Sempena sambutan Bulan Kemerdekaan, rakyat Malaysia berbilang bangsa akan memaparkan semangat patriotisme dan kasih sayang terhadap negara. Bukan dengan cara paksaan, tetapi secara sukarela menyambut Hari Kemerdekaan sebagai negara yang berdaulat. Pada ketika negara merayakan 57 tahun kemerdekaan, ini adalah masa yang sesuai untuk seluruh rakyat menunjukkan semangat patriotisme dan cinta kepada negara dengan perasaan penuh bangga.
Menyemai kebanggaan pada bendera Jalur Gemilang adalah salah satu daripada ciri penting dalam perayaan Hari Kemerdekaan. Rakyat Malaysia seharusnya berbangga dengan Jalur Gemilang kerana Jalur Gemilang adalah lambang kemegahan dan patriotisme kepada negara.
Bendera Jalur Gemilang melambangkan kesetiaan, kesatuan dan patriotisme dan penting untuk kita menanam semangat dan nilai-nilai nasionalisme dan patriotisme ini dalam kalangan generasi muda.
Salah satu cara untuk menjadikan generasi muda kita patriotik dan bersemangat nasionalisme adalah dengan mendidik mereka menghormati dan mencintai bendera kita. Menganjurkan kempen 'Cintakan Bendera Kita' di sekolah-sekolah, dalam kalangan anak muda adalah sangat mustahak untuk memberikan mereka kefahaman tentang kepentingan bendera kebangsaan dan maksud di sebaliknya. Kempen ini seharusnya tidak diadakan hanya bersempena sambutan Hari Kemerdekaan, malah sepanjang tahun.
Bagi generasi dewasa, Hari Kemerdekaan membawa ingatan kegigihan dan perjuangan menentang zaman penjajah dalam usaha mencapai kemerdekaan. Pada mereka, ia melambangkan pengorbanan serta kebanggaan dengan apa yang telah dicapai selama ini.
Walau bagaimanapun, bagi generasi muda, terutamanya mereka yang lahir selepas 1957, kajian yang dijalankan oleh akhbar tempatan tidak lama dahulu menunjukkan bahawa walaupun kebanyakan anak muda kita mempunyai semangat patriotik, mereka masih tidak memahami dan menghayati sepenuhnya erti sebenar kemerdekaan.
Bagi mereka hari kemerdekaan hanya satu lagi cuti am dan mereka berpeluang bersantai dan beriadah. Hanya segelintir sahaja yang benar-benar memahami maksud Hari Kemerdekaan ini. Oleh itu, lebih banyak usaha harus diambil untuk menerangkan dan menjadikan mereka lebih peka dan menghargai serta menghayati erti sebenar Hari Kemerdekaan.
Setelah memperkatakan mengenai bendera kebangsaan dan pentingnya sebagai simbol negara, saya ingin menegaskan bahawa mengibar Jalur Gemilang bukanlah satu-satunya cara menunjukkan semangat patriotik kepada negara.
Rakyat Malaysia boleh memaparkan semangat patriotik mereka dalam kehidupan seharian seumpamanya, dalam pemikiran, percakapan dan tindakan mereka membela dan mempertahankan kepentingan negara.
Rakyat Malaysia juga boleh mempamerkan semangat patriotik mereka dengan menyumbangkan pandangan dan pendapat mereka dalam apa jua perkara yang mereka fikir baik untuk negara.
Menyatakan perasaan melalui saluran yang betul adalah satu hak yang seharusnya diamalkan oleh semua rakyat Malaysia yang patriotik, yang mencintai negara dan inginkan yang terbaik untuk negara.
Mana-mana rakyat yang bertanggungjawab dan tidak melakukan sesuatu yang boleh memudaratkan alam sekitar, menjejaskan kaum juga boleh dianggap sebagai patriotik kepada negara.
Dalam pada kita memperingati 57 tahun kemerdekaan, kita hendaklah mengimbas kembali segala usaha kita dalam pembinaan negara pada zaman silam dan bersedia untuk mengharungi cabaran-cabaran yang datang.
Rakyat Malaysia yang mempunyai latar belakang bangsa dan agama yang berlainan seharusnya memperbaharui azam mereka untuk membina sebuah negara yang harmoni, bersatu padu dan progresif yang boleh menjadi kebanggaan kita semua. - TAN SRI LEE LAM THYE.
TAN SRI LEE LAM THYE ialah Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia
No comments:
Post a Comment