidik mempersiap diri membudayakan inovasi dalam proses pengajaran dan pembelajaran dan aktiviti koakademik serta kokurikulum di dalam dan di luar bilik darjah.

3.            Sebagai golongan profesional yang menjana dan menjuarai perubahan, kita perlu peka dan bersedia memperlengkapi diri menjadi guru yang inovatif. Guru yang inovatif berupaya menjana idea, konsep atau strategi baru yang boleh mempertingkat amalan berkesan dalam menyampaikan ilmu kepada generasi anak didik. Guru yang inovatif juga berkemampuan mencipta kelainan atau modifikasi menggunakan unsur dan sumber sedia ada serta menjelmakannya sebagai elemen sintesis yang memudah dan melancarkan proses pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, seorang guru yang inovatif juga mempunyai tahap ketekunan yana tinggi, belajar daripada kesilapan, menyusun dan mengurus idea secara perekodan sistematik serta sentiasa cenderung mendapatkan pengetahuan baharu. Natijah yang akan dihasilkan ialah modal insan yang berpengetahuan dan bermaklumat serta berinovatif dalam mempermajukan teknologi, berkebolehan mencerna dan mengadaptasikan teknologi dan seterusnya berupaya mengembangkan idea-idea.
Warga pendidik yang diraikan sekalian,

4.            Kesinambungan sistem pendidikan negara dimanifestasi melalui transformasi yang berbentuk dinamik dan progresif yang akan direalisasikan oleh para guru yang inovatif, proaktif, berdedikasi, dan berdaya saing. Sehubungan itu, Kementerian Pelajaran Malaysia telah melaksanakan program bina upaya untuk meningkatkan amalan profesionalisme keguruan bagi menyokong usaha melaksana transformasi pendidikan secara keseluruhan. Objektif Pelan Pembangunan Profesionalisme Pegawai Perkhidmatan Pendidikan secara khususnya bermatlamat melahirkan para pendidik yang berwatak profesional, berkompeten dan berkesanggupan memikul amanah yang lebih besar.

Warga pendidik sekelian,

5.            Pelbagai ganjaran disediakan dan inisiatif direncana oleh pihak kerajaan bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan guru terjamin. Keprihatinan kerajaan ini disalurkan menerusi pelbagai usaha, misalnya melalui pemberian dan penganugerahan kepada warga guru seperti dalam aspek perjawatan dan perkhidmatan. Anugerah dan beberapa penambahbaikan dalam skim perkhidmatan guru menggambarkan keprihatinan kerajaan kita. Sesungguhnya perkara ini diharapkan menjadi sebagai satu inspirasi dan dorongan kepada guru untuk terus memberikan perkhidmatan yang effisyen dan cemerlang dalam dunia pendidikan yang berkembang pesat di samping melengkapkan diri bagi menghadapi cabaran global.

6.            Pihak kerajaan dan kementerian juga amat prihatin dengan beban tugas guru yang semakin bertambah dan rencam. Sehubungan itu, bermula pada tahun 2012, Jawatankuasa Kerja Pelaksana Menangani Isu Beban Tugas Guru (JKPMIBTG) telah memberikan tumpuan kepada lima fokus utama bagi menangani isu beban tugas guru iaitu menambah baik pelan operasi latihan tahunan untuk mengelakkan pertindihan kursus; menambahkan staf sokongan untuk tugas perkeranian; mengurangkan bilangan jawatankuasa di peringkat sekolah; mengurangkan bilangan ujian/peperiksaan dan meningkatkan penggunaan ICT dalam pengurusan sekolah dan pengajaran dan pembelajaran.

7.            Justeru, saya ingin mengambil kesempatan ini mewakili semua warga pendidik di negara ini untuk menyatakan setinggi penghargaan dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada pihak kerajaan yang tidak pernah meminggirkan kebajikan para guru. Keprihatinan berterusan oleh kerajaan ini merupakan suntikan semangat agar warga pendidik terus gigih, inovatif, berdedikasi dan berintegriti dalam menggalas tanggungjawab melahirkan generasi masa depan yang berjati diri, berdaya saing, bertanggungjawab, berpegang teguh kepada ajaran agama serta mengamalkan nilai sejagat.
Anak-anak murid yang disayangi sekelian,

8.            Saya yakin bahawa tanggungjawab berat yang digalas oleh para guru di samping tekanan yang dihadapi sedikitpun tidak melunturkan rasa kasih dan sayang kepada anak-anak didik semua. Semua guru yang ada di hadapan murid-murid semua adalah guru penyayang. Kehadiran murid ke sekolah tentulah dengan harapan dan semangat untuk menimba ilmu dan mempertingkat kualiti diri. Setiap murid di mata dan hati seorang guru adalah permata yang mempunyai keistimewaan dan kebolehan tersendiri. Jika digilap dan dikembangkan potensinya nescaya akhirnya mereka dapat menjadi individu dan warganegara yang berdaya saing, berfikiran kreatif dan kritis, berbudi pekerti mulia dan sedar akan kepentingan amalan berterima kasih. Sekiranya ada antara murid-murid yang ditegur oleh guru, janganlah mudah berkecil hati atau merasa diri kurang disayangi. Anggaplah para guru sebagai ibu dan bapa di sekolah yang sentiasa mengambil berat dan menginginkan yang terbaik untuk murid-murid semua.

9.            Akhir kalam, besarlah harapan saya agar warga pendidik yang dikasihi sekalian terus melaksanakan amanah yang diberi penuh dedikasi, bertunjangkan integriti dan berlandaskan etika perkhidmatan. Selaku pencetus, penggerak dan pemegang amanah kepada proses transformasi sistem pendidikan negara, warga pendidik mempunyai kedudukan tersendiri, disegani dan dipandang tinggi oleh masyarakat. Marilah kita teruskan amalan budaya kerja cemerlang, sikap kebertanggungjawaban, istiqamah dan semangat mujahadah setiap daripada kita untuk melakukan yang terbaik demi nusa dan bangsa. Sebagai penutup, ingin saya titipkan mutiara kata Syeikh Muhammad Abduh, seorang tokoh pendidikan di Mesir, “Kemuliaan ialah membangun umat yang telah binasa, membuka selubung kebodohan mereka, memberi peringatan dan petunjuk (hidayah), menuntut hak yang terampas, mengingatkan akan kemuliaan yang hilang, membangun umat dari tidur dan kelalaian mereka, serta menyatukan suara untuk memperbaharui gerak langkah”.

WARGA PENDIDIK YANG DIKASIHI SEKALIAN

TERIMA KASIH CIKGU … “SELAMAT HARI GURU”!

DATO’ SRI ABD GHAFAR BIN MAHMUD
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia
Perutusan Hari Guru 2012

No comments:

Post a Comment

Catatan Lain Yang Mungkin Anda Cari

Kumpulan Blog Kendalian Saya

Blog List Ilmu Keguruan

Pautan Bersama